Rabu, 1 Februari 2017

SUMBANGAN KHALIFAH HARUN AL-RASHID

Oleh-AHMAD BIN YAAKOB
Hp-Menilai sumbangan Khalifah Harun al-Rashid 786-809M
Khalifah Harun al-Rasyid lahir di Rayy (Iran) pada tahun 763/149 H dan meninggal dunia pada tahun 809 di Thus, Khurasan.Baginda merupakan seorang yang mempunyai sifat-sifat seperti gagah, berani, menyukai hal-hal agama, bijak berpolitik dan cinta akan ilmu pengetahuan.Baginda telah dilantik sebagai putera mahkota pada tahun 782/166 H dan menjadi khalifah Abbasiyah kelima pada tahun 786-809/170-193 H.Pemerintahan baginda dianggap sebagai zaman keemasan Islam kerana Baghdad pada ketika itu menjadi pusat perdagangan dan pusat ilmu serta peradaban Islam yang terulung.[1]
Sumbangan Khalifah Harun al-Rashid 786-890M/170-193H
Dalam jangka masa 23 tahun Khalifah Harun al-Rashid memeintah negara dan umat Islam, perbagai dasar pemeintahan dan pembahauan telah dirancang. Pembaharuan Khalifah Harun meliputi aspek politik, ekonomi dan sosial.
a)Dasar pemerintahan dan pentadbiran
Siasah dalam negeri
Harun al-Rashid melantik wazir yang bijak daipada keluaga Barmaki dalam pemerintahan beliau. Yahya bin Khalid dilantik sebagai menterinya. Yahya telah memberi khidmat yang cemerlang kepada kerajaan Harun al-Rashid.Yahya telah diberikan kuasa eksekutif dan mentadbir kerajaan Abbasiyah selama 17 tahun dengan penuh ikhlas dan jujur. Anak-anak beliau Jaafar, Al-Fadhl, Muhammad dan Musa juga terlibat dalam urusan pentadbiran negara. Pentadbiran yang dijalankan membawa kekayaan kepada perbendahraan, tetapi tidak kepada rakyat.[2] Namun prestasi mereka yang cemerlang telah menimbulkan perasaan dengki pegawai-pegawai lain tehadap mereka.Fitnah dilembarkan kepada keluaga Barmaki sebagai golongan yang lebih condong kepada fahaman syiah dan membelakangkan ahli sunnah. Mereka dikatakan membina istana yang sama taraf dengan istana khalifah.Mereka dituduh menggunakan wang negara dan membekukan wang negara.

      Lantaran itu, Khalifah Harun bertindak keras memberkas tokoh-tokoh al-Barmaki termasuk Yahya bin Khalid, Jaafar dan Fadhli bin Yahya. Jaafar telah dihukum bunuh sementara Fadhl dipenjara seumur hidup.Dengan itu lenyaplah peranan keluaga al-Barmaki dalam kerajaan Abbasiyah.Khalifah Harun juga membanteras segala kekacauan dan pemberontakan  di dalam negara dengan berhikmah tanpa pertumpahan darah.[3] Antara perubahan yang dilakukan semasa peringkat kedua pentadbirannya ialah memindahkan kuasa daripada orang Parsi kepada orang Arab dan mengekalkan dasar permusuhan dengan golongan Syiah.[4]  
b)Hubungan diplomatik.
Dalam bidang politik pula, baginda telah mengadakan hubungan yang baik dengan kuasa-kuasa asing. Pada ketika itu, selain kerajaanAbbasiyah di Baghdad, terdapat tiga buah kerajaan besar lain, iaitu kerajaan Byzantine di Constantinople,kerajaan Umayyah di Andalus. Dan Perancis di Eropah.
Hubungan dengan Byzantine pada amnya adalah tidak baik dan semakin buruk semasa pemerintahan Khalifah Harun al-Rasyid.
Hal ini berbeza dengan Perancis. Hubungan antara baginda dengan Raja Charlamagne (raja Perancis) adalah baik. Ini mungkin disebabkan mereka mempunyai musuh yang sama, iaitu kerajaan Umayyah di Andalus. Hubungan baik ini terbukti apabila kedua-dua kerajaan sering bertukar-tukar duta serta cenderamata.[5]

c)Memajukan bidang pendidikan dan intelektual.
      Khalifah Harun al-Rasyid memainkan peranan yang besar dalam mengembangkan ilmu pengetahuan. Perkembangan dan kegiatan intelektualisme ini berlaku dalam beberapa peringkat, iaitu pembukuan, penyusunan semula ilmu pengetahuan dan penterjemahan.

      Baitul Hikmah (Perpustakaan Agung) telah diasaskan sebagai institusi kebudayaan dan pusat keilmuan yang kemudiannya berkembang dan mencapai zaman kegemilangannya semasa pemerintahan Khalifah al-Makmun. Melalui penubuhan Baitul Hikmah sebagai institusi penterjemahan, kerja-kerja penterjemahan menjadi lebih sistematik. Banyak karya-karya asing dalam bahasa Sanskrit, Suriani dan khususnya ilmu falsafah dan sains Yunani
telah diterjemahkan bagi dimanfaatkan oleh para cendekiawan Islam.

      Bagi menyebarkan ilmu pengetahuan kepada rakyat, baginda telah mendirikan pusat pengajian seperti sekolah, maktab dan universiti. Keadaan ini juga menyebabkan kegiatan penyelidikan dapat dipertingkatkan. Contohnya, sumbangan al-Khwarizmi dalam bidang matematik dan astronomi. Sesungguhnya, hasil kajian sarjana-sarjana Islam ini kemudiannya telah tersebar ke Eropah sekali gus memberi sumbangan yang besar kepada perkembangan keilmuan hingga melahirkan zaman Renaisans di Eropah.[6]

d)Memperkukuhkan angkatan tentera.
Untuk mengekalkan kestabilan negara, Khalifah Harun al-Rashid menyusun semula pasukan tenteranya agar menjadi sebuah pasukan tentera yang berdiplin dan teratur. Beliau amat mengambil berat terhadap kredibiliti tentera-tenteranya dan memberi perlindungan serta keselamatan untuk kesejahteraan rakyatnya.[7] Pasukan tentera disusun semula dan membuat kawalan rapi di laut dan pelabuhan bagi menjamin keselamatan kapal-kapal dagang yang berlabuh di Pelabuhan Basrah.

e)Memajukan bidang ekonomi khasnya perdagangan.[8]
Dalam bidang ekonomi, Khalifah Harun al-Rasyid telah menjadikan kota Baghdad sebagai pusat perdagangan Timur dan Barat yang terbesar dan tersibuk di dunia. Banyak aktiviti perdagangan dijalankan di situ dan ini menarik kedatangan ramai pedagang asing untuk berdagang di kota tersebut. Contohnya - pedagang dari India membawa kain dan rempah-ratus, pedagang dari China pula membawa teh dan sutera serta pelbagai barangan dagangan lain seperti dari Mesir, Turki, Afrika dan Syria.

      Selain kegiatan perdagangan, pertanian juga diutamakan. Untuk itu, baginda membuka banyak tanah-tanah pertanian yang baharu serta memberikan benih tanaman kepada para petani.[9]Khalifah Haun al-Rasyid membahagikan tanah kerajaan dan ampasan perang kepada tentera yang bersara. Dan oang miskin untuk diusahakan dengan kegiatan pertanian.[10]





[1]Ibid,56.
[2] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,55.
[3] Mohd Sukki Othman dan Wan Muhammad  Wan Sulong ,Teks Pra U STPM Sejarah Penggal 2,90.
[4]Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,55.
[5] Ibid,55.
[6] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,Edisi Kemaskini,56.
[7] Mohd Sukki Othman dan Wan Muhammad  Wan Sulong ,Teks Pra U STPM Sejarah Penggal 2,91.
[8] “Sumbangan Khalifah/Tokoh”, dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah, (Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia,2013),18.
[9] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,Edisi Kemaskini,57.
[10]Mahdi Shuid. Et.al, Teks STPM Sejarah Islam Penggal 2,100.

Tiada ulasan: