1.
Bincangkan
peranan golongan Muhajirin di Makkah dan Madinah dalam perkembangan Islam pada
zaman Nabi Muhammad SAW.
PENDAHULUAN
Golongan Muhajirin merupakan
penduduk asal kota Makkah dan merupakan masyarakat Quraisy. Golongan
ini merupakan masyarakat yang terawal memeluk islam. Kemudiannya mereka berhijrah ke Madinah kerana
penentangan dari Musyrikin Makkah. Di Madinah mereka dipanggil Muhajirin dimana
istilah ini berasal daripada perkataan ‘muhajir’ yang bermaksud penghijrah. Golongan Muhajirin sememangnya berperanan
penting ketika di Makkah dan Madinah dalam perkembangan Islam pada zaman
Rasulullah SAW :
ISI
Peranan Muhajirin di Makkah
1. Menerima
dan mempertahankan islam.
Sewaktu di Makkah merekalah kelompok pertama yang menerima dan mempertahankan
keutuhan agama islam. Merekalah golongan
pertama yang melafazkan kesetiaan terhadap Islam dan bersama-sama berjuang
dengan Rasulullah. Sebagai contoh Abu
Bakar, Uthman bin Affan, Ali bin Abi Talib dan lain-lain adalah pendukung islam
pada peringkat awal ketika dakwah secara
sulit. Selepas pengislaman Umar Al Khattab, umat islam mula berani berdakwah secara terang-terangan. Mereka bertindak membantu Nabi dalam usaha
mengembangkan ajaran islam di Mekkah pada masa itu
2. Sanggup
menghadapi rintangan dan penentangan.
Golongan Muhajirin juga sanggup menghadapi segala rintangan dan
penentangan hebat daripada kaum musyrikin Makkah dalam mengembangkan islam sama
ada secara fizikal atau mental. Meskipun mereka menerima pelbagai ejekan,
penghinaan penyiksaan dan
pembunuhan. Bagaimanapun keimanan mereka
tetap teguh dan kelompok ini terus tabah bagi memastikan islam terus
berkembang. Contohnya penyiksaan ke atas Bilal bin Rabah dan pembunuhan ke atas keluarga Ammar bin
Yassir tidak melemahkan keimanan umat
islam yang lain. Kesemua ini dilakukan demi mengembangkan agama islam
3. Sanggup berkorban nyawa dan harta
Kelompok ini banyak menyumbang harta benda dalam mengembangkan agama
islam menerusi gerakan dakwah. Sahabat-sahabat Rasulullah seperti Abu
Bakar, Umar,Uthman dan Siti Khadijah berusaha membeli dan
membebaskan hamba.Al Arqam pula sanggup
menghadiahkan rumahnya untuk dijadikan markas dakwah. Ali bin Abi Talib sanggup tidur ditempat tidur Rasulullah pada
malam peristiwa hjrah manakala Abu Bakar setia bersama Rasulullah sewaktu
hijrah ke Madinah . Kesemua usaha ini dilakukan demi untuk mengembangkan agama
islam
4. Menjalankan usaha dakwah
Sahabat-sahabat Rasulullah turut membantu mengembangkan islam samada secara sembunyi mahupun secara
terangan . Mereka menyeru kum keluarga, sahabat handai dan penduduk Makkah
kearah agama yang benar. Pada peringkat awal penyebaran islam Abu Bakar berjaya mengislamkan Abdul Rahman
bin Auf, Talhah, Zubair dan lain-lain.Dakwah secara sulit selama tiga
tahun diikuti secara terangan .Bermula
dari sinilah umat islam berdepan dengan cabaran ekoran usaha dakwah ditentang
hebat oleh musyrikn Makkah.
5. Berhijrah ke Madinah
Golongan Muhajirin sanggup meninggalkan Makkah dan segala
kekayaan untuk berhijrah bersama
Rasulullah ke Madinah demi mengembangkan agama islam. Ini merupakan pengorbanan
yang paling besar kerana mereka sanggup meninggalan kampung halaman, harta
benda, keluarga demi Allah dan RasulNya. Individu yang pertama berhijrah ialah
Abu Salamah bin Abdul Asad dan diikuti Amir bin Rabiah dan isteriya Laila
Jahsi. Pada peringkat awal seramai 70
orang islam ( Muhajirin )berketurunan Quraisy berhijrah ke Madinah.
Penghijrahan ini menandakan bermulanya hubungan diplomatik dengan kerajaan
asing dan pengembangan agama islam sebagai agama yang benar.
Peranan Muhajirin di Madinah
1.Membantu Rasulullah dalam
Keagamaan dan Pentadbiran
Golongan Muhajirin merupakan pembantu utama kepada perkembangan agama
islam dalam aspek keagamaan dan pemerintahan.Contoh selepas peristiwa Aqabah 1
(622M) Mus’ab bin Umair telah diutus sebagai pendakwah bagi membantu penduduk
Madinah mendalami ajaran islam. Mereka membina masjid di tengah kota Madinah
dan dapat melakukan amal ibadat secara
terbuka yang tidak dapat dilakukan di Makkah.
2. Berkorban harta untuk agama
Demi mengembangkan agama islam golongan Muhajirin juga telah
mengorbankan nyawa dan harta demi agama sebagai contoh Uthman bin Affan telah
berkorban dengan menyumbangkan 100 ekor
unta dan 1000 dinar ketika perang Tabuk
dalam membantu tentera islam. Tindakan ini dibuat agama Islam dapat memenangi
perang tersebut seterusnya syiar islam dapat di kembangkan
3. Mengukuhkan
ketenteraan islam.
Selain itu golongan Muhajirin juga merupan
tunggak ketenteraan dalam menghadapi musuh dan mengembangkan agama. Contohnya
Umar al Khattab, Hamzah bin Abdul Muttalib, Ali bin Abi Talib merupakan pejuang islam terkemuka dalam
mengembangkan agama.
4. Menjadi utusan dakwah ke luar Negara
Dalam mengembangkan agama islam di Tanah Arab Rasulullah telah
bertindak menghantar golongan Muhajirin sebagai utusan dakwah keluar
Semenanjung Arab. Contohnya Amru bin Umayyah ke Habsyah dan Abdullah bin
Huzaifah ke Parsi. Usaha ini adalah amat penting dalam membantu gerakan dakwah
Nabi terutama dalam mengembangkan agama islam.
KESIMPULAN
Golongan Muhajirin telah
terlibat sepenuhnya dalam membantu mempertahankan dan mengembangkan islam yang
dibawa oleh Rasulullah. Golongan Muhajirin terus memainkan peranan penting
selepas bergandingan dengan golongan Ansar bagi memastikan kejayaan perjuangan Rasulullah di Makkah dan Madinah. Walau bagaimanapun selepas kewafatan
Rasulullah penglibatan golongan muhajirin lebih terserlah apabila di kalangan
merekalah dilantik khalifah-khalifah untuk memimpin umat dan negara islam
Madinah
1. Jelaskan konsep Jihad serta etika perang yang
dipraktikkan pada zaman Nabi Muhammad SAW.
Pengenalan
1.
Konsep pertahanan
dalam Islam ialah bagaimana umat Islam mempertahankan kedudukan dan kesucian
agama Islam daripada dicabul oleh musuh-musuh Islam. Islam tidak
menggalakkan peperangan, namun peperangan adalah pilihan terakhir dan terpaksa
diharungi demi mempertahankan kesucian agama, maruah diri dan negara, serta menegakkan
hukum Allah,
2.
Islam berasaskan dua
prinsip yang utama. Pertama, yang berkaitan akidah, iaitu kepercayaan kepada
Allah S.W.T dan mentauhidkanNya dan kedua, syariah, iaitu undang-undang yang
diwahyukan.
3.
Konsep ketahanan dan pertahanan
dalam Islam dimantapkan lagi dengan pengenalan jihad dan etika perang bagi
menyemarak semangat tentera Islam dalam menyebarkan agama Islam serta menjamin kesejahteraan umat manusia sejagat dan
memberikan pengajaran kepada seteru- seteru Islam. Etika peperangan dalam Islam terbahagi kepada tiga mengikut
situasi iaitu etika sebelum peperangan, etika semasa peperangan dan etika
selepas peperangan.
Isi-isi
ISI
A.
Konsep Jihad
§ Perkataan jihad berasal dari kata akar ‘jahada’ bererti berusaha
keras, bersungguh-sungguh dan berjuang. Dalam istilah syarak, bererti berjuang
iaitu berjuang dalam peperangan, berjuang menentang hawa nafsu, berjuang untuk
menegakkan keadilan dan kebenaran bagi menegakkan kalimah Allah. Dari sudut bahasa
pula, jihad bermaksud penumpuan segala tenaga dan usaha untuk mencapai satu
cita-cita iaitu menegakkan syiar Islam. Menurut Abu’ a’la al-Maududi, erti
jihad dalam Islam bukan sekadar suatu perjuangan, ia adalah perjuangan di jalan
Allah dan fisabilillah merupakan syarat utama bagi jihad dalam Islam. Jihad
memperkukuhkan ketahanan dan pertahanan angkatan tentera Islam pada zaman awal
Islam.
§ Menurut
Abdul Aziz Mat Zin dalam bukunya ‘Penghantar Dakwah Islamiah’, walaupun jihad
itu adalah pelbagai jenis dan pengertian, namun selalunya ia dirujuk khusus
kepada peperangan melawan musuh untuk menegakkan Islam. Dalam keadaan ini,
beliau menegaskan bahawa jihad merupakan satu kemuncak kepada usaha dakwah
iatiu menyebarkan syiar Islam terutama semasa zaman Nabi s.a.w. dan zaman
sahabat yang dapat disaksikan dalam perang Badar, Perang Uhud, Ahzab, pembukaan
Makkah. Dengan itu jihad telah memperkukuhkan ketahanan dan
pertahanan umat Islam.
B. Etika
Perang
1. Tawaran
kepada musuh sebelum berperang
· Tentera Islam dikehendaki menawarkan kepada pihak
musuh sama ada memeluk Islam atau
membayar jizyah sebagai simbol kepatuhan terhadap pemerintahan kerajaan
Islam.
· Peperangan akan berlaku seandainya pihak musuh
masih berkeras dan memulakan serangan ke atas orang Islam.
2. Patuh
kepada arahan ketua tentera
· Tentera Islam diwajibkan akur/patuh dengan arahan
pemimpin atau ketua tentera demi mengelakkan berlakunya sesuatu yang tidak
dijangkakan.
· Tentera Islam juga tidak boleh lari atau
meninggalkan medan perang melainkan dengan keizinan ketua.
· Contohnya, kekalahan tentera Islam dalam perang
Uhud berpunca daripada kesilapan tentera pemanah Islam yang tidak mematuhi
arahan Nabi Muhammad SAW agar tidak meninggalkan posisi masing-masing.
3. Larangan
merosakkan harta benda
· Tentera Islam dilarang merosakkan harta benda
penduduk dan kemudahan
awam kecuali
dalam keadaan darurat.
· Perbuatan seperti memusnahkan harta benda musuh
termasuk membakar rumah penduduk, rumah
ibadat dan kebun-kebun tidak dibenarkan kerana ia bukan sahaja melibatkan
kepentingan awam, malah menyebabkan berlakunya pembaziran, menjejaskan matlamat
peperangan dan sebagainya.
· Keadaan ini membuktikan bahawa Islam mementingkan
keamanan dan
kesejahteraan.
4. Larangan
memerangi golongan lemah
· Tentera Islam dilarang bertindak atau memerangi
golongan kafir yang lemah sama ada golongan wanita, kanak-kanak, orang tua,
paderi dan pendeta.
· Namun seandainya golongan ini memainkan peranan
penting seperti penggerak atau pencetus tindakan keras sewajarnya boleh
dilakukan.
5. Mengutamakan
perdamaian dan mematuhi perjanjian damai
· Peperangan hendaklah dihentikan seandainya pihak
musuh memohon perdamaian, contohnya ketika Nabi Muhammad SAW dan tentera berhasrat melancarkan
serangan ke atas kota Makkah ,pihak musuh telah memohon perdamaian sehingga
termeterainya Perjanjian Hudaibiah.
· Malahan,tentera dan umat Islam diwajibkan mematuhi
segala perjanjian damai yang telah dipersetujui.
6. Layanan
baik terhadap tawanan perang.
· Tentera Islam dikehendaki melayan dengan baik musuh
yang berjaya dikalah dan ditawan.Tentera Islam dilarang menyeksa atau membunuh
tawanan perang sewenang-wenangnya.
· Islam menetapkan etika peperangan iaitu tidak boleh
memerangi orang yang sudah menyerah. Kafir zimmi atau mereka yang sudah
mengikat perjanjian damai serta mengaku taat setia kepada pemerintah Islam.
Tindakan ini merupakan salah satu kaedah berdakwah yang diajar oleh nabi.
· Umpamanya, tindakan Nabi Muhammad SAW yang
memberikan pengampunan terhadap tawanan ketika peristiwa pembukaan kota Makkah
dan layanan yang adil terhadap tawanan Perang Badar yang berlaku pada tahun 2
H.
· Tentera Islam juga dilarang melakukan perbuatan
yang boleh mengaibkan musuh seperti mencincang mayat musuh.
7.
Larangan
memerangi musuh yang sudah menyerah kalah, kafir zimmi, kafir mu’ahad dan kafir
musta’mar – kecuali mereka mengancam orang-orang Islam.
8.
Keadilan dalam
pengagihan harta rampasan perang.
9.
Berperang bila
diperangi dan menyerang bila keadaan memerlukan – Perang Khaibar.
Kesimpulan
Jelaslah bahawa Jihad dan etika perang memainkan peranan penting dalam
perkembangan syiar Islam dengan memberi satu panduan kepada umat Islam dalam
menghadapi peperangan. Selain itu juga dengan
adanya etika perang menyebabkan ketenteraan Islam semakin kukuh dan dipandang
tinggi oleh pihak musuh.dan
pembentukan umat Islam pada zaman Nabi Muhammad SAW dan zaman selepasnya.
3. Huraikan pelaksanaan kharaj pada zaman
pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab pada abad ke-7M.
A.Pengenalan
1. Dalam konteks sejarawan
Islam, kharaj bermaksud cukai tanah. Kharaj merupakan cukai tanah yang dikenakan ke
atas pemilik tanah yang ditakluki oleh tentera Islam melalui peperangan atau
secara aman.
2. Sistem cukai ini mula
diperkenalkan oleh Khalifah Umar al-Khattab sebagai salah satu sumber
baitulmal. Kadar kharaj yang dikenakan adalah berbeza mengikut keadaan,
mengikut jumlah yang mampu dibayar dan tidak membebankan. Kharaj terbahagi
kepada dua iaitu Kharaj Wazifah dan Kharaj Muqasamah.
B.Isi
1.Pelaksanaan Kharaj di Iraq
a. Pada zaman Khalifah Umar, terdapat 2 jenis tanah iaitu tanah
bertuan dan tanah tidak bertuan. Bagi tanah bertuan, sekiranga pemiliknya orang
Islam adalah tanah zakat manakala bagi tanah yang bukan Islam (zimmi) adalah
tanah yang wajib dikenakan kharaj.
b. Bagi tanah yang tidak
bertuan dikenali sebagai tanah Sawafi (awam) yang diletakkan di bawah
pentadbiran golongan Ahl al-Ayyam sebagai Pemegang Amanah. Golongan Ahl
al-Ayyam ini adalah merupakan orang Arab beragama Islam yang terlibat dalam
ekspedisi penaklukan awal kawasan Iraq.
c. Kutikan cukai kharaj adalah 1/5 daripada hasil tanah
terdebut dan dihantar kepada kerajaan pusat di Madinah dan bakinya pula
dibahagikan kepada tentera yang terlibat dalam gerakan ketenteraan.
d. Semua tanah sawafi di Iraq telah diukur terlebih dahulu agar
kadar kharaj yang dikenakan tidak membebankan. Tanah Sawafi yang boleh
diusahakan adalah berkeluasan 36 juta jarib di Iraq. Kharaj wazifah ialah cukai tanah yang dikenakan
berdasarkan keluasan tanah dan jenis tanaman sepeti gandum sebanyak 2 dirham,
barli 1 dirham dan sebagainya. Cukai ini dibayar sekali setahun.Kharaj
Muqasamah pula dibayar berdasarkan hasil tanah yang diperoleh samada
½,1/3,1/4,1/5 atau 1/6 dan tidak membebankan rakyat.
e. Jumalah kutipan kharaj di Iraq adalah berjumlah 80 juta
dirham dan sistem kutipan yang adil dan sistematik ini telah berjaya
meningkatkan pendapatan petani dan hasil tanaman di Iraq.
2. Pelaksanaan Kharaj di
Mesir
a. Pada zaman Khalifah Umar, baginda telah mengubah sistem
kutipan yang tidak adil di Mesir yang dikenakan ke atas rakyat Mesir pada zaman Firaun dan pemerintah Rom
yang membebankan rakyat.
b. Khalifah Umar telah meminta pakar-pakar menganggarkan jumlah
hasil tanaman dan kadar cukai yang harus dikutip kerana kebergantungan tanaman
di Mesir adalah daripada air banjir Sg. Nil menyebabkan hasil tanaman sukar
ditentukan dengan tepat.
c. Dianggarkan jumlah kutipan tahunan cukai kharaj di Mesir
adalah lebih kurang 1 juta dinar. Jelaslah, kutipan cukai kharaj ini telah
berjaya memakmurkan lagi ekonomi Negara pada zaman Khalifah Umar al-Khattab.
3. Pelaksanaan Kharaj di Syria
a. Di Syria, Khalifah Umar al-Khattab telah mengekalkan semula
sistem kutipan cukai kharaj yang telah diperkenalkan oleh Raja Yunani.
b. Tanah di Syria dikelaskan berdasarkan kualiti dan
kesuburannya. Pendapatan kharaj di Syria berjumlah 14 juta dinar setahun.
c. Jelaslah kutipan hasil kharaj yang tinggi telah menyumbang
kepada lebih banyak pembinaan infrastruktur , prasarana serta pelbagai kegiatan
pertanian turut dapat dimajukan untuk kemudahan rakyat.
C. Kesimpulan
Khalifah
Umar al-Khattab telah berjaya meningkatkan pendapatan negara melalui kutipan
cukai kharaj yang adil dan sistematik. Sistem
pelaksanaan kharaj yang adil telah menguntungkan para pemilik tanah dan
pengusaha tanah di Iraq, Mesir dan Syria.
Walau bagaimanapun, sistem kharaj ini telah mengalami perubahan dan
pengubahsuaian mengikut masa dan keadaan semasa pemerintahan kerajaan Bani
Umaiyyah dan kerajaan Bani Abassiyyah termasuklah pembentukan Diwan al-Kharaj
yang menjadi sumber penting pendapatan negara.
4.
Bincangkan ciri-ciri pendidikan Islam pada zaman
pemerintahan khalifah Umayyah dari abad 7 hingga 8 Masihi.
Pengenalan
Perkembangan
pesat dalam bidang pendidikan telah berlaku pada zaman kerajaan Bani Umayyah
dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti
pekembangan masyarakat Islam,
gerakan agama, falsafah dan sejarah.Galakan dan kecintaan para khalifah Bani Umayyah
terhadap bidang pendidikan merupakan asas utama berlakunya perkembangan ilmu
sama ada ilmu keagamaan mahupun ilmu-ilmu yang berkaitan dengan keduniaan.Usaha
memperkasakan bidang pendidikan dapat dilihat melalui usaha-usaha khalifah Bani
Umayyah menjadikan kota-kota utama seperti Damsyik, Kufah dan Basrah sebagai
pusat perkembangan ilmu pengetahuan.
Isi-Isi
Ciri-Ciri Pendidikan Islam Zaman Khalifah Umayyah dari
abad 7 hingga 8 Masihi
1. Asas pendidikan
·
Sumber utama pendidikan ialah al-Quran dan hadis(sunnah)
dan diikuti sumber akal dalam bentuk ijtihad dan qias bagi menjelaskan sesuatu
perkara yang tidak diterangkan secara jelas oleh al-Quran dan hadis.
·
Pelaksanaan pendidikan bertujuan mewujudkan
pembangunan yang seimbang antara aspek aqliah dan naqliah bagi membolehkan
manusia mengenali penciptaNya serta mentaati segala perintahNya.
·
Pendidikan berlaku secara tidak formal dan
formal. Pendidikan tidak formal
dijalankan di masjid. Contohnya di Masjid Amawiyin(umawi) di Damsyik yang
didirikan oleh khalifah Khalid al-Walid yang berusaha mengembangkan ilmu
pengetahuan dan menghapuskan buta huruf dalam kalangan rakyatnya. Pendidikan
secara formal berlaku di kuttab dan di
istana khalifah.
2. Dasar dan perkembangan pendidikan
·
Dasar pendidikan percuma diberikan kepada golongan kurang berkemampuan di kuttab dan
pengajian terbuka di masjid-masjid.
·
Kebanyakkan rakyat menuntut ilmu walaupun tiada dasar
wajib belajar. Namun berbeza dengan putera-putera khalifah yang diberikan
pelajaran wajib sama ada didatangkan guru-guru khas ke istana atau dihantar ke
halaqah pengajian.
·
Tiada sukatan kurikulum khas ditetapkan. Namun ia
berkaitan dengan ilmu fardu ain dan fardu kifayah.
·
Perkembangan ilmu pengetahuan seiring dengan
penyebaran agama Islam dan melahirkan tokoh-tokoh agama dan cendiakawaan Islam
seperti Abdullah bin Abbas dan Hassan al-Basri.
·
Peranan khalifah dalam perkembangan ilmu dan
penyebaran Islam seperti khalifah khalid al-Walid dan khalifah Umar Abdul aziz.
·
Ilmu sejarah turut berkembang dan dikhaskan kepada
putera-putera khalifah agar mereka dapat memahami ilmu kenegaraaan, sistem
pemerintahan dan pentadbiran kerajaan silam sebagai panduan semasa menjadi
khalifah satu masa nanti. Antara karya sejarah terkenal pada zaman Umayyah
adalah Kitab al-Mulk wa Akbar al-Madin.
3.Institusi pendidikan dan bentuk pengajaran
·
Pada zaman kerajaan Umayyah, terdapat tiga buah
insitusi pendidikan terpenting iaitu masjid, istana khalifah dan sekolah yang
dikenali sebagai al-kuttab.
·
Masjid-masjid di Makkah, Madinah dan Damsyik merupakan
pusat perkembangan dan penyebaran ilmu agama. Masjid di Basrah dan Kufah
merupakan pusat pengajian bahasa dan nahu secara saintifik ekoran pengislaman
bangsa-bangsa Arab. Pada zaman Umayyah, tanda-tanda bunyi dalam tulisan Arab
seperti dhammah, pathah dan kasrah telah diperkenalkan untuk memudahkan orang
bukan Arab mempelajari al-Quran dan hadis. Bentuk pengajaran di masjid
dijalankan secara halaqah iaitu proses pengajaran dan pembelajaran yang
dilaksanakan apabila murid berkumpul dalam bentuk bulatan mengelilingi gurunya
dengan menadah kitab yang diajar.
·
Istana khalifah turut menjadi pusat pendidikan yang
berfungsi sebagai tempat belajar dan perpustakaan untuk putera-putera khalifah
dan anak-anak pembesar. Subjek yang diajar seperti sejarah, kesusasteraan, ilmu
pidato dan lain-lain. Khalifah Muawiyyah bin Abu Sufyan sering mengundang para
cendiakawan ke istananya di Damsyik untuk membincangkan tentang pelbagai
disiplin ilmu pengetahuan, khasnya ilmu sejarah.
·
Kuttab merupakan sekolah permulaan yang menekankan
pengajian al-Quran dan asas ilmu agama sebagai persediaan melangkah ke tahap
pengajian lebih tinggi iaitu halaqah yang diadakan di masjid. Pada zaman
Umayyah, terdapat dua jenis kuttab iaitu kuttab untuk orang awam yang dikenakan
yuran pengajian dan kuttab al-Sabil untuk kanak-kanak miskin yang diberi secara
percuma.
4.Bidang-bidang pengajian
·
Bidang pengajian yang paling berkembang pesat adalah
pengajian ilmu keagamaan seperti tafsir al-Quran, hadis, fiqah dan sebagainya.
·
Selain itu, Pengajian seni muzik dan puisi bertemakan
cinta dan kasih sayang turut berkembang di Kota Makkah, Madinah dan Damsyik.
Para pemuzik dan penyanyi telah menjadikan istana khalifah sebagai tempat untuk
mendapatkan ganjaran lumayan. Perkembangan ilmu ini digalakkan oleh khalifah
Umayyah untuk melalaikan umat Islam dari permasalahan pelantikan khalifah.
Penggubahan syair merupakan antara bidang ilmu paling diminati berbanding
disiplin ilmu lain pada zaman Umayyah. Ilmu syair dan pidato pada mulanya digunakan untuk memajukan sektor
perdagangan tetapi secara tidak langsung ia turut memperkembangkan bidang
kesusasteraan Islam.
·
Perkembangan kesusasteraan dan ilmiah berkembang di
masjid-masjid di Kota Basrah dan Kufah. Puisi memainkan peranan penting dalam
menyampaikan sesuatu penerangan dan propaganda bagi pihak pemerintah. Para
penyair diberi layanan istimewa kerana mereka berperanan membangkitkan semangat
jihad dan meninggikan seseorang khalifah.
Antara tokoh penyair terkenal seperti Qays bin Mulawa yang menghasilkan
karya Laila dan Majnun.
·
Pengajian sains dan perubatan turut berkembang pesat
sehingga melahirkan ramai tokoh perubatan seperti Ibn Usal. Aktiviti terjemahan karya perubatan
asing juga giat dilaksanakan dan mendapat galakan daripada khalifah.
·
Pendidikan seni ukir dan seni pahat juga mendapat
tempat di mana banyak ukiran ayat-ayat al-Quran, hadis, syair dan kata-kata
hikmah dipahat dan diukir pada istana, mimbar, mihrab dan menara masjid.
5. Tenaga pengajar
·
Guru-guru dibayar gaji oleh pihak kerajaan dan ada
yang berkhidmat secara sukarela.
·
Guru-guru di ketiga-tiga institusi pendidikan iaitu
masjid, istana dan kuttab terdiri daripada pelbagai mazhab dan mempunyai tahap
pendidikan masing-masing. Minat pelajar bergantung kepada kewibawaan guru-guru.
Ulama yang terkenal dari segi ilmu dan menarik dari segi cara penyampaiannya
akan mendapat perhatian ramai pelajar yang dikatakan mencecah ribuan orang.
·
Guru-guru di masjid terdiri dari golongan ulama yang
mengajar dengan ikhlas tanpa mengharapkan sebarang ganjaran. Antara tokoh ulama
terkenal yang mengajar di Masjidil Haram, Makkah ialah Abdullah bin Abbas yang
mahir dalam bidang ilmu tafsir, hadis dan fiqh. Ulama terkenal yang lain seperti Abu Musa
al-Asyaari, Hasan al-Basri, Ubaidillah bin Zubayr dan ramai lagi.
·
Guru yang mengajar di istana khalifah dikenali sebagai
muaddih yang bertanggungjawab mengajar anak-anak khalifah dan anak
pembesar berkaitan budi pekerti, adab-adab dan sahsiah.
Kesimpulan
Penglibatan
khalifah dan sumbangan para ulama merupakan faktor utama yang menyumbang kepada
berlakunya perkembangan dalam bidang pendidikan pada zaman kerajaan Umayyah
pada abad 7 hingga 8 masihi. Kemajuan yang dilakukan oleh khalifah kerajaan
Umayyah dalam bidang pendidikan menjadi asas kepada kemajuan dalam bidang
politik, ekonomi dan sosial umat Islam. Sesungguhnya kerajaan Umayyah telah
meletakkan legasi yang kukuh untuk perkembangan pendidikan pada zaman-zaman
kerajaaan Islam yang seterusnya.
5. Sejauh manakah kepentingan Terusan
Suez mempengaruhi faktor peluasan kuasa Barat ke atas wilayah kerajaan
Uthmaniyyah sehingga awal abad ke 20.
A. Pengenalan
Sejak abad ke 16 Masihi,
kuasa Barat khususnya negara-negara Eropah giat melaksanakan perluasan kuasa
mereka. Penjelajahan dan penerokaan kuasa Eropah seperti Portugal, Sepanyol,
Belanda, Perancis dan Britain mengakibatkan kawasan-kawasan di benua Afrika,
Asia dan Amerika menjadi jajahan takluk Negara-negara Barat. Menjelang abad ke 19 Masihi, orang-orang
Eropah mengalihkan perhatian mereka kepada empayar Uthmaniyyah. Mereka ingin
menguasai wilayah-wilayah Eropah yang
ada di bawah penguasaan kerajaan Turki Uthmaniyyah. Empayar ini diasaskan oleh
Uthman Ertughrul pada tahun 1281 dan dipimpin oleh 37 khalifah selama lebih 600
tahun mulai merosot pada abad ke 20.
Walaubagaimanapun selain kepentingan Terusan Suez terdapat pelbagai
faktor lain yang mempengaruhi peluasan kuasa Barat ke atas kerajaan Turki
Uthmaniyah seperti persaingan kuasa, revolusi industri, keperluan bahan mentah
dan konsep modenisasi.
B. Isi
Pembinaan
dan pembukaan Terusan Suez
Perluasan kuasa Barat
diperhebatkan selepas pembinaan Terusan Suez yang dibuka pada tahun 1869.
Terusan Suez membenarkan laluan air secara dua hala dan menjadi kepentingan
antara Eropah dan Asia tanpa perlu mengelilingi benua Afrika. Sebelum pembukaan Terusan Suez, barang
dagangan dipunggah keluar dari kapal dan diangkut menggunakan kenderaan darat
antara dua laut tersebut. Melalui pembukaan terusan ini, urusan perdagangan
dipercepatkan di samping perjalanan jauh dapat dipendekkan dan kos perdagangan
dapat dijimatkan. Britain berminat untuk
menguasai Terusan Suez kerana sebahagian besar kapalnya menggunakan terusan
tersebut. Peluang terbuka untuk Britain menguasai terusan tersebut timbul pada
tahun 1875 apabila Khedif Ismail yang banyak berhutang hampir muflis
menyebabkan beliau terpaksa menjual sahamnya dalam Kompeni Terusan Suez. Perdana Menteri Britain ketika itu, Disraeli
mengambil kesempatan dengan membeli saham tersebut yang merupakan 45 % jumlah
saham (4 juta paun Sterling) dalam kompeni tersebut. Disraeli perlu bertindak dahulu sebelum
Perancis mendahuluinya. Dengan cara demikian, Britain memperoleh bahagian yang
terbesar dalam kompeni tersebut dan menguasai Terusan Suez. Sehubungan itu,
Mesir jatuh ke tangan Britain.
Faktor-faktor lain
1.
Persaingan kuasa-kuasa Barat
Negara-negara Barat
seperti Britain, Perancis, Jerman, Austria-Hungary dan Rusia berlumba-lumba
untuk merebut wilayah-wilayah empayar Turki Uthmaniyyah. Keluasan tanah jajahan membangunkan kekuatan
negara-negara Barat. Semakin luas tanah jajahan, semakin tinggi sanjungan yang
diberikan. Perancis telah mencerobohi
dan menakluki Algeria dan Tunisia. Pemimpin kerajaan Turki Uthmaniyyah tidak
dapat mempertahankan kawasan ini kerana masalah dalaman. Rusia juga berperang dengan kerajaan Turki
Uthmaniyyah untuk mendapatkan wilayah-wilayah di kawasan Balkan. Rusia telah bertindak dengan menghasut
wilayah-wilayah Bulgaria, Pulau Crete, Greece supaya menentang Turki
Uthmaniyah. Manakala selepas Perjanjian
Berlin, Russia telah berjaya menguasai Turkistan, Tajikistan, Kyrgstan,
Firghanah, Faniah dan Khuqand.
Britain pula menguasai Cyprus, Mesir dan
Teluk Arab. Britain juga mengadakan perjanjian dengan Sheikh Mubaraq al Sabah
pada tahun 1899 dan membuat perjanjian di Hadramawt, Bahrain dan Muscat serta Amerika
untuk menentang pemimpin kerajaan Turki Uthmaniyyah.
2. Kesan Revolusi Perindustrian
Sektor perindustrian
berkembang pesat pada abad ke 18 menyebabkan kuasa Barat melaksanakan dasar
perluasan kuasa. Penciptaan enjin
berkuasa wap adalah salah satu perkembangan penting dalam proses perindustrian.
Sejak awal, kilang-kilang besi bergantung kepada penggunaan kayu arang untuk
tujuan melebur besi. Enjin berkuasa wap digunakan secara meluas di
lombong-lombong arang batu. Kekayaan
sumber dari tanah jajahan memenuhi kehendak kilang-kilang. Perdagangan antarabangsa juga berkembang pesat
akibat sistem kewangan yang dinamik. Pinjaman kredit kepada golongan usahawan
dan pemodal mendorong perluasan kuasa.
Pemodal-pemodal Eropah banyak melabur di Afrika Utara dengan terlibat
dalam sektor pertanian, perlombongan dan penyediaan jalan raya dan jalan kereta
api. Perluasan kuasa Barat di
wilayah-wilayah empayar Uthmaniyyah boleh membawa keuntungan besar untuk
penjajahan Barat.
3. Bahan mentah
Kawasan Turki Uthmaniyyah
kaya dengan petroleum. Sumber ekonomi ini mendorong kuasa-kuasa Barat
menggunakan pelbagai cara untuk mendapatkan konsesi melombong petroleum.
Britain, Perancis dan Jerman menggunakan muslihat dan tipu helah untuk mencapai
impian mereka. Sultan Abdul Hamid II
kehilangan takhta baginda kerana isu carigali minyak petroleum. Pada awal abad ke 20, petroleum ditemui di
Iran, Iraq, Arab Saudi, Kuwait dan Bahrain. Penemuan ini menimbulkan persaingan
dan konflik antara kuasa-kuasa Barat. Jerman dan Amerika Syarikat juga
melibatkan diri dalam perluasan kuasa di Turki Uthmaniyyah.
4. Konsep Modenisasi
Kuasa Barat mengkagumi para tokoh yang
menerima baik konsep hidup moden dan menganggap kerajaan Turki Uthmaniyyah yang
menolak konsep modenisasi sebagai manusia yang kolot dan mundur. Kuasa-kuasa Barat ini menguatkan lagi konsep
modenisasi melalui sistem pendidikan dan komunikasi. Negara-negara Barat juga memburuk-burukkan
Islam sebagai agama yang ketinggalan zaman. Mereka juga ingin meruntuhkan
empayar Turki Uthmaniyyah yang dipimpin oleh orang Islam kerana menolak konsep
modenisasi. Barat memuji sesiapa sahaja
yang menerima konsep hidup moden, maju, progresif, seperti tanggapan mereka
terhadap Mustafa Kamal Atartuk Midhat Pasha dan Zia Gokalp. Manakala sesiapa yang menolak konsep
modenisme dianggap kolot atau ketinggalan zaman. Selain itu kuasa2 barat membawa budaya
sekularisme, Dasar Pecah & Perintah (Divite & Role) serta “Beban Orang
Putih”.
5. Agama
Sentimen Perang Salib oleh kuasa Barat
diteruskan ke atas Empayar Turki Uthmaniyah.
Kuasa Barat berusaha menyemai idea bahawa Islam agama mundur, anti
kemajuan dan tidak berperikemanusiaan.
Snouck Hurgronje merupakan seorang Yahudi Belanda yang beragama Kristian
yang menyamar sebagai seorang Muslim dan memperkenalkan Dasar Islam
Belanda. Mereka turut berusaha menanam
kebencian masyarakat dunia terhadap Islam dan umatnya. Selain itu berlaku juga perebutan antara
British & Rusia bagi menjadi wakil/ juru cakap bagi menjadi wakil penduduk
minoriti Kristian di Empayar Uthmaniyah.
6. Kelemahan Kerajaan Turki Uthmaniyah
Kelemahan kepimpinan, pentadbiran, dan pemerintahan yang tidak teratur serta
ketenteraan, yang lemah membawa kepada kehancuran empayar Turki
Uthmaniyah. Setelah kemangkatan Sultan
Sulaiman Al-Qanuni, empayar Turki Uthmaniyah mula memperlihatkan kejatuhan dan
kemunduran. Hal ini adalah lantaran
daripada kelemahan Sultan Murad III, baik dalam keperibadian serta yang paling
utama dalam kepimpinannya. Kelemahan ekonomi Turki kerana hasil negara disalah
guna/ penindasan/ rasuah/ cukai tetap (ikhitab).
Selain itu kelemahan dalam sistem ketenteraan merupakan penyumbang
kepada kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniyah.
Kemerosotan ini bermula dengan kelemahan disiplin ketenteraan dalam
kalangan pegawai atasan. Kelemahan
ketenteraan juga dilihat melalui penghapusan aristokrasi tentera lama yang
menjadi saingan kepada kuasa kerajaan. Penghapusan ini menyebabkan sistem
tentera hamba menjadi terbatas kerana seksyen ketenteraan yang dominan dalam
angkatan tentera membenarkan anak-anak pegawai mendapat pangkatakan
menghapuskan asas disiplin dalam tentera.
C. Kesimpulan
Kepentingan Terusan Suez
bukanlah faktor utama yang mempengaruhi perluasan kuasa Barat ke atas wilayah
Uthmaniyyah sehingga 20 Masihi.
Walaubagaimanapun terdapat juga faktor-faktor lain yang turut
mempengaruhi perluasan kuasa Barat ke atas empayar Uthmaniyyah. Empayar Turki Uthmaniyyah mulai runtuh
selepas Perang Dunia Pertama. Empayar ini mula berpecah kerana Negara-negara
Eropah yang meraih kemenangan membahagi-bahagikan empayar ini. Sistem
pemerintahan khalifah dihapuskan dan Kerajaan Turki menjadi sebuah negara republik.
6. Rasyid Rida dikatakan telah turut berperanan
penting dalam mempengaruhi kebangkitan semangat nasionalisme di Syria pada awal
abad ke 20. Bincangkan.
A. Pendahuluan
1. Selepas tamatnya Perang Dunia
Pertama pada tahun 1918, menyaksikan kejatuhan empayar Turki Uthmaniyah yang
menaungi negara-negara Arab Islam. Kuasa
imperialis Barat mula mengambil alih peranan empayar Turki Uthmaniyah.
2. Di Syria, Perancis telah diberi
mandat untuk menjaga hal ehwal negara tersebut. Walaupun Perancis dikatakan
ingin memberi kemerdekaan kepada Syria, namum mereka telah menjajah negara
tersebut selama tujuh tahun.
3. Pada tahun 1927, Perancis telah
menganjurkan pilihan raya di Syria yang dimenangi oleh Parti Blok Nasional.
Namun, Syria masih berada di bawah penguasaan Perancis tanpa mendapat
kemerdekaan penuh.
B. Isi
1. Peranan Rasyid Rida
·
Rasyid Rida merupakan golongan intelektual muslim
dari Syria yang mengembangkan gagasan modenisme Islam yang awalnya dipelopori
oleh Jamaluddin al-Afghani dan Muhammad Abduh.
·
Rasyid Rida mengkaji kelemahan masyarakat Islam
ketika itu dibandingkan dengan masyarakat kolonial Barat. Beliau berpendapat
bahawa kelemahan ini dapat diatasi apabila masyarakat Islam kembali kepada perinsip-prinsip
dasar Islam dan melakukan ijtihad dalam menghadapi kehidupan moden. Rasyid Rida menekankan pendidikan dakwah
dengan menyesuaikan pendidikan moden dan agama menerusi penubuhan Madrasah
a-Dakwah al-Irshad pada tahun 1912M di Kaherah.
·
Penulisan beliau dalam majalah al-Manar banyak menyumbang kepada gerakan nasionalisme dalam
kalangan umat Islam ketika itu termasuk di Syria.
·
Dalam penulisannya Rasyid Rida
mengungkapkan tradisi pemikiran yang segar berasaskan idea-idea pembaharuan dan
dakwah Islamiah.
Faktor-faktor Lain
2. Agama
·
Pengaruh dan kesedaran agama juga telah
menimbulkan keinginan untuk menyatukan kesemua negara dan bangsa Arab sehingga
mewujudkan pergerakan-pergerakan di Syria.
·
Kedudukan Palestin yang bersempadan di
bahagian barat daya Syria menyebabkan penduduk Syria sangat mengambil berat
perihal saudara Islam mereka di Palestin yang ditindas penjajah British.
·
Gerakan Yahudi yang ingin menempatkan
penduduk mereka di kawasan orang Palestin jelas kelihatan apabila golongan Turki
Muda yang memerintah Turki dikuasai oleh pertubuhan al-Ittihad wa al-Taraqqi yang didalangi oleh orang Yahudi. Suasana
ini menyemarakkan lagi sentimen agama dan semangat penduduk tempatan di Syria
menentang pihak penjajah.
2. Bahasa dan kesusteraan
·
Perancis cuba menonjolkan bahawa mereka
merupakan kuasa yang memperjuangkan hak dan kepentingan golongan minoriti.
Mereka memperjuangkan bahasa golongan minoriti. Dengan alasan tersebut, mereka
mengamalkan pemerintahan dasar pecah dan perintah di Syria.
·
Antara kesan ketara dasar berkenaan
ialah perjuangan bahasa oleh golongan minoriti agar diiktiraf seperti bangsa
Kurdis yang menginginkan bahasa mereka diiktiraf sebagai bahasa rasmi di
kawasan yang diduduki oleh puak Kurdis.
·
Di Alexandrett, perkara sama turut
berlaku, apabila penduduk kawasan tersebut yang majoritinya berbangsa Turki dan
diberi pengecualian untuk menggunakan bahasa Turki.
3. Peranan pendidikan
·
Sebuah akademi bahasa telah ditubuhkan
di Syria bagi mengumpulkan ahli linguistik di seluruh pelusuk tanah Arab untuk
bertemu dan bertukar-tukar fikiran.
·
Tumpuan akademik bahasa ini adalah untuk
menguasai bahasa masing-masing dengan keadaan masyarakat Arab yang mengamalkan
pelbagai budaya. Walaupun secara politiknya mereka berbeza, namun mereka
bersatu di bawah satu perkara, iaitu bahasa Arab.
·
Di Damsyik dan Beirut, beberapa buah
universiti yang dibina menjadi medan perdebatan golongan terpelajar tempatan.
4.
Kewartawanan (majalah / akhbar)
· Al-Manar merupakan
majalah bulanan yang membahaskan idealisme
pembaharuan dan tajdid di Kaherah. Majalah tersebut dipelopori oleh
Rasyid Rida yang dilahirkan di Syria.
· Akhbar
lain turut membicarakan keburukan dan kegawatan dunia Islam ketika itu,
Al-Manar pula mencadangkan penyelesaian terhadap isu-isu yang dihadapi oleh
masyarakat Islam.
· Al-Manar
menggerakkan perbincangan tentang dakwah, idealisme dan islah, menerangkan
dasar-dasar pan-Islamisme, meneroka persoalan yang berkait dengan ajaran akidah
dan hukum, membincangkan fahaman modenisme, sekularisme, nasionalisme, dan
mempelopori dialog dan pertukaran idea antara budaya, dan meneroka pemikiran
baharu berkait dengan falsafah agama dan budaya, serta menangani isu-isu social
dan peradaban.
· Majalah
ini dikeluarkan setiap bulan dan tersebar dengan meluas ke seluruh jajahan
Islam dalam wilayah Turki, India, Mesir, Syria, Maghribi dan turut diseludup ke
Kepulauan Melayu.
5. Pengaruh luar
·
Syria pada awal abad ke-20 masih berada di bawah
pemerintahan empayar Turki Uthmaniyah. Oleh kerana dasar pan-Islamisme menjadi
dasar kerajaan Turki Uthmaniyah, maka dasar ini telah menyemarakkan semangat
penduduk tempatan menangkis ancaman pihak Barat.
·
Shakid Arselan melalui tulisannya menyeru penduduk
Syria supaya bersatu padu di bawah kerajaan Turki Uthmaniyah dan menolak
konspirasi Barat yang mahukan penduduk Syria menentang penguasaan kerajaan
Turki Uthmaniyah.
·
Syaked Arselan yang berasal dari Lubnan menggesa
penduduk Syria bangun secara suka rela menentang pihak British semasa Perang
Dunia Pertama, iaitu pada tahun 1916.
Kesimpulan
1. Rasyid Rida adalah merupakan
antara orang yang memainkan peranan penting dalam membangkitkan semangat
nasiomalisma di Syria pada awal abad ke 20.
2. Walaubagaimanapun masih terdapat
kepelbagaian faktor lain yang mempengaruhi kebangkitan semangat nasionalisma di
Syria pada awa abad ke 20.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan