Rabu, 23 Mei 2018

skema Percubaan SEJARAH STPM P2 Kelantan 2018

Soalan 2 

 Jelaskan peranan Piagam Madinah terhadap keutuhan negara Islam Madinah

A..Pengenalan 

-Piagam Madinah merupaka perlembagaan bertulis pertama di dunia. Mengandungi 10 bab dan 47 fasal.

-Digubal oleh Nabi Muhammad SAW berasaskan Quran dan sunnah

-Piagam ini memainkan peranan penting sebagai dasar pemerintahan dalam konteks masyarakat majmuk. Antara peranan tersebut ialah;

B.Isi –Isi Penting

1. Menyatupadukan penduduk

-Melalui Piagam Madinah orang-orang Muhajirin dan Ansar dipersaudarakankan. Seterusnya pula masyarakat Islam dan Yahudi disatukan membentuk ummah

-Piagam ini telah membentuk ukhwah masyarakat Islam Madinah iaitu Muhajirin dan Ansar.

2. Menyelesaikan masalah penduduk.

-Piagam ini telah banyak menyelesaikan masalah penduduk Madinah seperti perbalahan di antara puak Aus dan Khazraj

-Melalui sahifah ini masalah yang ditimbulkan oleh masyarakat dapat diselesaikan apabila mereka mencabulinya dan telah membawa kepada penyingkiran Yahudi dari Kota Madinah.

3. Dasar umum pemerintahan Negara

-Piagam Madinah telah menggariskan Nabi Muhammad s.a.w sebagai pemimpin, kebebasan beragama, perpaduan , pertahanan,kepatuhan terhadap perlembagaan dan sebagainya

4



-Segala yang termaktub dalam perlembagaan tersebut telah diamal dan dipatuhi oleh pemimpin dan rakyat. Ini telah melancarkan pemerintahan negara.

-Contohnya dari segi pertahanan penduduk Madinah bersatu mempertahankan Negara dari ancaman Musyrikin Makkah.

4. Menjadikan Madinah negara berdaulat dan berpelembagaan

- Piagam ini menjadikan Madinah sebuah negara berdaulat dengan dipimpin oleh Nabi Muhammad s.a.w, mempunyai rakyat berbilang bangsa,berlokasi di Kota Madinah dan mempunyai perlembagaan yang lengkap dan bertulis.

-Pengiktirafah kedaulatan Madinah diakui oleh Musyrikin Makkah melalui Perjanjian Hudaibiyah. 

5. Melaksanakan syariat Islam

-Selepas piagam ini digubal pelaksanaan syariat Islam semakin lancar. Pelaksanaan syariat Islam bukan terhadap agama sahaja malah tertumpu pula kepada ekonomi antaranya seperti pengharaman terhadap riba, zakat, jizyah dan baitul mal.

-Aspek sosial pula ialah antara yang dilaksanakan ialah pengharaman terhadap arak, kejiranan,hubungan antara kaum.Contohnya Rasulallah melawat orang Yahudi yang sakit dan mengusung jenazah orang Yahudi yang meninggal dunia. 

C. Kesimpulan

-Piagam Madinah merupakan asas kepada kemunculan Kerajaan Islam Madinah yang diasaskan oleh Nabi Muhammad s.a.w

-Piagam Madinah memainkan peranan penting dalam menyatu dan menyelesaikan masalah penduduk yang berbilang kaum.


Soalan 3. 
Huraikan pelaksanaan sistem percukaian pada zaman Khalifah Abbasiyah dari abad ke 9 hingga  abad ke 11 masihi.
PENDAHULUAN
Pada zaman Khalifah  Abbasiyah ,wujud dua buah diwan (jabatan) utama iaitu Diwan alJund (Jabatanketenteraan) dan Diwan al- Kharaj (Jabatan Percukaian). Selainitu, wujud juga pelbagai diwan  lain  seperti Diwan al-Rasa’il, al-Khatam, al-Barid, al-Azimmah, as-Sawafi,alSirrdan lain-lain. Setiap diwan diketuai seorang pegawai tadbir yang bertanggung jawab menjalankan urusan tertentu  mengikut keperluan negara. Pelaksanaan cukai pada zaman kerajaan Abbasiyah meliputi sumber utama iaitu kharaj, jizyah dan usyur. Kharaj merupakan cukai yang dikenakan oleh pemerintah Islam terhadap pemilik tanah yang ditakluki oleh tentera Islam. Jizyah adalah cukai perlindungan yang dikenakan terhadap golongan bukan islam (zimmi) sebagai balasan kepada jaminan perlindungan daripada negara Islam ke atas nyawa ,harta dan amalan agama mereka. Usyur merupakan cukai perniagaan yang dikenakan kepada semua peniaga Islam dan bukan islam apabila mereka menjalankan perniagaan dalam negara Islam.
Pelaksanaan sistem percukaian zaman Khalifah Abbasiyah adalah dengan
1)   Penubuhan Diwan al- Kharaj
Diwan al-Kharaj merupakan Jabatan Percukaian Negara yang mengendalikan semua perkara yang berkaitan dengan pentadbiran cukai tanah yang mengeluarkan hasil pertanian. Jabatan ini diketuai oleh seorang pegawai yang berkuasa melantik wakil-wakil pemungut cukai dan menentukan jumlah cukai mengikut keadaan dan kawasan tertentu. Pegawai ini juga bertanggung jawab memastikan semua pihak mematuhi peraturan dan pelaksanaan kutipan cukai berkenaan. Penubuhan jabatan ini bertepatan dengan situasi semasa memandangkan sector pertanian merupakan bidang yang diceburi oleh majority penduduk.Hasil pungutan kharaj yang diperolehi begitu besar dan dianggap penyumbang utama baitumal negara.Dengan kata lain, sector pertanian menjadi nadi jentera pentadbiran kerajaan Abbasiyah. Pada zaman khalifah al-Mahdi, beliau menubuhkan Jabatan Akauntan Negara untuk mengawal selia akaun setiap jabatan khasnya mengenai hasil pungutan dan perbelanjaannya. Pada zaman Khalifah Harun al-Rasyid, beliau telah mengarahkan Abu Yusuf bin Yaaqub. Qadhi Besar Baghdad supaya menyusun segala peraturan mengenai pecukaian untuk dijadikan panduan dalam pentadbiran negara. Abu Yusuf Berjaya menghasilkan Kitab al-Kharaj yang menjelaskan secara terperinci berkenaan peraturan-peraturan yang berkaitan percukaian termasuk kadar-kadar yang harus dibayar oleh individu terbabit. Kitab ini dihasilkan agar para amil yang bertugas memungut cukai dapat memahami kaedah percukaian dengan cara lebih jelas dan menghindarkan unsure penindasan.
2)  Pelaksanaan Kharaj
Kadar kharaj yang dikenakan tidak sama antara kawasan.Faktor yang menentukan kadar kharaj termasuk lokasi kawasan, kualiti tanah, penggunaan alat siraman dan kualiti benih tanaman. Lazimnya, minima 10 dirham dikenakan bagi setiap unit tanah pertanian. Bayaran kharaj dibayar dalam bentuk mata wang dan
6

harta benda yang bernilai seperti haiwan ternakan dan hasil tanaman. Syaratsyarat tanah yang dikenakan kharaj antaranya pemilik tanah merupakan penduduk zimmi, tanah kediaman yang dijadikan kawasan pertanian, tanah kharaj yang disewakan atau dipajak (kharaj yang dikenakan ke atas pemilik tanah bukan penyewa) dan pengecualian kharaj jika hasil pertanian musnah akibat bencana alam. Pada zaman Khalifah al-Mahdi, beliau memperkenalkan system percukaian Muqasamahia itu cukai dikenakan keatas sebahagian daripada hasil keluaran pertanian. Kharaj juga merupakan salah satu sumber terpenting baitumal berikutan kemajuan pesat dalam bidang pertanian dan pembangunan negara. Pada zaman khalifah al-Makmun, cukai kharaj yang dipungut di wilayah Iraq berjumlah 27.8 juta dirham manakala di wilayah Khurasan sebanyak 28 juta dirham.
3) Pelaksanaan Jizyah
Khalifah Abbasiyah telah mengembalikan sistem pungutan jizyah seperti mana zaman khulafa al-Rasyidin di mana kadar tahunan jizyah ialah 48 dirham ke atas golongan kaya, 24 dirham ke atas golongan pertengahan dan 12 dirham ke atas golongan miskin yang mampu menyara hidup mereka. Pelaksanaan pungutan cukai jizyah dipantau oleh gabenor-gabenor wilayah yang diantik oleh khalifah. Golongan yang dikecualikan jizyah termasuk orang perempuan, kanak-kanak, orang tua, fakir miskin, golongan cacat dan lemah hamba dan golongan sakit berpanjangan. Pada zaman kerajaan Abbasiyah, tiada diskriminasi dalam pelaksanaan jizyah, berbeza dengan zaman Umayyah dimana orang Islam bukan Arab (Mawali) turut dikenakan jizyah . Situasi ini mungkin disebabkan pada zaman Abbasiyah yang menguasai pentadbiran adalah bangsa Parsi dan Turki.Hasil pungutan jizyah disimpan di bawah baitulmal.
4) Pelaksanaan Usyur
      Kadar usyur berbeza terhadap jenis pedagang dan berdasarkan nilai dagangan. Cukai 2.5% dikenakan ke atas peniaga Islam, 5.0% ke atas peniaga kafir harbi. Jumlah usyur yang dikenakan adalah 200 dirham apabila cukup kadar nisabnya. Zaman Abbasiyah mencapai kemajuan ekonomi yang pesat dalam sector perdagangan, perindustrian dan pertanian. Baghdad muncul antara pusat pedagangan tersibuk di dunia. Pelabuhan utama terletak di Baghdad, Basrah, Kaherah dan lain-lain. Kapal-kapal membawa barang dagangan melebihi sejuta dirham.    Antara barang dagangan utama termasuk sutera, kasturi, rempah-ratus, batu permata dan lain-lain. Oleh itu, usyur menjadi cukai penting yang dikenakan ke atas barang para pedagang. Bermula zaman pemerintahan Khalifah al-Mahdi, kerajaan Abbasiyah telah menggenakan cukai perniagaan di pasar dan kedai-kedai di sekitar kota Baghdad dan wilayah kekuasaan Islam yang lain. Usyur digunakan untuk pembangunan Negara seperti menyediakan kemudahan tempat-tempat perniagaan dan sebagainya.


KESIMPULAN
Pelaksanaan system cukai yang sistematik dan terancang telah menyumbang kepada pembangunan dan kegemilangan kerajaan Abbasiyah. Sumber cukai yang stabil dan banyak menyebabkan kerajaan Abbasiyah mampu menyediakan pelbagai prasarana yang diperlukan oleh rakyat.

Soalan 4.  
Bincangkan sumbangan Ibn Majid dalam bidang pelayaran dan geografi.
Pendahuluan
1. Ibn Majid atau nama sebenarnya Shihab al-Din bin Majid al-Najdi. Dilahirkan di Julphar (Oman). Beliau merupakan seorang ahli pelayaran Arab yang terkemuka pada abad ke-9 H/15 M. 2. Beliau adalah daripada keturunan ahli pelayaran dan digelar “Singa Laut” kerana kemahirannya belayar di Lautan Hindi. 3. Beliau telah menghasilkan 25 buah kitab sama ada berbentuk prosa atau pun puisi yang merangkumi bidang pelayaran, perjalanan bintang, angin, ombak dan lain-lain yang menggambarkan penguasaannya dalam bidang pelayaran dan geografi.  Isi-isi utama
1. Menghasilkan penulisan kitab-kitab pengembaraan yang memberi sumbangan dalam bidang pelayaran.

a) kitab  al-Fawaid fi Usul ‘Ilm al-Bahar wa al-Qawaid (mengenai kaedah-kaedah dan faedah-faedah ilmu laut) i) Hasil karya dalam bentuk prosa yang dibahagikan kepada 12 buah bab. ii) Kandungan kitab ini mengenai permulaan pelayaran, jarum magnet, bulan, bintang, kompas, laluan Lautan Hindi, 10 buah pulau yang paling terkenal termasuklah Pulau Jawa, Sumatera dan Ceylon,  monsun yang sesuai bagi
8

pelayaran dengan tarikh mengikut perkiraan bangsa Parsi dan tentang Lautan Merah. iii) Tujuan beliau menghasilkan karya yang pertama ini disebabkan hasratnya ingin memperbaiki dan memperbetulkan kesilapan catatan-catatan yang telah dilakukan oleh pelayar-pelayar sebelumya. b) Menghasilkan kitab Hawiyat al Ikhtisar fi Usul ‘Ilm al-Bihar i) Dihasilkan pada tahun 866 H. Kandungan buku ini mengenai ilmu tarikh (falak), ilmu bahasa dan ilmu bintang. Juga berkaitan dengan laut di pantai Laut Arab, Hijaz, Syam dan Afrika. ii) Beliau juga menjelaskan laluan di Teluk Parsi, Lautan Hindi, Laut China, pantai, pelabuhan, garis lintang dan ilmu astronomi (falak). c) Menghasilkan kitab al-Urjuzah al-Mu’arrabah i) Dihasilkan pada tahun 890 H membicarakan pelayaran di Teluk Aden secara terperinci.  ii) Karya ini telah berjaya menarik perhatian bukan sahaja khalayak pembaca malahan juga dapat memberikan tarikan yang tersendiri kepada penjelajah-penjelajah lain.  d) Menghasilkan karya Qadimah Makkiyah i) Merupakan sebuah karya yang memberi huraian lengkap tentang laluan di Laut Merah dari Jeddah ke Tanjung Fartak (Selatan Semenanjung Tanah Arab), Calicut, Daibul, Kokan, Gujerat dan Hormuz.

e) Karya Aribah al-Dara’ib dan Urjuzah al-Maimiyah i) Karya Aribah al-Dara’ib pula merupakan huraian yang lengkap mengenai penggunaan bintang sebagai panduan dalam pelayaran.  ii) Beliau juga telah menghasilkan karya mengenai bintang-bintang di kutub utara berjudul Urjuzah al-Maimiyah.

2. Jurupandu a) Beliau telah memandu Vasco da Gama yang belayar dari Malindi iaitu pantai timur Afrika hingga ke Calicut (Kerala). b) Sumbangan Ibn Majid ini diikhtiraf oleh Portugis sehingga beliau digelar Malemo Canaqua.

3. Mengatasi masalah pelayaran a) Beliau menyelesaikan kekeliruan yang dialami oleh pelawat tentang nama-nama laut. b) Beliau memberi gambaran yang jelas tentang laluan dari Teluk Parsi ke Laut China Selatan dan laluan melalui Laut Hindi.  c) Malahan beliau juga memberi panduan kepada pelayar untuk menggunakan peralatan pelayaran seperti kompas.  



4. Meninggalkan legasi dalam bidang pelayaran a) Sumbangannya dalam bidang pelayaran telah dimanfaatkan oleh pelayar Eropah seperti Vasco Da Gama. b) Beliau juga telah menghasilkan lakaran peta laluan laut antara Eropah dengan India yang telah digunakan oleh pelayar Eropah.  c) Sejarawan Eropah pula beranggapan bahawa Ibn Majid telah berjasa kepada dunia pelayaran Eropah.  Buktinya, ada pandangan sejarawan yang mengatakan misi pelayaran Vasco Da Gama tidak menjadi realiti tanpa ilmu pelayaran yang dirintis oleh Ibn Majid.

5. Menghasilkan Ensiklopedia Ilmu Pelayaran a) Melalui ensiklopedia ini, Ibn majid telah mengemukakan prinsip-prinsip asas pelayaran, rumah agam lunar, perbezaan pelayaran antara pantai dan laut lepas, lokasi Bandar-bandar di Afrika Timur hingga Indonesia, kedudukan bantang, kisah mengenai monsun dan angin bermusim. Kesimpulan
a) Sumbangan Ibn Majid dalam bidang pelayaran dan geografi telah merangsang pelayaran tokoh-tokoh Islam lain dan memberi maklumat serta gambaran kepada masyarakat sejagat. b) Jelas bahawa Ibn Majid merupakan tokoh pelayaran Islam yang berjaya mengembangkan atau merintis ilmu pelayaran moden dan ilmu pelayaran ini telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat Barat untuk menjelajah dan neneroka dunia Timur.


Soalan 5. 
Sejauhmanakah pengaruh luar mempengaruhi  gerakan nasionalisme Mesir pada abad ke 20 masihi.
Pengenalan
Mesir pada awal abad ke-20 adalah di bawah naungan empayar Turki Uthmaniyah   tetapi   pengaruh   British   di     Mesir   amat   kuat.   British     telah mengukuhkan   kuasa   selepas   mengatasi   pemberontakan   Urabi   pada   tahun1881. British terus memerintah sehingga  Perang  Dunia Pertama. Semangat anti-British memuncak selepas Perang Dunia Pertama. Terdapat banyak faktor yang mendorong gerakan nasionalisme dalam kalangan penduduk Mesir menjelang abad   ke-20,   antaranya     ialah   pengaruh   agama, peranan   bahasa   dan kesusasteraan, pengaruh   kewartawanan,peranan   golongan   intelektual   dan pengaruh luar.
Isi.
Pengaruh luar paling besar menpengaruhi gerakan nasionalisme  Mesir yang berjaya membuatkan penduduk Mesir bangkit melawan kuasa asing ialah Perang Dunia Pertama. Para petani di Mesir dikerah secara paksa oleh British meninggalkan ladang-ladang mereka dan menyertai Perang Dunia Pertama dengan membantu pertubuhan palang merah dan menjadi hamba kepada tentera British di Palestin, Gallipoli serta Perancis. Kesannya  banyak nyawa rakyat Mesir terkorban dalam peperangan yang tidak mereka pinta ini. Keadaan ini menimbulkan kesedaran dalam kalangan masyarakat Mesir untuk menentukan nasib mereka sendiri tanpa bergantung kepada orang luar yang membangkitkan semangat nasionalisme Mesir.
Faktor pengaruh luar berikutnya ialah Pengaruh Revolusi Prancis. Ketika Napoleon Bonaparte mendarat di Mesir, ia juga membawa suara Revolusi Prancis yang kemudian menimbulkan fahaman liberal dan nasionalisme Mesir. Napoleon berjaya menguasai Mesir walaupun dalam tempoh yang singkat berjaya membawa perubahan kepada senario bangsa Mesir. Ini berlaku apabila bijak pandai Mesir dapat mengenali percetakan  moden majalah dan surat khabar. Idea Revolusi Perancis seperti sistem pemerintahan republik, idea persamaan kedudukan dalam pemerintahan dan semangat kebangsaan mula tersebar di kalangan masyarakat Mesir. Keadaan ini mempengaruhi gerakan nasionalisme Mesir pada abad ke 20 masihi.
Faktor pengaruh luar seterusnya ialah pembukaan Terusan Suez yang telah menyebabkan penjajahan Perancis dan Inggeris di Mesir. Keadaan negara Mesir yang  mengalami krisis kewangan telah menyebabkan saham-saham Terusan Suez di jual kepada Inggeris telah menimbulkan rasa tidak puashati rakyat Mesir. Kesannya telah menimbulkan
11

penentangan terhadap penjajahan Inggeris dan Perancis di Mesir  yang membangkitkan nasionalisme Mesir pada abad ke 20 masihi.
 Faktor luar lain: o Pelajar menuntut ilmu di Eropah o Kehadiran tentera bersekutu di Mesir o Revolusi USA
Namun demikian faktor dalaman juga mempengaruhi gerakan nasionalisme Mesir pada abad ke 20 masihi.  Pengaruh agama merupakan salah satu daripada faktor dalaman kebangkitan semangat nasionalisme di Mesir. Golongan reformis Islam muncul akibat usaha British membaratkan masyarakat Mesir. Mereka menubuhkan Ikhwanul Muslimin untuk menegakkan Islam berdasarkan Al-Quran dan hadith. Gerakan ini menggunakan pengaruh Islam untuk mewujudkan kesedaran dan berjihad. Golongan ini juga berasa bimbang tentang golongan cerdik pandai yang terpengaruh dengan Barat dan terus menyokong mereka dalam gerakan nasionalisme Mesir
Bahasa dan kesusasteraan memainkan peranan dalam gerakan nasionalisme Mesir. Pembunuhan  seorang hakim, Boutrous     Ghali telah mendorong masyarakat Mesir untuk menentang penjajahan asing. Kematian beliau yang diabadikan dalam sajak-sajak yang diterbitkan dalam Al-Muayyaddan al-Liwa menyemarakkan lagi semangat nasionalisme. Golongan modenis Islam seperti Razyid Rida memperjuangkan bahasa Arab sebagai bahasa rasmi dalam pentadbiran menggantikan bahasa Inggeris.
Bidang kewartawanan turut memainkan peranannya dalam menimbulkan semangat   kesedaran nasionalisme Mesir.  Surat   khabar   digunakan   oleh   sesetengah   pihak   untuk memperjuangkan hak mereka. Rasyid Rida,orang kanan Muhammad Abduh menimbulkan kesedaran melalui akhbar Salafiya. Beliau sentiasa mengkritik dan menyalahkan penjajah atas nasib malang masyarakat Arab. Penulis wanita seperti Malak Hifni Nazif pula tidak ketinggalan dalam memperjuangkan hak mereka terutama dalam isu pendidikan yang dipinggirkan oleh pemerintah.
Kesimpulan
 Kesan penentangan yang berterusan oleh nasionalis Mesir   mendorong British untuk mengistiharkan kemerdekaan Mesir pada tahun 1922. Ahmad Fuad menggunakan gelaran sultan,iaitu Raja Fuad. Selepas pilihan raya, Saad Zaghlul dilantik sebagai Perdana Menteri Mesir yang pertama.


Soalan  6
Bincangkan faktor luaran dan dalaman yang membawa kepada kemunculan Negara bangsa Turki pada abad ke 20.
A. Pengenalan.

1. Konsep ` Negara Bangsa’ ialah sebuah Negara yang berdaulat dan bebas dengan penduduknya  yang mempunyai kesedaran bahawa mereka adalah milik bersama berasaskan bahasa, adat dan tradisi yang sama mempunyai  pemerintah tersendiri , sempadan wilayah, dan hak untuk menggubal undang-undang sendiri.

2. Oleh itu, pembentukan Negara bangsa Turki yang bermula pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Hamid II. Pembentukan negara bangsa Turki disebabkan oleh faktor luar Negara dan dalam Negara. B. Isi.
      Faktor luar Negara.
i. Tekanan kuasa-kuasa Barat a. Faktor luar negara yang mpengaruhi pembentukan negara bangsa Turki ialah faktor tekanan kuasa Barat untuk menguasai kekayaan kawasan Turki Uthmaniyah. Hal ini demikian kerana kuasa imperialis iaitu Britain, Perancis dan Rusia bersaing antara satu sama lain. Mereka bergambung untuk menghancurkan empayar Uthmaniyah. Pihak barat juga menghasut penduduk bukan Islam di wilayah Turki Uthmaniyah untuk memberontak.  b. Negara-negara Eropah ingin menghancurkan empayar Turki Utmaniyah untuk merebut wilayah dan harta peninggalannya.Akibatnya, tindakan kuasa-kuasa barat ini mendorong Sultan Empayar Uthmaniyah untuk menguatkan pembentukan Negara bangsa Turki.

ii. Dasar Pan –Islamisme. a. Faktor luar negara yang mempengaruhi pembentukan negara bangsa Turki ialah dasar Pan Islamisme yang diasaskan oleh tokoh-tokoh dari luar negara .Dasar Pan Islamisme memainkan peranan dalam pembentukan Negara bangsa Turki
13

pada abad ke 20 Masihi.Hal ini disebabkan dasar ini menekankan fahaman perpaduan khalifah yang membela hak umat Islam sejagat. Fahaman ini bukan sahaja disebarkan di Turki sahaja tetapi diseluruh dunia. Melalui dasar ini, umat Islam digesa untuk bersatu di bawah pimpinan Sultan Abdul Hamid II. Baginda berusaha membangunkan keagungan khalifah Islamiyah.  b. Jamaluddin al-Afgani dan Rashid Rida merupakan antara tokoh yang membantu menggerakkan program ini untuk menahan kemaraan kuasa barat. Kesannya penyatuan umat Islam di bawah dasar Pan Islamisme juga menyebabkan pembentukan Negara bangsa Turki.
Faktor dalam Negara.
i. Sistem Pendidikan a. Faktor dalam negara yang mempengaruhi pembentukan negara bangsa Turki ialah faktor pendidikan. Pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Hamid II, system pendidikan telah diberi keutamaan . Ini bertujuan untuk memajukan empayar Turki supaya setaraf dengan Negara-negara barat.Sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pendidikan tinggi dibina untuk mencapai matlamat perpaduan dan kemajuan. Oleh itu muncul ramai cerdik pandai yang mempunyai pemikiran nasionalisme. b. Idea nasionalisme dan sekularisme dapat menyerap secara beransur-ansur dalam kehidupan masyarakat Turki. Konsep Negara bangsa lahir kesan daripada fahaman kebangsaan moden dalam kalangan cerdik pandai. Ideologi yang berada dalam pemikiran golongan terpelajar Islam Turki membawa kepada keruntuhan empayar Turki Uthmaniyah dan penubuhan Negara bangsa Turki.

ii. Rejim Turki Muda. a. Faktor yang mempengaruhi pembentukan negara bangsa di Turki seterusnya ialah peranan Rejim Turki Muda. Golongan Turki Muda menentang pemerintahan Sultan Abdul Hamid II. Golongan ini terdiri daripada pelajar yang melanjutkan pelajaran ke luar Negara dan banyak dipengaruhi oleh idea-idea Revolusi Perancis 1789.  b. Pada tahun 1908, Rejim Turki Muda telah berjaya menguasai politik Turki telah menekankan dasar Turkifikasi sebagai reaksi kepada penentangan golongan bukan Islam dari kawasan Balkan.  c. Rejim Turki banyak memberi sumbangan terutamanya dalam pembentukan Negara bangsa Turki iaitu menyelamatkan kerajaan Turki daripada gerakan kristianisasi.



14

iii. Peranan golongan minoriti a. Faktor yang mempengaruhi  pembinaan negara bangsa Turki seterusnya ialah bergantung kepada peranan golongan minoriti dalam empayar Turki. b. Jelaslah bahawa di bawah pemerintahan Sultan Abdul Hamid II, golongan Ahli alDhimmah telah diberi pelbagai keistimewaan. Mereka dilindungi dan diberi hak selaras dengan tuntutan Islam. Namun mereka tidak setia kepada sultan apabila mereka dihasut oleh orang-orang Barat untuk memberontak. c. Misalnya orang kristian dan yahudi di kwasan Balkan iaitu orang Armenia, Moronite dan Rom. d. Pemberontakan oleh orang Armenia dan campur tangan puak Yahudi dan Yahudi Dunama telah menyemarakkan lagi semangat puak nasionalis Turki dan Arab yang membawa kepada kemerosotan sistem khalifah Islamiah.

iv. Perkembangan Ekonomi a. Faktor dalam negara yang seterusnya mempengaruhi peembentukan negara bangsa Turki  ialah faktor perkembangan ekonomi. Sultan Turki Uthmaniyah turut memberi perhatian yang serius dalam bidang teknologi terutama komunikasi dan pengangkutan. Kemudahan sistem telegraf di sediakan di seluruh negara dan masih terdapat sebahagian negara Eropah yang belum menyediakan kemudahan tersebut. Baginda mengarahkan supaya dibina talian telegraf sepanjang 30 000 km di seluruh negara dan menubuhkan Kementerian Telegraf untuk menjayakannya. Sistem ini dapat menyampaikan maklumat dalam bidang pentadbiran, ekonomi dan politik dengan pantas serta telah membawa faedah kepada perkembangan ekonomi dan politik di seluruh empayar Turki Uthmaniyah. b. Dalam bidang pengangkutan baginda telah melancarkan projek landasan kereta api Hijaz yang dimulakan pada tahun 1901 dan berjaya disiapkan pada tahun 1908. Projek ini menghubungkan bandar Constantinapole dengan Madinah iaitu sepanjang 1327 batu. Ianya menelan belanja 3 juta paund sterling. Pembinaan dan pembiayaan jalan ini ditampung dilakukan sepenuhnya oleh orang Islam contohnya kakitangan awam dan tentera pula dipotong 10% daripada gaji mereka. Pembinaan landasan kereta api Hijaz merupakan langkah wajar kerana ia membawa faedah dalam bidang ekonomi, perdagangan, dakwah, politik dan strategi keselamatan. Ianya juga dapat merealisasikan dasar Pan-Islamisme yang diperkenalkan oleh baginda.

v. Politik dan Pentadbiran a. Faktor seterusnya yang mempengaruhi pembentukan negara bangsa Turki ialah kemajuan politik dan pentadbiran. Sultan Abdul Hamid II mewarisi sebuah kerajaan yang berada di peringkat muflis. Jumlah hutang pada peringkat awalpemerintahan berjumlah 300 juta lira. Baginda telah melunaskan semua hutang tersebut sebagai langkah untuk membebaskan Turki daripada tekanan politik barat. Dengan melunaskan hutang, baginda tidak memberi ruang kepada barat untuk melakukan pencerobohan ke atas wilayahnya. b. Semasa rejim Turki Muda menguasai politik Turki pada tahun 1910 hingga 1915 mereka menekankan dasar Turkifikasi bagi seluruh empayar tersebut sebagai reaksi kepada penentangan dan pemberontakan yang datangnya dari negerinegeri Balkan. c. Selepas penyingkiran Sultan Abdul Hamid II al-Itihad wa al-Taraqqi bermula secara rasmi pada tahun 1909 dan bukan pada tahun 1924 iaitu selepas Mustafa Kamal Ataturk memansuhkan sistem Khalifah Uthmaniyah. Dalam tempoh tersebut semua keputusan utama dalam pentadbiran kerajaan dibuat oleh golongan ini termasuk apabila melibatkan diri dalam Perang Dunia 1. Golongan ini menimbulkan nasionalisme Turki sebenarnya dipelopori oleh bangsa Rusia dan Yahudi Danuma yang kebanyakkannya lepasan sekolah Kristian atau Eropah. Mereka yang mengasaskan gerakan ini kemudiannya bertanggungjawab meniupkan semangat nasionalisme Turki atas nama merealisasikan impian bangsa Turaniah. Gerakan ini menyeru ke arah fahaman baru yang berpaksikan kepada slogan ‘kebangsaan, perlembagaan, persamaan dan kebebasan’. Golongan ini telah menyebarkan fahaman mereka dalam kalangan Turki Muda. Rejim Turki Muda yang diketuai pemimpin tiga serangkai (Tal’at Pasha, Enver Pasha dan Kolonel Jamal Pasha) kemudiannya telah memaksa seluruh rakyat di bawah empayar Turki Uthmaniyah sama ada Arab, Armenia, Greek dan lain-lain menjadi Turki.

C. Kesimpulan. 1. Pembentukkan negara bangsa Turki dipengaruhi oleh faktor-faktor yang berlaku di luar negara dan dalam negara.Pembentukan negara bangsa Turki telah melahirkan pemimpin politik daripada aliran sekular.
SUMBER-JPN KELANTAN

Tiada ulasan: