Selasa, 25 Disember 2018

Sistem pemerintahan Pusat Kerajaan Mughal.


OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
b)Pemerintahan pusat dan wilayah kerajaan India abad ke 16-17m
Sistem pemerintahan Pusat Kerajaan Mughal.
Pemerintahan kerajaan Islam di India bermula pada zaman Bani Umayyahketika pemerintahan Khalifah al-Walid bin Abdul Walid. Khalifah menghantar Muhammad bin al-Qasim yang berjaya mengasaskan petempatan Islam di Sind. Kejayaan ini menjadi titik tolak kepada pembentukan kerajaan Islam Kesultanan Delhi yang memerintah India. Kerajaan Mughal muncul pada awal abad ke-15M setelah lenyapnya Kesultanan Delhi.[1]

      Kerajaan Mughal terbentuk hasil daripada kemenangan Babur mengalahkan Sultan Ibrahim Lodi, iaitu pemerintah terakhir Kesultanan Delhi pada tahun 1526 Masihi.Kemenangan ini membolehkan kerajaan Mughal  menguasai India sehingga tahun 1867 Masihi, iaitu pemerintah terakhirnya, Bahadur Shah II dibuang negeri ke Myanmar oleh British.[2]  

      Pemerintah-pemerintahan kerajaan menggunakan gelaran raja atau maharaja dan mengekalkan corak pemerintahan sedia ada. Antara pemerintah yang terkenal selain Babur ialah Maharaja Akbar, Maharaja Syah Jehan dan Maharaja Aurangzeb.

      Amnya, pemerintah-pemerintah kerajaan Mughal menjalankan dasar pemusatan kuasa. Maharaja Akbar merupakan pemerintah India pertama yang bertindak mengasingkan urusan politik dan pemerintahan dengan agama. Maharaja Akbar juga bertindak menghapuskan perbezaan-perbezaan berasaskan agama dan bangsa demi mewujudkan kerjasama antara berbilang bangsa di India. 

      Pada peringkat pusat pula, Maharaja Akbar telah membentuksistem pemerintahan atau birokrasi yang berbentuk separuh awam dan separuh tentera yang dikenali sebagai mansabdar untuk mengukuh dan memantapkan penguasaannya.

      Mansabdar merupakan pegawai yang ditugaskan untuk memerintah dan melengkapkan satu pasukan tentera Diraja dan bertanggungjawab melaksanakan tugasan berhubung pentadbiran awam. Mansabdar dibahagikan kepada 33 peringkat. Setiap peringkat memerintah  satu batalion tentera berkuda bilangannya antara 10 hingga 10 000 orang. Golongan ini mendapat gaji secara tunai atau secara jagir ( kebenaran yang diberikan oleh pihak berkuasa untuk memungut cukai tanah yang menyamai jumlah gaji yang ditetapkan.)[3]  

      Maharaja Akbar juga telah membentuk kabinet dan melantik Perdana Menteri yang dipanggil wazir dan menteri-menteri misalnya Menteri Kewangan dan Ketua Turus Tentera. Jawatan Ketua Turus Tentera dipanggil khan qanan bertanggungjawab ke atas semua mansabdar. Jawatan ini dikhususkan kepada keluarga Diraja sahaja.

      Ppada peringkat bandar pula, sebagaimana kerajaan Kesultanan Delhi, kotwal berperanan menjaga keamanan, mengadakan rondaan, mengesan pencuri dan orang asing serta berperanan sebagai pengintip dan menghalang penyembelihan lembu, kerbau unta dan lain-lain.

      Sewaktu pemerintahan Maharaja Aurangzeb golongan ulama berperanan penting dalam pentadbiran pada peringkat pusat sekali gus menyingkirkan golongan bukan beragama Islam di sisi pemerintah. Aal-Quran dan hadis telah dijadikan asas perundangan negara. Tujuan baginda berbuat demikian adalah untuk memastikan Islam kembali berdaulat dalam pemerintahan dan pentadbiran kerajaan Mughal di India.[4]    

      Sebagai pemerintah yang mementingkan keadilan, Maharaja Aurangzeb telah menghidupkan amalan syura dalam pemerintahan.Baginda menyedari bahawa kaedah ini akan dapat memuaskan hati semua pihak. Selain itu ada kalanya baginda juga telah menggunakan budi bicaranya sendiri dalam mengambil sesuatu tindakan.

      Para kadi dan mufti telah dilantik bagi menjalankan pengadilan untuk orang Islam. Manakala hal yang berkaitan dengan orang Hindu berada dalam pengawasan seorang Hakim Besar.[5]


[1]‘’Bentuk  Pemerintahan”, dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah,25.
[2]Mahayudin Hj. Yahya et. Al., Ace Ahead Teks STPM Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,Edisi Kemaskini ,(Shah Alam:Oxford Fajar.2014),68
[3] Ibid,69.
[4]Mahayudin Hj. Yahya et. Al., Ace Ahead Teks STPM Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,Edisi Ketiga, Mahayudin Hj. Yahya et. Al., Ace Ahead Teks STPM Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,Edisi Kemaskini ,(Shah Alam:Oxford Fajar.2014),68,(Shah Alam:Oxford Fajar.2017),78  
[5] Ibid,79.

Tiada ulasan: