Rabu, 31 Disember 2014

1.3 Sistem pemerintahan

Sistem pemerintahan Nabi Muhammad SAW (abad ke.7) STPM 2012

 Pengenalan
Nabi Muhammad SAW telah meletakkan batu asas yang cukup kukuh dalam pemerintahan dan pentadbiran negara dengan memberikan contoh teladan yang baik untuk dijadikan panduan dan ikutan umat manusia.
       Nabi Muhammad SAW telah mengasaskan negara Islam di Madinah berteraskan wahyu yang telah diturunkan olehAllah SWT untuk menjadi garis panduan mengenai asas-asas pemerintahan bagi seluruh manusia. Al-Quran menegaskan konsep keadilan dalam pemerintahan Islam kerana keadilan akan melahirkan kesetiaan rakyat terhadap pemerintah.
       Keadilan yang dimaksudkan bukan merujuk kepada rakyat biasa sahaja, tetapi juga kepada golongan atasan dan pemerintah supaya berlaku adil dalam semua hal serta dalam semua keadaan bagi mencetuskan keadilan dan kesejahteraan dalam sesebuah negara.Al-Quran sememangnya tidak menerangkan secara terperinci tentang prinsip pembentukan negara, namun al-Quran mengingatkan umatnya supaya bermesyuarat dalam melakukan sebarang urusan.[1]
       Justeru, langkah-langkah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW dan Khulafa' al-Rasyidin merupakan contoh terbaik bagi umat Islam.Islam mengarahkan umatnya patuh kepada ketua pemerintah (ali al-amr) supaya tidak berlaku huru-hara dan perpecahan dalam
masyarakat.
       Umumnya, langkah-langkah yang diambil oleh Nabi Muhammad SAW dan para Khulafa' al-Rasyidin boleh dijadikan asas pemerintahan dan pentadbiran negara yang adil bagi generasi selepas mereka supaya mereka dapat menghadapi sebarang rintangan dan cabaran yang mendatang.
       Sebelum ketibaan Nabi Muhammad SAW ke Madinah, tidak terdapat sebuah pemerintahan dan pentadbiran yang teratur serta berlandaskan undang-undang perlembagaan sepertimana yang berlaku pada zaman baginda. Masyarakat Madinah berpecah sesama mereka, khususnya antara orang Yahudi dengan orang Arab.Nabi Muhammad SAW telah menegakkan sebuah negara Islam selepas peristiwa Perjanjian Aqabah atau selepas peristiwa Hijrah ke Madinah. Baginda telah merangka struktur untuk menegakkan sebuah negara.[2]


[1] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,(Shah Alam:Oxford Fajar,2013),27.
[2] Ibid,27.

Ahad, 28 Disember 2014

2.3 Konsep Ummah



Menurut Kamus Dewan, ummah berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud umat.[1]Ummah bererti masyarakat atau umat manusia.Dalam konteks Islam umat ialah pemeluk, penganut, pengamal dan pengikut agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.Inbu Hisham dalam As-Sirah menyatakan bahawa umat (ummah) Islam yang pertama ialah As-Sabiqun al-Awwalun,[2] iaitu golongan pertama yang memeluk Islam di Mekah. Dalam konteks ummah pada zaman Nabi Muhammad SAW,masyarakat yang mematuhi Piagam Madinah termasuk umat Islam dan bukan Islam seperti kaum Yahudi di Madinah.[3]

       Penyebaran Islam di Madinah lebih mudah berbanding di Makkah kerana keadaan dan suasana yang berbeza antara kedua-dua kota tersebut.Sebelum ketibaan Nabi Muhammad SAW ke Madinah, Islam telah tersebar di sana menerusi usaha mereka yang menyertai Perjanjian Aqabah I dan Aqabah II, serta 12 orang naqib yang dilantik oleh baginda.

       Usaha ke arah mendaulatkan agama Islam di Madinah bukanlah satu perkara yang mudah. Banyak rintangan telah dihadapi oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabat baginda.Umat Islam berupaya untuk mendirikan sebuah masjid di tengah-tengah kota Madinah dan dapat melakukan amal ibadat secara terbuka.

       Nabi Muhammad SAW telah menyatupadukan umat Islam Madinah dan membentuk negara Islam.Selepas Hijrah, masyarakat Islam terbahagi kepada dua golongan, iaitu Muhajirin dan Ansar. Kedua-dua golongan ini telah dipersaudarakan bagi tujuan membentuk umat Islam yang kuat di kota Madinah.[4]

Golongon Muhajirin
Golongan Muhajirin merupakan pengikut Nabi Muhammad SAW yang berhijrah dari Makkah ke Madinah.Istilah Muhajirin berasal daripada perkataan hijrah, penghijrahan; orang yang berhijrah dipanggil al-Muhajir (secara jamak: al-Muhajirin).

       Golongan Muhajirin bukan orang pelarian; seperti mana anggapan sesetengah orientalis, tetapi mereka berpindah/berhijrah dari kota Makkah ke kota Madinah kerana mematuhi suruhan Allah SWT dan Rasul-Nya derni masa depan Islam yang lebih cerah.Di Madinah, golongan Muhajirin mendapat pertolongan dari segi fizikal dan moral daripada golongan Ansar.

       Golongan Muhajirin diberitakan dalam al-Quran (surah al-Baqarah: 215, surah al-Imran: 191) mendapat rahmat dan pahala yang amat besar daripada Allah SWT kerana pengorbanan mereka berhijrah.Nabi Muhammad SAW telah mempersaudarakan golongan Muhajirin dengan golongan Ansar untuk menjadi umat yang mulia dan kuat.[5]Golongan Muhajirin dianggap sebagai golongan yang terawal memeluk agama Islam dan paling banyak berjasa dalam menegakkan ajaran tauhid.[6]

Golongan Ansar
Golongan Ansar ialah penduduk Madinah, khususnya daripada kaum Aus dan Khazraj yang telah memeluk agama Islam.Mereka membantu Nabi Muhammad SAW sebelum dan selepas
berhijrah ke Madinah (622M). Golongan Ansar telah menjemput Nabi SAW dan para sahabat datang ke Madinah.Golongan Ansar bersama Muhajirin telah menegakkan negara Islam Madinah.Kaum  Ansar banyak berkorban, sama ada  harta benda, tenaga dan jiwa raga untuk mengembangkan agama Islam.Mereka dianggap sebagai golongan yang terawal memeluk agama Islam dan yang paling banyak berjasa dalam menegeakkan ajaran tauhid.[7]


[1] Mohd Sukki Othman dan Wan Muhammad Wan Sulong, Teks Pra-U STPM Sejarah Islam,(Petaling Jaya : Sasbadi, 2014),12.
[2] Mahdi Shuid. Et.al, Teks STPM Sejarah Islam Penggal 2, (Bandar Baru Bangi :Penerbitan Pelangi Sdn.Bhd,2013),32.
[3] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,(Shah Alam:Oxford Fajar,2013),21.
[4] Ibid,21.
[5] Mahayudin Yahaya, Tamadun Islam, (Shah Alam: Penerbitan Fajar Bakti,1998),53.
[6] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,22.
[7] Mahayudin Yahaya, Tamadun Islam,53.

Sabtu, 27 Disember 2014

2.2Pembentukan Masyarakat lslam di Madinah



Masyarakat Islam Madinah dibentuk melalui dakwah oleh golongan penghijrah dari Makkah, iaitu golongan Muhajirin dengan sokongan penduduk tempatan, iaitu orang Ansar.Nabi Muhammad SAW bukan sahaja mempunyai pertalian langsung di Madinah dari segi hubungan kekeluargaan, tetapi juga hubungan dari segi ekonomi dan keagamaan.

       Nabi Muhammad SAW menyebarkan agama Islam kepada penduduk Madinah yang mengerjakan haji selama tiga musim haji berturut-turut.Pada tahun ke-ll kerasulan baginda, rombongan daripada kaum Khazraj telah datang menunaikan fardu haji di Makkah.

       Nabi Muhammad SAW telah menemui mereka di Bukit Aqabah dan memberikan penerangan tentang Islam.Pada musim haji berikutnya, mereka sekali lagi datang untuk menemui baginda. Rombongan ini terdiri daripada 10 orang daripada kaum Khazraj dan dua orang daripada kaum Aus.Dalam pertemuan ini, terbentuklah perjanjian yang dinamakan Perjanjian Aqabah I. Dalam perjanjian ini, mereka berjanji tidak menyekutukan Allah SWT.[1]

       Selepas Perjanjian Aqabah I, Nabi Muhammad SAW telah menghantar Mus'ab bin Umayr ke Madinah untuk menyebarkan Islam dan mengajar ayat-ayat al-Quran. Misi ini telah mencapai kejayaan yang besar.

       Pada tahun ke-13 kerasulan baginda, seramai 73 orang yang terdiri daripada kaum Aus dan Khazraj (termasuk dua orang wanita) telah datang menemui baginda. Pertemuan ini telah menghasilkan Perjanjian Aqabah II.Perjanjian ini juga dipanggil Perjanjian Peperangan kerana menyentuh hal-hal Peperangan.

       Selepas itu, Nabi Muhammad SAW telah melantik 12 orang naqib (ketua), sembilan orang daripada kaum Khazraj dan tiga orang daripada kaum Aus untuk menyebarkan Islam di Madinah.Pelantikan mereka merupakan bukti yang jelas bagi mencapai matlamat jangka panjang untuk kemenangan Islam.Kesetiaan yang diberikan oleh penduduk Madinah kepada Nabi Muhammad SAW merupakan satu jaminan terhadap kejayaan Islam di Madinah.[2]




[1]Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,(Shah Alam:Oxford Fajar,2013),20
[2] Ibid,20.

Sebab-sebab Kaum Quraisy Menentang Nabi Muhammad SAW dan lslam



Kuasa dan pengaruh yang dipegang selama ini berhubung dengan kepimpinan kota Makkah perlu dikekalkan.Agama Islam mementingkan persamaan taraf sesama manusia. Konsep ini sangat bertentangan dengan konsep sistem sosial masyarakat jahiliah.

       Pusaka nenek moyang mereka juga perlu dipertahankan. Mereka bimbang akan hilang punca pendapatan daripada penjualan berhala yang telah menjadi amalan sejak zaman nenek moyang mereka.

Takut akan hari pembalasan kerana mereka telah banyak melahrkan dosa di dunia.Iri hati dengan kedudukan Nabi Muhammad SAW sebagai seorang Nabi dan Rasul.Kematian Abu Talib dan Siti Khadijah menyebabkan tiada perlindungan kepada Nabi Muhammad SAW. Hal ini memberikan kekuatan kepada kaum Quraisy untuk menentang.[1]

Proses Penentangan
       Selepas kematian Abu Talib dan Siti Khadijah, penentangan kaum Quraisy terhadap Nabi Muhammad SAW semakin kuat. Keadaan ini memaksa baginda mencari perlindungan di Ta'if kerana di Makkah, baginda tiada lagi tempat bergantung.Nabi Muhammad SAW telah pergi ke Ta'if secara bersendirian untuk meneruskan usaha dakwah di samping mendapatkan pertolongan daripada pemimpin Ta'if namun usaha ini gagal.Kegagalan tersebut tidak melemahkan usaha baginda untuk meneruskan perjuangan menegakkan agama Islam. Baginda terus menyeru kepada kabilah-kabilah Arab yang datang ke Makkah untuk menunaikan haji agar menerima Islam.

       Nabi Muhammad SAW berasa tersisih daripada masyarakat Makkah setelah seruannya ditolak oleh kaum Quraisy dan Bani Thaqif di Ta'if.Kaum Quraisy tidak senang melihat orang Islam berhijrah ke Madinah kerana dikhuatiri mereka akan mewujudkan kuasa baharu di sana.

       Satu komplot untuk membunuh Nabi Muhammad SAW telah diusulkan oleh Abu Jahal. Dengan ini, mereka berharap ajaran Islam akan terkubur dan mereka yang berhijrah ke Madinah akan pulang semula ke Makkah. Nabi Muhammad SAW telah mengetahui tentang komplot pembunuhan tersebut. Oleh itu, Ali binAbi Talib telah menawarkan diri untuk tidur di tempat tidur baginda. Baginda telah berhijrah bersama-sama Abu Bakar secara senyap-senyap.

       Berita tentang kegagalan menangkap Nabi Muhammad SAW telah menggemparkan seluruh penduduk Makkah.Dalam suasana yang tertekan akibat ancaman kaum Quraisy itu, berlaku peristiwa yang menakjubkan, iaitu Israk dan Mikraj pada 27 Rejab tahun ke-ll kerasulan baginda. Peristiwa ini merupakan mukjizat yang amat besar ke atas Nabi Muhammad SAW.

       Peristiwa Israk dan Mikraj telah menggemparkan masyarakat Quraisy Makkah. Mereka menuduh Nabi Muhammad SAW sebagai pembohong.Namun, keadaan tersebut tidak menggugat iman orang Islam dan Abu Bakar merupakan orang yang pertama meyakini peristiwa Israk dan Mikraj. Disebabkan itu, beliau mendapat gelaran al-Siddiq (yang membenarkan).[2]


[1]Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal  2,19.
[2] Ibid,19.

Jumaat, 26 Disember 2014

Masyarakat Islam

1.1  Masyarakat Islam

     Nabi Muhammad SAW diutus bagi menyampaikan risalah kepada seluruh umat manusia tentang ajaran Islam. Baginda ialah Nabi dan Rasul terakhir.Hal ini bermakna tidak ada nabi dan rasul selepasnya. Baginda telah berjaya mernbentuk sebuah masyarakat (ummah) dan negara Islam di Madinah.Selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, telah berlaku suatu perubahan besar dari sudut politik, ekonomi dan sosial umat Islam yang membawa kepada perkembangan budaya dan masyarakat Islam yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan keturunan. Peristiwa ini telah mencetuskan suatu fenomena baharu dalam sejarah umat Islam bermula dari era Khulafa' al-Rasyidin hinggalah kepada era-era selepasnya.[1]
Nabi Muhammad SAW dan Khalifah al-Rasyidin di Semenanjung Tanah Arab (abad ke-6-7)
2.1 Perkembangan Masyarakat lslam di Mekah
Aktiviti Dakwah
Antara usaha Nabi Muhammad SAW untuk membentuk masyarakat Islam di Makkah adalah melalui dakwah. Langkah-langkah dakwah diambil sama ada secara sulit atau terang-terangan .Secara sulit, baginda berdakwah kepada keluarga, anak-anak angkat, saudara-mara dan para sahabat.Baginda menyeru mereka supaya beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya serta meninggalkan amalan menyembah berhala.Baginda juga menyeru mereka kepada kebaikan, iaitu ma'ruf  dan meninggalkan kejahatan, iaitu mungkar seperti minum arak,berjudi, berzina, mencuri dan membunuh.
       Dakwah yang dijalankan oleh baginda adalah secara lemah lembut.Hanya beberapa orang dalam kalangan penduduk Makkah yang memeluk agama Islam setelah kira-kira tiga tahun dakwah secara sulit dilakukan.Khadijah binti Khuwailid, Saidina Ali bin Abu Talib, Zaid Harithah, Saidina Abu Bakar al-Siddiq, Uthman bin Affan, Zubair al-Awwam, Abdul Rahman bin Auf, Saad Abu Waqas, Talhah bin Ubaidillah dan al-Arqam bin Abu Arqam.[2]
       Peringkat dakwah secara sulit telah dilakukan secara berhati-hati melalui individu tertentu seperti Abu Bakar al-Siddiq dan al-Arqam bin Abi al-Arqam yang menghadiahkan rumahnya sebagai markas untuk menyebarkan agama Islam. Mereka yang memeluk Islam di Makkah terdiri daripada golongan miskin dan kaya, termasuk Abu Bakar al-Siddiq dan Uthman bin Affan. Namun begitu, bilangannya terlalu kecil berbanding dengan di Madinah selepas Hijrah.
       Setelah tiga tahun berdakwah secara sulit, turun wahyu supaya Nabi Muhammad SAW berdakwah secara terang-terangan.Walau bagaimanapun, sambutan daripada kaum keluarga baginda agak dingin, terutamanya tentangan oleh ayah saudaranya, Abu Lahab sehingga turun ayat al-Quran yang mengutuk perbuatan tersebut, iaitu surah al-Lahab, ayat l-5.
       Selepas turunnya ayat al-Quran, maka bermulalah aktiviti dakwah secara terang-terangan. Allah SWT mengarahkan baginda supaya memberikan peringatan dan amaran kepada kaum keluarga baginda supaya patuh dan setia kepada orang yang beriman.Namun begitu, Abu Lahab enggan menurut perintah Allah SWT dan Rasul-Nya serta terus menentang dan memusuhi baginda dan agama Islam.[3]
TENTANGAN DAN CABARAN
       Kaum Quraisy menentang usaha dakwah Nabi Muhammad SAW dan mencabar baginda supaya menunjukkan mukjizat seperti nabi-nabi terdahulu. Tujuan mereka semata-mata untuk menghina Nabi Muhammad SAW dan kerasulan baginda. Kaum Quraisy mula berasa terhina kerana Nabi Muhammad SAW menyelar agama berhala, iaitu agama nenek moyang mereka.
Mereka meminta agar Abu Talib menasihati anak saudaranya,tetapi Nabi Muhammad SAW tetap meneruskan seruan Islam.
       Sikap dan pendirian Abu Talib yang memihak kepada Nabi Muhammad SAW menyebabkan kaum Quraisy bertambah marah dan meminta agar Nabi Muhammad SAW diserahkan kepada mereka. Setelah usaha tersebut gagal, mereka cuba memujuk Nabi Muhammad SAW dengan menawarkan perempuan, harta dan pangkat dengan syarat baginda meninggalkan seruan Islam, tetapi tawaran ini ditolak.
       Kaum Quraisy kemudiannya menggunakan cara kompromi dengan mencadangkan agar Nabi Muhammad SAW menyembah berhala dan mereka akan menyembah Tuhan Nabi Muhammad SAW.Tawaran ini juga ditolak oleh baginda berdasarkan perintah Allah SWT dalam surah al-Kaafirun,ayat 1-6 yang bermaksud "terdapat pemisahan mutlak antara agama Islam daripada agama berhala".Kaum Quraisy tidak mahu beralah kerana tidak mahu kuasa yang ada pada mereka tergugat.
       Setelah gagal dengan pelbagai cara, akhirnya kaum Quraisy mengambil tindakan keras dengan menyeksa orang Islam. Walaupun orang Islam diseksa dengan dahsyat, namun bilangan orang yang memeluk Islam terus bertambah.Umat Islam telah berpindah ke Habsyah bagi mengelakkan penyeksaan kaum Quraisy, di samping berdakwah. Untuk menyebarkan agama Islam. Peristiwa tersebut berlaku pada bulan Rejab tahun 615 M.
Mereka selamat tiba di Habsyah dan diberikan perlindungan oleh rajanya,Najasyi. Nabi Muhammad SAW pula terus berdakwah di Makkah.Bilangan orang Islam yang berhijrah ke Habsyah pada peringkat awal ialah seramai 12 orang lelaki dan empat orang wanita. Bilangan
tersebut bertambah sehingga mencapai 82 orang, tidak termasuk wanita dan kanak-kanak.
       Kaum Quraisy masih tidak berpuas hati dan menghantar dua orang utusan meminta agar Raja Najasyi memulangkan orang Islam.Namun, usaha tersebut gagal kerana Raja Najasyi sendiri telah tertarik dengan agama Islam.Berita pengislaman Umar bin al-Khattab pada bulan Zulhijah tahun 616 M yang juga merupakan seorang pemimpin yang berpengaruh dalam kalangan masyarakat di Makkah menyebabkan orang Islam kembali ke Makkah.
       Kaum Quraisy semakin berpecah kerana Umar bin al-Khattab merupakan orang kuat mereka.Kaum Quraisy telah merancang taktik baharu untuk melemahkan umat Islam dengan memulaukan Bani Hasyim dan Bani Muttalib, iaitu kaum keluarga Nabi Muhammad SAW.
Pemulauan yang berlangsung selama kira-kira tiga tahun itu merangkumi larangan melakukan urusan jual beli, perkahwinan dan memberikan pertolongan kepada kaum keluarga Nabi Muhammad SAW.
       Mereka hanya dibenarkan keluar pada musim haji. Peluang ini digunakan oleh Nabi Muhammad SAW untuk menyebarkan agama Islam kepada jemaah haji yang datang dari seluruh Semenanjung Tanah Arab.


[1]Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,(Shah Alam:Oxford Fajar,2013),15.
[2] Mahdi Shuid. Et.al, Teks STPM Sejarah Islam Penggal 2, (Bandar Baru Bangi :Penerbitan Pelangi Sdn.Bhd,2013),29.
[3] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal  2,17.