Sejak abad ke-16, negara-negara Eropah
giat melaksanakan perluasan kuasa mereka. Penjelajahan dan penerokaan kuasa
Eropah seperti Portugal, Sepanyol, Belanda, Perancis dan Britain mengakibatkan
kawasan-kawasan di Benua Afrika, Asia dan Amerika menjadi jajahan takluk
negara-negara Barat. Menjelang abad ke-19, orang-orang Eropah mengalihkan
perhatian mereka kepada empayar Turki Uthmaniyah. Mereka ingin menguasai
wilayah-wilayah Eropah yang ada di bawah penguasaan kerajaan Turki
Uthmaniyah.Empayar ini diasaskan oleh Uthman Ertughrul pada tahun 128l.
Kerajaan Turki Uthmaniyah yang dipimpin oleh 37 orang khalifah selama lebih 600
tahun mula merosot pada abad ke-20. Kemerosotan empayar ini adalah kerana dasar
perluasan kuasa negara-negara Barat yang didorong oleh beberapa faktor.
Antara faktor perluasan kuasa Barat ialah
persaingan antara negara-negara Eropah. Negara-negara seperti Britain, Perancis,
Jerman, Austria-Hungary dan Rusia berlumba-lumba untuk merebut wilayah-wilayah
empayar Turki Uthmaniyah.Keluasan tanah jajahan membangunkan kekuatan
negara-negara Barat. Semakin luas tanah jajahan, semakin tinggi sanjungan yang
diberikan. Perancis telah menceroboh dan menakluki Algeria dan Tunisia.
Pemimpin Kerajaan Turki Uthmaniyah tidak dapat mempertahankan kawasan ini
kerana masalah dalaman. Rusia juga berperang dengan Kerajaan Turki Uthmaniyah
untuk mendapatkan wilayah-wilayah di kawasan Balkan. Britain pula menguasai
Mesir dan Teluk Arab. Britain juga mengadakan perjanjian dengan penguasa
wilayah Kuwait dan Amerika untuk menentang pemimpin Keraj aan Turki Uthmaniyah.
Revolusi Perindustrian telah mendorong
perluasan kuasa Barat di Turki Uthmaniyah. Sektor perindustrian berkembang
pesat pada abad ke-18. Penciptaan enjin berkuasa wap, perlombongan arang batu
dan kemajuan dalam sistem pengangkutan merancakkan lagi Revolusi Perindustrian.
Kekayaan sumber dari tanah jajahan memenuhi keperluan kilang-kilang.
Perdagangan antarabangsa juga berkembang pesat akibat sistem kewangan yang
dinamik. Pinjaman kredit kepada golongan usahawan dan pemodal mendorong
perluasan kuasa. Pemodal-pemodal Eropah banyak melabur di Afrika Utara dengan
terlibat dalam sektor pertanian, perlombongan dan penyediaan jalan raya dan
jalan kereta api. Perluasan kuasa Barat di wilayah-wilayah boleh membawa
keuntungan yang besar untuk penjajah Barat.
Selain itu, pembinaan Terusan Suez juga
mendorong perluasan kuasa Barat. Kuasa-kuasa Barat telah menguasai terusan ini
kerana terusan ini merupakan jalan perdagangan laut yang paling penting pada
masa itu. Tidak dapat dinafikan bahawa perdagangan antarabangsa berkembang
pesat kerana laluan. perdagangan dipendekkan dan dapat menjimatkan kos. British
berjaya menguasai terusan ini dengan membeli 45 peratus jumlah saham syarikat
awam yang membina terusan ini. British membeli saham ini daripada Khedif
Ismail, iaitu Gabenor Mesir yang hampir muflis. Dengan memiliki Terusan Suez,
British dapat meluaskan kuasanya di Mesir.
Keperluan terhadap sumber bahan mentah,
iaitu petroleum juga menyebabkan perluasan kuasa.Kawasan Turki Uthmaniyah kaya
dengan petroleum. Sumber ekonomi ini mendorong kuasa-kuasa Barat menggunakan
pelbagai cara untuk mendapatkan konsesi melombong petroleum. Britain, Perancis
dan Jerman menggunakan muslihat dan tipu helah untuk mencapai impian mereka.
Sultan Abdul Hamid II kehilangan takhta baginda kerana isu cari gali minyak
petroleum. Pada awal abad ke-20, petroleum ditemui di Iran, Iraq, Arab
Saudi,Kuwait dan Bahrain. Penemuan ini menimbulkan persaingan dan konflik
attara kuasa-kuasa Barat. Jerman danAmerika Syarikat juga mula melibatkan diri
dalam perluasan kuasa di Turki Uthmaniyah.
Kuasa Barat mengagumi para tokoh yang
menerima baik konsep hidup moden dan menganggap Kerajaan Turki Uthmaniyah yang
menolak konsep modenisme sebagai manusia yang kolot dan mundur. Kuasa-kuasa
Barat ini menguatkan lagi konsep modenisme melalui sistem pendidikan dan
komunikasi. Negara-negara Barat ini juga memburukkan Islam sebagai agama yang
ketinggalan zaman . Mereka juga ingin meruntuhkan empayar Turki Uthmaniyah yang
dipimpin oleh orang Islam kerana menolak konsep modenisme.
Kesimpulannya, Empayar Turki Uthmaniyah
runtuh selepas Perang Dunia Pertama. Empayar ini berpecah-belah kerana negara-negara
Eropah yang meraih kemenangan membahagi-bahagikan empayar ini. Sistem
pemerintah khalifah dihapuskan dan Kerajaan Turki menjadi sebuah republik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan