Ahad, 31 Disember 2017

CIRI-CIRI MASYARAKAT ARAB JAHILIAH

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
POLITIK
Pada zaman jahiliah, tidak terdapat kerajaan yang mempunyai struktur pemerintahan yang teratur dan berkuasa.Kedudukan  politik  masyarakat pada zaman jahiliah dilihat tergugat akibat penjajahan kuasa-kuasa asing. Zaman ini dikenali sebagai zaman penjajahan kerana sebahagian besar Semenanjung Tanah Arab dijajah oleh Byzantine dan Parsi. Masyarakat Quraisy Makkah turut tergugat dengan ancaman-ancaman kuasa asing. Contohnya, serangan tentera bergajah oleh tentera Habsyah pimpinan Abrahah yang datang dari Yaman pada tahun 570 M (dikenal sebagai Tahun Gajah), iaitu tarikh keputeraan Nabi Muhammad SAW.
       Masyarakat jahiliah sering berperang sesama sendiri dan hidup berpuak-puak untuk mendapatkan restu dan perlindungan daripada pemerintah. Pada zaman penjajahan, mereka tidak lagi berupaya untuk membela diri kerana berasa rendah diri, kalah dan patah semangat
untuk terus berjuang. Akibatnya, mereka menyerah kalah kepada kuasa-kuasa asing yang
telah mendirikan kerajaan-kerajaan boneka di Ghassan (naungan Parsi), Hirah (naunganByzantine) dan Yaman (naungan Habsyah).

       Walaupun tempat-tempat tersebut mempunyai pentadbiran dan pemerintahan sendiri, tetapi ini tidak boleh dianggap sebagai sebuah pemerintahan yang maju dan bertamadun kerana masing-masing terletak di bawah kuasa penjajah.[1]

SOSIAL
       Sistem sosial yang diamalkan oleh masyarakat Arab Jahiliah ialah sistem berkabilah. Masyarakat Arab jahiliah menjalani kehidupan secara berkelompok mengikut kabilah masing-masing. Setiap kabilah mempunyai ketua dan diikat dengan semangat asabiah. Dengan erti kata lain, tidak ada penyatuan  menyeluruh dalam kalangan orang Arab Jahiliah seperti penyatuan yang wujud dari segi akidah dalam kalangan umat Islam.[2]

      Dalam kelompok itu, terdapat pula kelompok-kelompok lebih yang kecil danmempunyai asabiah masing-masing.Sebagai contoh di Mekah kaum Quraisy merupakan kaum paling dominan. Namun mereka berpecah kepada beberapa puak. Dua puak yang paling menonjol ialah Bani Hasyim dan Bani Umayyah. Kedua-dua puak ini serng bersengketa sebelum disatukan  oleh Nabi Muhammad SAW dan kemudiannya dikenali sebagai Muhajirin.

      Madinah pula didominasi oleh kaum Arab dari daerah selatan Semenanjung Tanah Arab. Mereka terbahagi kepada dua puak jua, iaitu kaum Aus dan Khazraj. Kedua-dua puak ini juga serin bersengketa sebelum mereka disatukan oleh Nabi Muhammad SAW yang kemudinnya dikenali sebagai Ansar.

      Pada zaman jahiliah, puak-puak dan suku-suku Arab ini sering mencari pengaruh untuk berkuasa. Akhirnya timbul perbalahan dan persengketaan sesama mereka.Di Makkah berlaku perbalahan antara Bani Hasyim dengan Bani Umayyah .Di Madinah berlaku persengketaan antara kaum Aus dengan kaum Khazraj. Persengketaan ini membawa kepada permusuhan dan peperangan sebelum mereka disatukan menerusi akidah pada zaman Islam.[3] 

EKONOMI
      Dari segi ekonomi, masyarakat Arab pada keseluruhannya menjalankan aktiviti menternak binatang seperti unta,kambing dan biri-biri. Mereka berkhemah di lembah yang terdapat takungan air bagi memajukan usaha ternakan dan tanaman. Daripada binatang ternakan  mereka mendapat bekalan makanan seperti daging, susu dan keju. Di samping itu, mereka memanafaatkan kulit binatang untuk membuat khemah,pakaian dan bekas menyimpan air.

      Selain menternak binatang, mereka juga menjalankan kegiatan bercucuk tanam seperti menanam kurma, gandum, jagung, anggur dan sayur-sayuran.Bagi mereka yang tinggal di kota,lazimnnya akan menjalankan urus niaga dan pertukangan. Mereka berniaga menerusi jalan darat seperti qafilah. Setiapkafilah disertai oleh ramai pedagang . Dengan cara berkumpulan ini mereka berasa lebih selamat memandangkan mereka terpaksa berjalan beratus-ratus kilometer.

      Barangan dagangan pula diangkut dengan menggunakan unta kerana binatang ini mampu membawa bebenan yang berat dan tahan berjalan berhari-hari di padang pasir. Destinasi perdagangan ang tersohor ialah Makkah, Yaman, Syam, Yamamah dan Hirah. Barangan yang diperniagakan pula ialah minyak wangi, rempah, kulit binatang dan lain-lain keperluan tempatan termasuk patung berhala.

      Selain hasil perniagaan, terdapat juga yang mengaut keuntungan melalui hasil cukai yang dikenakan terhadap pedagangan-pedagang yang melalui kawasan mereka. Hasil cukai perdagangan hanya diperolehi penduduk Makkah dan Yamamah kerana kedua-duanya terletak di pertengahan jalan perdagangan di antara Yaman di Selatan Semenanjung Tanah Arab, Syam dan Hirahdi Utara Semenanjung Tanah Arab. Selain dari itu terdapat juga segelintir memperoleh pendapatan menerusi riba dan judi.[4]

  
Selepas keruntuhan Empangan Ma'arib dan penjajahan ke atas Semenanjung Tanah Arab, keadaan politik dan ekonomi semakin meruncing. Kawasan utara Semenanjung Tanah Arab juga turut terjejas akibat penjajahan Byzantine dan Parsi, bukan sahaja dari segi politik,tetapi juga dari segi ekonomi dan sosial.

       Ramai penduduk di selatan Semenanjung Tanah Arab berhijrah ke utara dan menjalankan aktiviti perdagangan. Namun, kegiatan perdagangan tidak menguntungkan kerana pelbagai halangan seperti pertelagahan sesama kabilah Arab. Perhijrahan ini juga disebabkan kemerosotan hasil pertanian yang berlaku di selatan Semenanjung Tanah Arab pada ketika itu.[5]
     
ILMU PENGETAHUAN DAN INTELKTUAL
       Penyebaran ilmu pengetahuan dan peradaban pernah berlaku di Selatan Semenanjung Tanah Arab pada zaman kegemilangannya,sehingga terdirinya beberapa buah kerajaan Arab seperti kerajaan Qataban, Ma'in, Saba' dan Himyar. Namun begitu, ketamadunan itu runtuh akibat kekufuran, kemaksiatan, kejahilan dan kedudukan ekonomi mereka turut musnah akibat keruntuhan Empangan Ma'arib yang menjadi pemangkin kepada ekonomi pertanian.
Sejak itu, kira-kira 300 tahun sebelum Islam, masyarakat Arab mula memasuki zaman jahiliah dan zaman penjajahan.

       Dalam tempoh tersebut, masyarakatArab telah mengalami Zaman Gelap dan mundur bukan sahaja dari segi agama dan akhlak, tetapi juga dari segi ilmu pengetahuan.Masyarakat jahiliah tidak mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi dalam pelbagai bidang seperti agama, politik, ekonomi,perniagaan dan perdagangan.

       Sejak sebelum zaman jahiliah, penyebaran ilmu pengetahuan telah berlaku di kawasan pinggir bahagian Selatan dan Barat Laut Semenanjung Tanah Arab kerana hubungan perdagangan dengan bangsa asing.Penyebaran ilmu amat terbatas dalam masyarakat jahiliah kerana minat mereka kepada perdagangan mengatasi minat untuk menuntut ilmu pengetahuan.
      
       Ketiadaan pewarisan ilmu menyebabkan mereka gagal membina semula Empangan Ma'arib yang sudah runtuh.Di Semenanjung Tanah Arab pada waktu itu hanya terdapat 17
orang kaum Quraisy yang pandai membaca dan menulis. Jumlah ini amat kecil berbanding saiz masyarakat Arab pada waktu itu.Jadi, masyarakat tersebut boleh dianggap sebagai masyarakat yang buta huruf

       Masyarakat Arab menumpukan kepada daya ingatan dan hafalan kerana mereka tidak tahu membaca dan menulis. Jika sesuatu data atau maklumat tidak diminati, ia akan luput begitu sahaja.[6]

KESUSASTERAAN
Dalam bidang kesusasteraan, sebahagian masyarakat Arab tahu bersyair, bersajak dan berkhutbah.

       Karya-karya kreatif yang dihasilkan berbentuk semula jadi, iaitu karya yang lahir daripada kreativiti dan bakat semula jadi. Karya yang dihasilkan hanya untuk berseronok-seronok dan bukannya karya berbentuk ilmiah.
       Berdasarkan keterangan-keterangan yang diberikan, jelas bahawa sebelum kedatangan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW, wujud masyarakat jahiliah di Semenanjung Tanah Arab.Justeru, Allah SWT mengutuskan Nabi Muhammad SAW dan menurunkan al-Quran untuk menjadi panduan dan rujukan kepada manusia. Al-Quran bukan hanya mengandungi ajaran-ajaran berbentuk akidah, syariah dan akhlak, tetapi juga bidang-bidang lain seperti politik, ekonomi, sosial, perundangan, perubatan, sains dan bidang-bidang pendidikan yang lain.

       Akidah dan ilmu pengetahuan amat penting dan tidak boleh dipisahkan. Melaluinya manusia membina tamadun, mengenali dan mengingati Allah SWT.Kesan dan pengaruh pendidikan Islam yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW kepada manusia mengenai ilmu pengetahuan dan tamadun Islam amat mendalam.

       Sekiranya dibandingkan sumbangan masyarakat Islam dengan masyarakat jahiliah dari segi ilmu pengetahuan, sudah tentu perbezaannya amat ketara. Sesetengah pendapat mengatakan bahawa masyarakat jahiliah tidak memberikan apa-apa sumbangan dalam aspek ilmu pengetahuan.

       Dengan perkataan lain, pencapaian ilmu pengetahuan pada zaman jahiliah amat rendah. Apatah lagi ramai dalam kalangan mereka tidak berminat dengan ilmu pengetahun, bahkan kebanyakan mereka dikategorikan sebagai golongan buta huruf. Oleh sebab mereka tidak tahu menulis dan membaca, ilmu yang diperolehi mereka khususnya dalam bidang bahasa dan kesusasteraan Arab adalah melalui lisan dan hafalan.[7]





[1] Mahayudin Hj. Yahya et. Al., Ace Ahead Teks STPM Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2 Edisi Kemaskini, (Shah Alam: Oxford Fajar.2014)  ,11.
[2] Mahayudin Hj. Yahya et. Al., Ace Ahead Teks STPM Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2 Edisi Ketga, (Shah Alam: Oxford Fajar.2017)  ,8
[3] Ibid
[4] Ibid,7.
[5] Mahayudin Hj. Yahya et. Al., Ace Ahead Teks STPM Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2 Edisi Kemaskini,11.
[6] Ibid,13.
[7] Mahayudin Hj. Yahya et. Al., Ace Ahead Teks STPM Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2 Edisi Ketiga,10.

Tiada ulasan: