OLEH-AHMAD YAAKOB
Kepercayaan kepada agama
terbahagi kepada dua, iaitu agama samawi (agama langit) yang diturunkan Allah
SWT melalui nabi-nabi dan mempunyai kitab dan agama ciptaan yang direka oleh
menusia sendiri.[1]
Kesesatan agama dalam kalangan
masyarakat jahiliah mempunyai hubungan rapat dengan ketiadaan petunjuk dan
pedoman daripada kitab suci dan rasul pada waktu itu sehingga mereka tunduk
kepada kuasa berhala dan menganut agama berhala (wathani).
Di samping agama berhala, terdapat juga
agama-agama lain seperti agama Majusi, Nasrani dan Yahudi yang telah
diselewengkan,tetapi bilangan penganutnya amatlah kecil.
Pengaruh asing menjadi faktor pendorong
penyebaran pelbagai agama di Semenanjung Tanah Arab kerana hubungannya dengan
dunia luar melalui perdagangan, hubungan diplomatik dan
kegiatan-kegiatan agama. Dua
kuasa besar, iaitu Parsi dan Byzantine berlumba-lumba untuk menyebarkan agama
masing-masing. Parsi menyebarkan agama Majusi sementara Byzantine menyebarkan
agama Nasrani.
Walau bagaimanapun, sebahagian besar
kaum Badwi di kawasan tengah Semenanjung Tanah Arab masih menyembah berhala.
Terdapat lima golongan beragama dalam kalangan masyarakat
Arab, iaitu:
(a) menyembah berhalal wathani.
(b) menyembah api/Majusi.
(c) Nasrani/Kristian.
(d) Yahudi.
(e) Hanif/Samawi.Pengikut agama
Hanif, iaitu agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail
a.s.[2]
Agama menyembah berhala
merupakan agama yang dominan dalam kalangan masyarakat Arab.Orang yang
mula-mula memperkenalkan agama menyembah berhala ialah Umar bin Luai. Berhala
tersebut dibawa dari Syam lalu diletakkan di sekeliling Kaabah dan disembah.
Berhala-berhala yang disembah diperbuat daripada batu, kayu dan logam sama ada
berbentuk asli atau replika.Pusat agama berhala terletak di kota Makkah. Pada
waktu itu di sekeliling Kaabah terdapat kira-kira 360 buah
berhala.Berhala-berhala yang terkenal di Makkah ialah al-Uzza, al-Latta dan
al-Manat.
Agama Majusi berasal dari Parsi.Mereka
tidak mempunyai kitab dan tidak mengakui nabi yang diutus oleh Allah
SWT.Penganut agama Majusi mempercayai dua tuhan, iaitu tuhan yang baik dan
tuhan Yang jahat.Mereka juga percaya kepada dua konsep api, iaitu api sebagai
penerang dan api sebagai pemusnah. Agama ini terbahagi kepada tiga mazhab yang
besar, iaitu Kayumarthiyah, Zarwaniyah dan Zaradusshitiyah.
Agama Yahudi ialah agama yang dibawa
oleh Nabi Musa a.s. yang diutus kepadanya kitab Taurat.penganut agama Yahudi,
iaitu Bani Israel telah mengubah isi kandungan kitab Taurat dan Allah SWT telah
melaknat mereka.
Agama Nasrani (Kristian) dibawa oleh
Nabi Isa a.s. yang diturunkan kepadanya kitab suci Injil.Kaumnya juga telah
mengubah isi kandungan kitab ini.Agama Nasrani dikembangkan ke utara
Semenanjung Tanah Arab menerusi penduduk Ghassan dan Hirah, di sebelah selatan
pula menerusi penduduk Habsyah pada abad ke-6 M.
Segelintir orang Arab menganut agama
Hanif yang dibawa oleh Nabi Ibrahim a.s.. Mereka digelar Hunafa (Muslim) dan
mentauhidkan Allah SWT.
Kepercayaan animisme
Bentuk kepercayaan masyarakat
jahiliah terbahagi kepada dua, iaitu kepercayaan beragama dan kepercayaan
animisme.Sebahagian masyarakat jahiliah yang tidak beragama mengamalkan
kepercayaan animisme.Antara amalan animisme masyarakat jahiliah ialah memuja
roh, penunggu atau kuasa ghaib, menyembah objek-objek seperti batu atau
pokok-pokok yang besar, api dan sebagainya.
Masyarakat jahiliah juga memuja
matahari, bulan dan bintang kerana menganggap cakerawala mempunyai kuasa dalam
kehidupan mereka. Mereka percaya bahawa matahari membolehkan tumbuh-tumbuhan
hidup, manakala bulan dan bintang pula menjadi petunjuk dalam perjalanan pada
waktu malam.
Golongan masyarakat jahiliah
yang menyembah Tuhan Padang Pasir pula dikenali sebagai ahl al-Saf.Amalan yang
dilakukan oleh golongan ini ialah berjalan-jalan di padang pasir pada waktu
malam sambil menyanyi, bergendang dan membawa unggun api.
Selain itu, terdapat juga masyarakat
jahiliah yang mengamalkan ajaran sihir dengan menyembah jin dan
dewa-dewa.Manakala ada pula segolongan masyarakat jahiliah yang
menyembah malaikat lelaki dan
perempuan kerana dianggap sebagai perantara.Masyarakat jahiliah juga mempunyai
kepercayaan tradisi yang berunsur tahayul seperti menilik nasib,sangka baik dan
sangka buruk dengan isyarat-isyarat tertentu, mempercayai kuasa azimat tangkal
dan ahli nujum.Kedatangan Islam telah mengubah corak kehidupan masyarakat
jahiliah bukan sahaja dari segi agama tetapi juga dari segi ketamadunan fizikal
dan mental.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan