OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
POLITIK
Pada zaman jahiliah, tidak
terdapat kerajaan yang mempunyai struktur pemerintahan yang teratur dan berkuasa.Kedudukan politik
masyarakat pada zaman jahiliah dilihat tergugat akibat penjajahan
kuasa-kuasa asing. Zaman ini dikenali sebagai zaman penjajahan kerana
sebahagian besar Semenanjung Tanah Arab dijajah oleh Byzantine dan Parsi.
Masyarakat Quraisy Makkah turut tergugat dengan ancaman-ancaman kuasa asing.
Contohnya, serangan tentera bergajah oleh tentera Habsyah pimpinan Abrahah yang
datang dari Yaman pada tahun 570 M (dikenal sebagai Tahun Gajah), iaitu tarikh
keputeraan Nabi Muhammad SAW.
Masyarakat jahiliah sering berperang
sesama sendiri dan hidup berpuak-puak untuk mendapatkan restu dan perlindungan
daripada pemerintah. Pada zaman penjajahan, mereka tidak lagi berupaya untuk
membela diri kerana berasa rendah diri, kalah dan patah semangat
untuk terus berjuang.
Akibatnya, mereka menyerah kalah kepada kuasa-kuasa asing yang
telah mendirikan
kerajaan-kerajaan boneka di Ghassan (naungan Parsi), Hirah (naunganByzantine)
dan Yaman (naungan Habsyah).
Walaupun tempat-tempat tersebut
mempunyai pentadbiran dan pemerintahan sendiri, tetapi ini tidak boleh dianggap
sebagai sebuah pemerintahan yang maju dan bertamadun kerana masing-masing
terletak di bawah kuasa penjajah.[1]
SOSIAL
Sistem sosial yang diamalkan
oleh masyarakat Arab Jahiliah ialah sistem berkabilah. Masyarakat Arab jahiliah
menjalani kehidupan secara berkelompok mengikut kabilah masing-masing. Setiap
kabilah mempunyai ketua dan diikat dengan semangat asabiah. Dengan erti kata
lain, tidak ada penyatuan menyeluruh
dalam kalangan orang Arab Jahiliah seperti penyatuan yang wujud dari segi
akidah dalam kalangan umat Islam.[2]
Dalam kelompok itu, terdapat
pula kelompok-kelompok lebih yang kecil danmempunyai asabiah
masing-masing.Sebagai contoh di Mekah kaum Quraisy merupakan kaum paling
dominan. Namun mereka berpecah kepada beberapa puak. Dua puak yang paling
menonjol ialah Bani Hasyim dan Bani Umayyah. Kedua-dua puak ini serng
bersengketa sebelum disatukan oleh Nabi
Muhammad SAW dan kemudiannya dikenali sebagai Muhajirin.
Madinah pula didominasi oleh
kaum Arab dari daerah selatan Semenanjung Tanah Arab. Mereka terbahagi kepada
dua puak jua, iaitu kaum Aus dan Khazraj. Kedua-dua puak ini juga serin
bersengketa sebelum mereka disatukan oleh Nabi Muhammad SAW yang kemudinnya
dikenali sebagai Ansar.
Pada zaman jahiliah, puak-puak
dan suku-suku Arab ini sering mencari pengaruh untuk berkuasa. Akhirnya timbul
perbalahan dan persengketaan sesama mereka.Di Makkah berlaku perbalahan antara
Bani Hasyim dengan Bani Umayyah .Di Madinah berlaku persengketaan antara kaum
Aus dengan kaum Khazraj. Persengketaan ini membawa kepada permusuhan dan
peperangan sebelum mereka disatukan menerusi akidah pada zaman Islam.[3]
EKONOMI
Dari segi ekonomi, masyarakat
Arab pada keseluruhannya menjalankan aktiviti menternak binatang seperti
unta,kambing dan biri-biri. Mereka berkhemah di lembah yang terdapat takungan
air bagi memajukan usaha ternakan dan tanaman. Daripada binatang ternakan mereka mendapat bekalan makanan seperti
daging, susu dan keju. Di samping itu, mereka memanafaatkan kulit binatang
untuk membuat khemah,pakaian dan bekas menyimpan air.
Selain menternak binatang,
mereka juga menjalankan kegiatan bercucuk tanam seperti menanam kurma, gandum,
jagung, anggur dan sayur-sayuran.Bagi mereka yang tinggal di kota,lazimnnya
akan menjalankan urus niaga dan pertukangan. Mereka berniaga menerusi jalan
darat seperti qafilah. Setiapkafilah disertai oleh ramai pedagang . Dengan cara
berkumpulan ini mereka berasa lebih selamat memandangkan mereka terpaksa
berjalan beratus-ratus kilometer.
Barangan dagangan pula diangkut
dengan menggunakan unta kerana binatang ini mampu membawa bebenan yang berat
dan tahan berjalan berhari-hari di padang pasir. Destinasi perdagangan ang
tersohor ialah Makkah, Yaman, Syam, Yamamah dan Hirah. Barangan yang
diperniagakan pula ialah minyak wangi, rempah, kulit binatang dan lain-lain
keperluan tempatan termasuk patung berhala.
Selain hasil perniagaan,
terdapat juga yang mengaut keuntungan melalui hasil cukai yang dikenakan terhadap
pedagangan-pedagang yang melalui kawasan mereka. Hasil cukai perdagangan hanya
diperolehi penduduk Makkah dan Yamamah kerana kedua-duanya terletak di
pertengahan jalan perdagangan di antara Yaman di Selatan Semenanjung Tanah
Arab, Syam dan Hirahdi Utara Semenanjung Tanah Arab. Selain dari itu terdapat
juga segelintir memperoleh pendapatan menerusi riba dan judi.[4]
Selepas keruntuhan Empangan Ma'arib dan penjajahan ke atas Semenanjung
Tanah Arab, keadaan politik dan ekonomi semakin meruncing. Kawasan utara
Semenanjung Tanah Arab juga turut terjejas akibat penjajahan Byzantine dan
Parsi, bukan sahaja dari segi politik,tetapi juga dari segi ekonomi dan sosial.
Ramai penduduk di selatan
Semenanjung Tanah Arab berhijrah ke utara dan menjalankan aktiviti perdagangan.
Namun, kegiatan perdagangan tidak menguntungkan kerana pelbagai halangan
seperti pertelagahan sesama kabilah Arab. Perhijrahan ini juga disebabkan
kemerosotan hasil pertanian yang berlaku di selatan Semenanjung Tanah Arab pada
ketika itu.[5]
ILMU PENGETAHUAN DAN INTELKTUAL
Penyebaran ilmu pengetahuan
dan peradaban pernah berlaku di Selatan Semenanjung Tanah Arab pada zaman
kegemilangannya,sehingga terdirinya beberapa buah kerajaan Arab seperti
kerajaan Qataban, Ma'in, Saba' dan Himyar. Namun begitu, ketamadunan itu runtuh
akibat kekufuran, kemaksiatan, kejahilan dan kedudukan ekonomi mereka turut
musnah akibat keruntuhan Empangan Ma'arib yang menjadi pemangkin kepada ekonomi
pertanian.
Sejak itu, kira-kira 300 tahun sebelum Islam, masyarakat Arab mula memasuki
zaman jahiliah dan zaman penjajahan.
Dalam tempoh tersebut, masyarakatArab
telah mengalami Zaman Gelap dan mundur bukan sahaja dari segi agama dan akhlak,
tetapi juga dari segi ilmu pengetahuan.Masyarakat jahiliah tidak mempunyai ilmu
pengetahuan yang tinggi dalam pelbagai bidang seperti agama, politik,
ekonomi,perniagaan dan perdagangan.
Sejak sebelum zaman jahiliah,
penyebaran ilmu pengetahuan telah berlaku di kawasan pinggir bahagian Selatan
dan Barat Laut Semenanjung Tanah Arab kerana hubungan perdagangan dengan bangsa
asing.Penyebaran ilmu amat terbatas dalam masyarakat jahiliah kerana minat
mereka kepada perdagangan mengatasi minat untuk menuntut ilmu pengetahuan.
Ketiadaan pewarisan ilmu
menyebabkan mereka gagal membina semula Empangan Ma'arib yang sudah runtuh.Di
Semenanjung Tanah Arab pada waktu itu hanya terdapat 17
orang kaum Quraisy yang pandai membaca dan menulis. Jumlah ini amat kecil
berbanding saiz masyarakat Arab pada waktu itu.Jadi, masyarakat tersebut boleh
dianggap sebagai masyarakat yang buta huruf
Masyarakat Arab menumpukan
kepada daya ingatan dan hafalan kerana mereka tidak tahu membaca dan menulis.
Jika sesuatu data atau maklumat tidak diminati, ia akan luput begitu sahaja.[6]
KESUSASTERAAN
Dalam bidang kesusasteraan, sebahagian masyarakat Arab tahu bersyair,
bersajak dan berkhutbah.
Karya-karya kreatif yang
dihasilkan berbentuk semula jadi, iaitu karya yang lahir daripada kreativiti
dan bakat semula jadi. Karya yang dihasilkan hanya untuk berseronok-seronok dan
bukannya karya berbentuk ilmiah.
Berdasarkan
keterangan-keterangan yang diberikan, jelas bahawa sebelum kedatangan Islam
yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW, wujud masyarakat jahiliah di Semenanjung
Tanah Arab.Justeru, Allah SWT mengutuskan Nabi Muhammad SAW dan menurunkan
al-Quran untuk menjadi panduan dan rujukan kepada manusia. Al-Quran bukan hanya
mengandungi ajaran-ajaran berbentuk akidah, syariah dan akhlak, tetapi juga
bidang-bidang lain seperti politik, ekonomi, sosial, perundangan, perubatan,
sains dan bidang-bidang pendidikan yang lain.
Akidah dan ilmu pengetahuan
amat penting dan tidak boleh dipisahkan. Melaluinya manusia membina tamadun,
mengenali dan mengingati Allah SWT.Kesan dan pengaruh pendidikan Islam yang
disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW kepada manusia mengenai ilmu pengetahuan dan
tamadun Islam amat mendalam.
Sekiranya dibandingkan
sumbangan masyarakat Islam dengan masyarakat jahiliah dari segi ilmu
pengetahuan, sudah tentu perbezaannya amat ketara. Sesetengah pendapat
mengatakan bahawa masyarakat jahiliah tidak memberikan apa-apa sumbangan dalam
aspek ilmu pengetahuan.
Dengan perkataan lain,
pencapaian ilmu pengetahuan pada zaman jahiliah amat rendah. Apatah lagi ramai
dalam kalangan mereka tidak berminat dengan ilmu pengetahun, bahkan kebanyakan
mereka dikategorikan sebagai golongan buta huruf. Oleh sebab mereka tidak tahu
menulis dan membaca, ilmu yang diperolehi mereka khususnya dalam bidang bahasa
dan kesusasteraan Arab adalah melalui lisan dan hafalan.[7]
[1] Mahayudin
Hj. Yahya et. Al., Ace Ahead Teks STPM
Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2 Edisi Kemaskini, (Shah Alam: Oxford
Fajar.2014) ,11.
[2] Mahayudin
Hj. Yahya et. Al., Ace Ahead Teks STPM
Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2 Edisi Ketga, (Shah Alam: Oxford
Fajar.2017) ,8
[3]
Ibid
[4]
Ibid,7.
[5] Mahayudin
Hj. Yahya et. Al., Ace Ahead Teks STPM
Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2 Edisi Kemaskini,11.
[6]
Ibid,13.
[7] Mahayudin
Hj. Yahya et. Al., Ace Ahead Teks STPM
Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2 Edisi Ketiga,10.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan