1.Bincangkan struktur
masyarakat Arab Jahiliah sebelum kedatangan Islam.[20m]
Jahiliah berasal
daripada perkataan jahala yang bermaksud bodoh. Ungkapan perkataan ini dikaitkan
dengan masyarakat yang muncul di
Semenanjung Tanah Arab yang mempunyai
akidah yang sesat serta akhlak yang amat buruk. Keadaan ini berlangsung kira-kira 30 tahun, iaitu
selepas runtuhnya Empangan Ma'arib
hingga kerasulan Nabi Muhammad SAW pada
tahun 610. Sejarawan Islam mencatatkan
terdapat empat ciri umum
masyarakat pada tempoh masa
tersebut, iaitu masyarakat yang tidak
mempunyai nabi dan rasul serta kitab suci sebagai panduan, berakhlak
buruk, tidak berperadaban (bertamadun),
dan majoriti masyarakatnya buta
huruf.
Masyarakat Arab pada zaman tersebut terbahagi kepada dua kelompok utama, iaitu masyarakat Arab
Badwi dan Arab Hadhari. Masyarakat Arab Badwi tinggal di kawasan pedalaman
berhampiran dengan sumber air di oasis atau wadi. Mereka mengamalkan
kehidupan bercorak nomad iaitu berpindah-randah
dari satu tempat ke tempat
yang lain. Aktiviti masyarakat Arab Badwi ini lebih tertumpu kepada penternakan dan pertanian di kawasan yang terdapat sumber bekalan air. Hal ini kerap menjadi rebutan sesama
mereka hingga mencetuskan ketegangan.
Namun
berbeza dengan masyarakat
Arab Hadhari yang tinggal kekal
di bandar-bandar besar seperti Makkah, Yathrib, dan Yaman. Kegiatan harian
masyarakat Arab bandar dikaitkan dengan aktiviti perdagangan sama
ada secara kecil-kecilan atau
merentasi sempadan geografi. Contohnya, kabilah Quraisy menjalankan aktiviti
perdagangan ke Syam pada
musim panas manakala pada musim
dingin, aktiviti tersebut
beralih keYaman.
Kedua-dua masyarakat ini mengamalkan kehidupan
bercorak kabilah. Anggota dalam
sesebuah kabilah mempunyai pertalian darah antara satu sama lain. Seandainya ada individu yang
berhasrat menganggotai kabilah lain, ia perlu bersumpah di hadapan patung berhala.
Setiap kabilah akan diketuai oleh pemimpin
bergelar syeikh yang mempunyai
kuasa mutlak.Walaupun dinasihati oleh
Majlis Kabilah, kuasa tetap di tangan syeikh.
Ahli-ahli kabilah wajib mencurahkan
kesetiaan sepenuhnya kepada kabilah masing-masing.
Setiap
kabilah akan memegang suatu fahaman
yang dinamakan 'asabiyyah
bagi menjamin kekuatan dan keutuhan
kabilah tersebut serta
kesetiaan yang tidak berbelah bahagi oleh anggota dalam sesuatu kabilah. Fahaman 'asabiyyah berperanan menghidupkan aktiviti
sosioekonomi dan politik sesebuah kabilah. Fahaman inilah juga yang
sering mencetuskan keadaan huru-hara;
tanpa mengira benar atau
salah setiap individu dalam sesuatu perkara, kabilah akan
mempertahankannya.
Keadaan bertambah buruk apabila
peperangan yang dilancarkan semata-mata mahu menunjukkan kemegahan dan kekuatan kabilah serta menjadikan tawanan-tawanan perang sebagai hamba.
Dalam masyarakat jahiliah, wujud juga
jurang sosial yang luas antara golongan
bangsawan dengan golongan bawahan
khasnya hamba. Susun lapis atau organisasi sosial
yang wujud begitu tegar.
Bagi kaum
wanita, mereka langsung tidak mendapat tempat sama ada dalam keluarga apatahlagi dalam kabilah. Kelahiran bayi-bayi perempuan
dianggap menjatuhkan maruah keluarga. Oleh sebab itu, timbul amalan membunuh bayi-bayi
perempuan. Pendek kata, kaum wanita pada zaman tersebut hanya dianggap sebagai objek untuk
memuaskan hawa nafsu.
Berhubung dengan nilai mulia dan hina,
ukurannya dinilai berdasarkan kekayaan, kemahiran dan ilmu yang dimiliki serta
keturunan yang diwarisi. Individu
yang kaya seperti pedagang, ahli sihir,
dan pahlawan akan disanjung dan
dipandang mulia, sedangkan mereka yang
miskin dan hamba dipandang hina oleh
masyarakat.
Kesimpulannya, struktur
masyarakatArab sebelum Islam jelas
mencerminkan masyarakat yang ketinggalan
atau mundur, berpecah belah dan mengamalkan diskriminasi.
Namun senario tersebut mula berubah
apabila Nabi Muhammad SAW
membawa nur yakni agama Islam yang mengubah peradaban
masyarakat Arab menjadi lebih mementingkan keadilan, persaudaraan dan
persamaan, sekali gus merealisasikan
konsep ummah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan