Piagam Madinah merupakan Perjanjian bertulis atau perlembagaan pertama di dunia. Piagam ini merupakan satu undang-undang tertinggi di Madinah selain al-Quran. Piagam Madinah memainkan peranan yang besar dalam menggariskan dasar-dasar umum pemerintahan negara dan pentadbiran masyarakat yang menjadi asas pemerintahan Nabi Muhammad SAW dan umat baginda selepas itu.[1]
Kedudukan Nabi Muhammad SAW
sebagai Pemerintah tertinggi dan Unggul
Baginda merupakan seorang
negarawan yang unggul dan berperanan sebagai pemimpin bagi kerajaan Madinah
yang memiliki masyarakat berbilang kaum, budaya dan agama.Masyarakat Madinah
menerima baginda sebagai ketua negara Madinah.
Baginda memberi tumpuan terhadap aspek
akidah dan juga aspek duniawi dalam pemerintahannya. Piagam Madinah meletakkan
baginda sebagai ketua kerajaan dan hakim yang tinggi dan unggul. Sebagai ketua
hakim, baginda menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh masyarakat Madinah
seperti perselisihan kaum berdasarkan hukum Allah SWT dan keputusan baginda.
Masalah ini juga diselesaikan dengan adil dan bermusyawarah.Baginda juga
mewujudkan institusi kehakiman dan keadilan untuk menyelesaikan masalah yang
timbul.[2]
Mewujudkan Rasa Tanggungjawab Mempertahankan Madinah
Semangat Piagam Madinah telah
mendorong masyarakat Madinah yang terdiri daripada umat Islam dan bukan Islam
bersama-sama mempertahankan kerajaan Madinah daripada serangan musuh.Masyarakat
Madinah dilarang menjalinkan hubungan dengan musuh-musuh Islam yang menentang
kerajaan Islam Madinah.
Untuk mengukuhkan perpaduan dan
mengelakkan sebarang permusuhan antara masyarakat Madinah, semangat cintakan
negara dipupuk. Oleh itu, semangat ini dapat mengelakkan musuh Islam mengambil
kesempatan menawan Madinah.
Kaum Yahudi dianggap sebagai warganegara
Madinah seperti masyarakat Islam selagi mereka melaksanakan tanggungjawab
mereka menurut Piagam Madinah.
Mewujudkan Perpaduan Umat lslam
Masyarakat Islam Madinah
terdiri dua kumpulan, iaitu golongan Ansar dan Muhajirin.Penekanan berkaitan
dengan kerjasama dan bersatu padu antara masyarakat ini terdapat dalam Piagam
Madinah.
Selain daripada masyarakat Islam, piagam
ini juga merangkumi kedudukan kaum-kaum
lain yang terdapat di Madinah seperti kaum Yahudi, Aus, Khazraj, Quraisy, Parsi
dan Habsyi.Tuntutan terhadap hidup bersatu padu dan persaudaraan Islam dalam
masyarakat Madinah dilaksanakan dengan mendidik masyarakat menjadi anggota
masyarakat atau ummah yang kuat tanpa mengira kaum, keturunan dan tempat
tinggal.Hai ini dapat mengelakkan perpecahan antara masyarakat Madinah.Jika
berlaku perpecahan ini, musuh Islam boleh mengambil kesempatan untuk menawan
Madinah
Persaudaraan Islam dapat mewujudkan
masyarakat Islam yang tulen berlandaskan akidah dan keimanan kepada Allah
swt.Persaudaraan inilah yang akan mewujudkan kerjasama antara masyarakat serta
cintakan kedamaian dalam kehidupan.
Penekanan terhadap musyawarah dalam pemerintahan.
Piagam Madinah mengamalkan
prinsip musyawarah yang berlandaskan keadilan dalam pemerintahan. Semua kaum diberikan
hak menyuarakan masalah kaum masing-masing.Penduduk Madinah juga diberi hak
menyuarakan pandangan terhadap pemimpin. Hal ini dapat mengeratkan lagi
hubungan antara rakyat dengan Pemerintah.
Mewujudkan Keadilan dan Persamaan Terhadap Masyarakat
Madinah.
Untuk mengelakkan jurang perbezaan
dan penindasan berlaku dalam masyarakat Madinah, Piagam Madinah telah
menetapkan persamaan antara semua penduduk tanpa mengira keturunan,bangsa dan
kedudukan seperti antara pemerintah dengan yang diperintah.Kekayaan dibahagikan
sama rata antara masyarakat untuk mengelakkan penindasan golongan kaya ke atas
golongan miskin.
Setiap masyarakat juga bertanggungjawab
untuk melaksanakan keadilan berlandaskan ajaran Islam agar mereka sentiasa
hidup dalam keadaan aman dan sejahtera. Keadilan yang dilaksanakan berdasarkan
syariat Islam ini memberi hak dan kebaikan kepada mereka. Hal ini juga dapat
menghalang sebarang keburukan berlaku ke atas masyarakat tersebut.
Piagam Madinah telah menetapkan
masyarakat Madinah tidak boleh bersikap zalim seperti menindas golongan yang
lemah. Mereka perlu memiliki sikap tolong-menolong antara satu sama lain.
Kedudukan Kaum Yahudi
Masyarakat Yahudi diberi kebebasan
untuk mengamalkan agama adat dan budaya mereka. Namun demikian, mereka tidak
boleh memaksa penduduk Madinah untuk menganut agama mereka.Masyarakat Yahudi
juga dilarang menindas kaum atau golongan yang lemah.
Keselamatan kaum Yahudi dijamin melalui
Piagam Madinah selagi mereka mematuhi piagam tersebut.
Kebebasan beragama
Piagam Madinah memberi
kebebasan beragama terhadap kaum Yahudi dan penganut agama lain. Kebebasan ini
diberikan kerana:
(a) Islam menghormati kebebasan
beragama, iaitu tiada paksaan dalam kepercayaan setiap individu
(b) Menghindarkan permusuhan
antara masyarakat
(c) Mengelakkan kaum Yahudi daripada
menyebarkan agama mereka di Madinah
Pembinaan sebuah kerajaan Islam yang kuat
Untuk membentuk sebuah kerajaan
Islam yang kuat, masyarakat Madinah bebas membincangkan hal politik dan
pentadbiran.
Piagam Madinah memberi kesedaran kepada
masyarakat Madinah bahawa mereka merupakan masyarakat yang utuh dan bersatu padu.
Piagam ini juga menyatakan bahawa kerajaan Madinah adalah hak milik mereka
bersama.
Oleh itu, masyarakat Madinah bertanggungjawab
mempertahankan kerajaan ini daripada ancaman musuh.Hak dan tanggungjawab penduduk
Madinah diakui dalam Piagam Madinah tanpa mengira agama mereka. Penduduk
Madinah yang beragama Islam dan bukan Islam mempunyai hak yang sama untuk
memperoleh perlindungan, keselamatan dan keadilan.
Kebebasan Masyarakat Madinah
1 Penindasan ke atas golongan
yang lemah seperti yang biasa dilakukan oleh kaum Yahudi adalah dilarang kerana
Piagam Madinah menjamin kebebasan hak asasi yang sama rata untuk
setiap penduduk.
2 Hal ini dapat menjamin
keharmonian hidup masyarakat Madinah.
3 Kebebasan hak asasi ini
meliputi kebebasan beragama, beramal,bekerja, bersuara dan sebagainya selagi
tidak bertentangan dengan ajaran Islam kerana kebebasan yang tiada batas akan
mewujudkan kezaliman yang boleh memecah-belahkan perpaduan ummah sesebuah
kerajaan.
Menyatupadukan penduduk Madinah.
1 Masyarakat Madinah khususnya
umat Islam dapat disatukan menerusi Piagam Madinah.
2 Piagam ini juga
menitikberatkan hubungan baik antara masyarakat Islam dengan masyarakat bukan
Islam seperti saling hormat-menghormati, tolong-menolong dan sebagainya.
Melalui Piagam Madinah ini
dapat dirumuskan bahawa masyarakat Madinah yang dahulunya mengamalkan tradisi
jahiliah seperti mementingkan diri sendiri dan kaum masing-masing telah berubah
dengan menerapkan nilai-nilai persaudaraan Islam.[3]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan