OLEH- AHMAD BIN YAAKOB
a)Menyelesaikan masalah isu berkaitan kewafatan Nabi Muhammad SAW.
b)Menyelesaikan isu pengganti Nabi Muhammad SAW
c)Menyelesaikan masalah golongan al-Riddah (nabi palsu, golongan murtad dan golongan enggan mengeluarkan zakat.)
d)Menangani ancaman musuh luar khasnya Rom dan Parsi.
e)Memulakan usaha pengumpulan ayat-ayat al-Quran.
f)Menyusun dan mengemaskini pentadbiran.
g)Melaksanakan dasar dan ekspedisi ketenteraan.[1]
1.Khalifah Abu bakar
Nama sebenar Abu Bakar al-Siddiq ialah Abdullah bin Uthman. Beliau berasal dari Bani Tamim. Beliau dilahirkan di Kota Mekah pada tahun 572 dan meninggal dunia pada tahun 634/13H. Kahlifah Abu Bakar mempunyai keperibadian mulia. Beliau tidak minum arak dan melakukan perbuatan keji seperti pemuda lain pada zamannya.[2]Beliau merupakan orang kedua yang terawal memeluk Islam selepas Siti Khadijah isteri Rasulullah SAW. Sekaligus menjadikannya antara sahabat karib Nabi Muhammad SAW.
Sumbangan khalifah Abu Bakar.
a)Menyelesaikan masalah isu berkaitan kewafatan Nabi Muhammad SAW.
Nabi Muhammad SAW tidak meninggalkan sebarang wasiat atau pesanan mengenai bakal penggantinya atau khalifahnya. Sebaliknya Baginda menyerahkan kepada kebijaksanaan para sahabatnya untuk menyelesaikan masalah pemilihan khalifah supaya mereka dan masyarakat Islam lainnya lebih bebas memilih antara mereka yang lebih layak untuk mengisi jawatan tersebut. Sekurang-kurangannya terdapat tiga golongan yang bersaing untuk merebut jawatan khalifah berikutan kewafatan nabi Muhammad SAW, iaitu puak Bani Hasyim,Muhajirin dan Ansar.[3]
Puak Bani Hashim mengatakan khilafah merupakan institusi suci yang dianugerahkan Allah kepada Nabi Ibrahim dan keturunannya dan Ali adalah pewaris yang sah. Puak Muhajirin pula mendakwa mereka juga layak menjadi khalifah kerana mereka berketurunan Quraisy dan semuaketurunan Quraisy adalah keturunan Nabi Ibrahim juga. Puak Ansar juga turut bersaing untuk merebut jawatan khalifah kerana jasa dan sumbangan mereka yang besar terhadap Nabi Muhammad SAW dan kaum Muhajirin ketika berhijrah ke Madinah. Pada pendapat mereka jawatan khalifah itu tidak dihadkan kepada ketutunan tertentu sahaja.[4]
Abu bakar dengan penuh kebijaksanaan menyelesaikan isu kewafatan Nabi Muhammad SAW yang cuba dinafikan oleh Umar al-Khattab. Umar mengatakan bahawa sebahagian kaum munafik yang menyangkakan Rasulullah wafat. Padahal baginda tidak wafat tetapi diangkat ke langit untuk menemui Allah seperti yang pernah berlaku ke atasNabi Isa.Untuk mengelak sebarang kekeliruan Abu Bakar berkata sesiapa yang menyembah Muhammad SAW sesungguhnya Muhammad sudah wafat, tetapi sesiapa yang menyembah Allah maka sesungguhnya dia sentiasa hidup. Kemudian Abu Bakar membaca sepotong ayat al-Quran daripada surah al-Imran: 144 yang bermaksud bahawa Nabi Muhammad SAW hanyalah seorang rasul seperti rasul-rasul sebelumnya dan mereka semuanya telah wagfat.[5]
b)Menyelesaikan isu pengganti Nabi Muhammad SAW
Selepas kewafatan nabi, beliau menjadi orang tengah dalam menyelesaikan pertikaian antara golongan Muhajirin dengan ansar tentang perlantikan khalifah. Masalah ini timbul kerana;
a.Nabi tidak meninggalkan wasiat sebagai calon pengganti.
b.Terdapat ramai yang bersaing untuk menjadi pemimpin, terutama dalam kalangan Muhajirin, Ansar dan penyokong-penyokong kaum keluarga Nabi Muhammad s.aw termasuk Ali bin Abi Talib.
Terdapat empat orang sahabat Nabi Muhammad yang dilihat layak memegang jawatan khalifah, iaitu Abu Bakar al-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman Affan dan Ali Abi Talib. Selepas kewafatan Nabi Muhammad diumumkan, golongan Ansar telah memilih Saad Ubaidah sebagai pengganti nabi. Berita ini menyebabkan Abu Bakar dan Umar al-Khattab pergi ke Saqifah Bani Saidah. Namun perlantikan khalifah belum dibuat kerana kaum Aus tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.
Abu Bakar al-Siddiq mencadangan agar ketua yang dilantik mestilah daripada golonan Muhajirin. Malah ada yang mencadangankan supaya dua orang ketua dilantik, tetapi cadangan ini ditolak oleh Umar al-Khattab. Sebelum mereka membuat keputusan Umar al-Khattab telah membaiah Abu Bakar al-Siddiq. Tindakan ini kemudiannya diikuti oleh pihak lain yang terdiri daripada golongan Muhajirin dan Ansar. Ali bin Abi Talib turut membaiah Abu Bakar al-Siddiq. Umat Islam memilih Abu Bakar al-Siddiq kerana jasa dan pengaruhnya pada zaman Islam.[6]
c)Menyelesaikan masalah golongan al-Riddah
Selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w dan Khalifah Abu Bakar memerintah muncul golongan murtad, enggan membayar zakat dan nabi palsu.Keadaan ini berlaku kerana kebanyakan orang Islam yang tinggal di luar kawasan Mekah dan Madinah belum dapat memahami dan menghayati Islam yang sebenar. Setelah Nabi wafat ramai dalam kalangan mereka yang murtad, enggan membayar zakat dan mengakui nabi-nabi palsu.[7]
Khalifah Abu bakar menyedari kewujudan golongan ini boleh menjadi anasir yang dapat menghancurkan kerajaan Islam. Sebagai langkah untuk mengatasi ancaman tersebut, Khalifah Abu Bakar al-Siddiq telah menghantar para utusan kepada ketua kumpulan-kumpulan tersebut untuk mengajak mereka kembali kepada Islam. Namun hanya sebilnahan kecil sahaja yang menerima seruan tersebut seperti Bani Abd Qais di daerah Bahrain.[8]
Memandangkan golongan tersebut enggan kembali kepada Islam,Khalifah Abu Bakar al-Siddiq terpaksa mengambil tindakan ketenteraan bagi menghadapi kedegilan golongan tersebut.Sebanyak 11 buah pasukan tentera telah ditubuhkan dan diketuai oleh panglima Islam yang terkenal, iaitu Khalid bin al-Walid.Pasukan tentera Islam ini telah dihantar oleh Khalifah Abu Bakar al-Siddiq ke luar kawasan Hijazbagi memerangi golongan penentang Islam tersebut. Akhimya, gerakan tentera tersebut memperoleh kemenangan apabila berjaya menundukkan dan mengembalikan golong an al - Riddah ke pangkuaglslam.
Panglima Islam, iaitu Khalid bin al-Walid telah berjaya membunuh ketua Bani Tamim, iaitu Malik bin Nuwairah. Pengikut Malik bin Nuwairah dari Bani Tamim dan Yarbu' dapat dikembalikan kepada Islam dan membayar zakat seperti biasa. Musaylimah al-Kadhdhab juga berjaya dibunuh oleh beliau. Ini menyebabkan ramai pengikut nabi palsu tersebut, iaitu daripada Bani Hanifah kembali kepada Islam. Begitu juga dengan kumpulan yang lain.
Pasukan tentera Islam yang dibentuk oleh Khalifah Abu Bakar al-Siddiq akhirnya telah memperoleh kejayaan.Kejayaan ini menunjukkan Khalifah Abu Bakar al-Siddiq telah berjaya menghapuskan semua anasir yang membahayakan kedudukan Islam. Pasukan tentera yang dibentuk oleh beliau ini juga kemudiannya menjadi tulang belakang dalam menjaga keselamatan negara dan umat Islam daripada ancaman musuh.[9]
d)Menangani ancaman musuh luar khasnya Rom dan Parsi.
Khalifah Abu Bakar al-Siddiq juga bertanggungjawab meluas dan menyebarkan syiar Islam ke seluruh Semenanjung Tanah Arab. Bagi mencapai tujuan itu, beliau telah meluaskan pengaruh Islam ke negara jiran seperti Rom, Parsi, dan Syria. Tujuannya ialah untuk menangani ancaman musuh luar khasnya Rom dan Parsi.Rom merupakan sebuah empayar besar yang kuat dan menguasai negara Mesir di Afrika Utara. Penduduknya terdiri
daripada pelbagai kaum dan beragama Kristian. Disebabkan kezaliman pemerintahannya, keadaan dalam negeri tidak aman dan rakyat sering memberontak.
Keadaan tersebut memudahkan pertapakan Islam di Rom. Perkara yang sama turut berlaku di Parsi, iaitu berlaku pemberontakan disebabkan tidak puas hati dengan bentuk pemerintahan. Panglima Khalid al-Walid dan Muthana bin Harith dengan mudah menakluk Parsi dan Parsi jatuh kepada pemerintahan Islam Madinah di bawah Khalifah Abu Bakar al-Siddiq.Philip K. Hitti dalam The History of the Arabs menyatakan penaklukan ke atas Parsi merupakan penaklukan Khalifah Abu Bakar al-Siddiq yang Pertama di luar Semenanjung Tanah Arab.
Selain penaklukan ke atas Parsi dan Rom, Khalifah Abu Bakar al-Siddiq melakukan penaklukan ke atas Syria. Penaklukan ke atas Syria berpunca daripada kekejaman pemerintah Syria terhadap umat Islam Syria. Setelah wafatnya Nabi Muhammad s.a.w., Hercules mempengaruhi orang Badwi untuk melancarkan pemberontakan ke atas orang Islam.[10]
Oleh kerana Parsi pernah membunuh utusan Islam, khalifah Abu Bakar telah menghantar empat pasukan tentera ke Syria.Pasukan pertama dipimpin oleh panglima Ubaidah al-Jarrah,pasukan kedua dipimpin oleh panglima Amr al-As ditugaskan untuk menawan Palestin, pasukan ketiga dipimpin oleh panglima Yazid bin Abu Sufyan ditugaskan untuk menawan Damsyik, dan pasukan keempat dipimpin oleh panglima Syurahbil bin Hasanah ditugaskan untuk menawan Jordan.
Keempat-empat pasukan tentera tersebut diketuai oleh panglima agung, Khalid al-Walid. Dengan tentera berjumlah 9 000 orang, panglima Khalid al-Walid melancarkan serangan ke atas Syria. Raja Syria, Hercules melarikan diri ke Antioch (Antakya) dan Syria dengan mudahnya jatuh kepada tentera Islam dan membolehkan Islam berkembang pesat di Syria.[11]
e)Memulakan usaha pengumpulan ayat-ayat al-Quran.
Pengumpulan al-Quran pada mulanya telah dicadangkan oleh Umar bin al-Khattab kepada Sayidina Abu Bakar apabila ramai penghafaz al-Quran terkorban dalam peperangan bagi memerangi golongan al-Riddah. Abu Bakar menerima cadangan tersebut setelah yakin dengan hujah-hujah Umar.
Idea ini dibuat apabila melihat 70 orang Huffaz telah gugur syahid dalam Perang Yamamah. Oleh itu timbul kesedaran dan keperluan untuk menghimpun ayat-ayat al-Quran ini. Atas cadangan Umar al-Khattab kemudian dipersetujui oleh Sayidina Abu Bakar, maka Zaid bin Thabit telah ditugaskan untuk melaksanakan usaha-usaha pembukuannya.
Selain itu, tujuan al-Quran dibukukan ekoran banyat ayat al-Quran yang ditulis pada kulit-kulit pokok kurma , batu-batu dan kayu sudah banyak yang rosak sehingga perlu diselamatkan.Pembukuan al-Quran juga dilakukan dengan tujuan dapat dijadikan pedoman bagi umat Islam sepanjang masa.[12]
Al-Quran disimpan di rumah Abu Bakar al-Siddiq.
f)Melaksanakan dasar dan ekspedisi ketenteraan
Sebelum Nabi Muhammad SAW wafat, baginda telah membentuk pasukan tentera yang diketuai oleh Usamah bin Zaid ke sempada Syam untuk menyerang Ghassan yang ketika itu berada di bawah jajahan Byzantine.Tidakan tersebut dilakukan kerana beberapa orang utusan Nabi Muhammad SAW telah dibunuh.
Selepas kewafatan Nabi Muhamad s.aw Khalifah Abu Bakar berhasrat menyambung semula usaha baginda. Walau bagaimanapun cadangan tersebut kurang dipersetujui oleh sesetengah para sahabat. Mereka mencadangan siupaya ekspedisi ke sempadan Syam ditangguhkan kerana ancaman al-Riddah lebih berbahaya dan memerlukan penyelesaian segera. Namun Khalifah abu Bakar tetap tegas dengan keputusan beliau.[13]
Selepas berperang selama 40 hari, pasukan Usamah bin Zaid memperolehi kemenangan. Kemenangan ini menyedarkan kaum yang berhasrat menyerang Madinah, tentera Islam adalah kuat dan tidak mudah untuk dikalahkan.
Setelah pasukan Usamah kembali ke Kota Madinah, pasukan beliau ditugaskan menjaga keselamatan Kota Madinah. Tindakan ini dapat menghindarkan Kota Madinah daripada ancaman kaum Zubyan dan lain-lain. Khalifah Abu Bakar juga telah menghantar misi ketenteraan yang diketuai oleh Khald al-Walid ke Iraq bagi memerangi Parsi serta ke Syam bagi memerangi Byzantine yang sering mengancam kerajaan Islam.
g.Menentukan bakal khalifah.
Ketika sakit, Abu Bakar mengadakan perundingan dengan para sahabat untuk melantik Umar al-Khattab sebagai Khalifah. Uthman Affan diarahkan oleh khalifah Abu Bakar untuk menulis keputusan tersebut. Dengan cara ini, Khalifah Abu Bakar telah berjaya mengukuhkan kedudukan politik Islam.[14]
[1]“Institusi Khalifah”, dalam Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah, (Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia,2013),17
[2]Mahayudin Hj. Yahya et. Al., Ace Ahead Teks STPM Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2 Edisi Kemaskini, (Shah Alam: Oxford Fajar.2014) ,49.
[3] Mahayudin Yahya, Tamadun Islam, (Shah Alam: Fajar Bakti, 1998),114.
[6]Mahayudin Hj. Yahya et. Al., Ace Ahead Teks STPM Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2, (Shah Alam:Oxford Fajar.2014) ,47.
[8]Mahayudin Hj. Yahya et. Al., Ace Ahead Teks STPM Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2 Edisi Kemaskini,51.
[10]Mahdi Shuid, Sazlina Othman dan Arjuna @ Mohd. Noor Yunus, Teks STPM Pra U Sejarah Islam Penggal 2, (Bandar Baru Bangi: Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd, 2014), 78.
[12] Mohd Sukki Othman dan Wan Muhammad Wan Sulong ,Teks Pra U STPM Sejarah Penggal 2, (Kuala Lumpur: Pearson Malaysia Sdn. Bhd, 2014), 74.
[13]Mahayudin Hj. Yahya et. Al., Ace Ahead Teks STPM Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2 Edisi Kemaskini,50.
[14] Mahayudin Hj. Yahya et. Al., Ace Ahead Teks STPM Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,50.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan