Rabu, 4 April 2018

SUMBANGAN AL-GHAZALI

OLEH- AHMAD BIN YAAKOB
Latar belakang al-Ghazali.
Nama Imam al-Ghazali ialah Abu Hamid bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad Al-Ghazali.Imam Al-Ghazali dilahirkan pada tahun 450H besamaan dengan 1058M di desa Ghazalah, dipinggir Kota Thus, yang terletak di Bahagian timur Laut Iran. Menurut Ibn Atsir, beliau digelar “Al-Ghazali” bersempena dengan gelaran bapanya yang bekerja sebagai pemintal bulu kambing (al-Ghazzal).[1]Al-Ghazali pernah memegang jawatan ketua di Madrasah Nizamiyah, Baghdad selama 5 tahun (1091-1095M). Di universiti tersebut, beliau memberi kuliah dalam bidang hukum dan teologi.Dalam dunia Islam, al-Ghazali mendapat gelaran Hujjatul Islam (Pembela Islam ) kerana kepetahan beliau berhujah membela Islam.
Sumbangan Al-Ghazali :
      Dunia amat mengagumi al-Ghazali melalui penulisannya di mana beliau merupakan pengarang yang amat hebat dan berada dalam kelas yang tersendiri. Kebolehan beliau mengarang tidak dapat disangkal lagi terutamanya oleh sarjana Barat dan sepanjang hayatnya, beliau telah mengarang lebih daripada 300 buku.Penulisan al-Ghazali meliputi skop ilmu yang sangat luas iaitu merangkumi bidang falsafah, keagamaan, kenegaraan dan tanggungjawab seorang ketua negara.[2]

Bidang Falsafah.
      Sumbangan al-Ghazali dalam bidang falsafah bermula dengan penulisan kitab Maqasid-Falasifah (Tujuan Ilmu Falsafah) yang membincangkan teori falsafah dan kitab Tahafut al-Falasifah yang membincangkan penyelewengan falsafah Barat tentang fizik dan metafrzik daripada sudut pandangan Islam.

      Al-Ghazali lantang menegur falsafah Aristotle berkenaan kewujudan dunia ini sejak azali dan tiada permulaan manakala al-Ghazali menyatakan dunia berasal daripada tidak ada dan diciptakan oleh tuhan. Kesan kritikan al-Ghazali tersebut, tidak muncul seorang pun ahli falsafah terkenal selama 100 tahun selepas beliau.

      Ibn al-Ghazali berjasa dalam membela Islam daripada pengaruh bidaah dan aliran rasionalisme Yunani (Hujjatul Islam). Ini dapat dilihat dalam penulisannya apabila beliau banyak mematahkan hujah pihak yang keterlaluan ketika membahaskan isu-isu yang timbul, khasnya perbincangan ilmu kalam. Al-Ghazah membahaskan ilmu kalam menurut methodologi Rasulullah SAW dan para sahabat serta menguatkan hujah berteraskan al-Quran, as-Sunnah dan perbahasan para sahabat. Menurut al-Ghazali, perdebatan berdasarkan hujah akal tanpa berpaksikan sumber primer hanya akan menambahkan lagi kerisauan dan kecelaruan dalam masyarakat Islam. Perbahasan al-Ghazali mengenai masalah-masalah falsafah jauh lebih baik daripada perbahasan ahli-ahli falsafah sendiri.

Al-Ghazali membahagikan 3 golongan yang membahaskan
falsafah :
a. Atheis - golongan yang mengingkari wujudnya pencipta yang mentadbir seluruh alam.
b. Natural - golongan ilmuan yang banyak mengkaji berkaitan dengan tabiat, kejadian dan anatomi manusia, tumbuhan dan haiwan. Golongan ini mendakwa apabila mati mereka tidak akan hidup semula, justeru mereka menafikan adanya hari akhirat.
c. Teologi - golongan yang membincangkan soal-soal ketuhan seperti Plato, Aristotle dan Socretus. Mereka membahaskan perkara-perkara berkaitan ketuhanan dengan bersumberkan akal.

      Al-Ghazali adalah orang pertama yang mengklasifikasikan semula ilmu falsafah kepada enam bahagian iaitu matematik, mantiq, fizik, ketuhanan, siasah dan akhlak.Kitab al-Ma'riful' Aqaliyah (Ilmu Pengetahuan YangRasional) memaparkan tentang hakikat kewujudan ilmu-ilmu yang rasional serta tujuan penghasilannya.

      Sumbangan al-Ghazali yang paling terkenal ialah dalam bidang keagamaan dan kitabnya lhya' Ulumuddin (Menghidupkan Ilmu-Ilmu Agama). Kitab tersebut dikarang ketika beliau berumur 50 tahun menjadi jalan keluar kepada pelbagai fahaman dan aliran. Kitab ini yang merangkumi ilmu akidah, fiqah, falsafah, akhlak dan tasawuf masih menjadi rujukan umat Islam masa kini.

      Kitab Ayytha al-Walad (Aduhai Anakku) pula sangat penting kerana mempunyai nasihat beliau kepada anak muridnya tentang ilmu terbaik yang terdiri daripada lapan perkara dan
diterjemah ke dalam bahasa Turki.

     Al-Ghazali terkenal dalam bidang sains politik di mana penulisannya terbahagi kepada 2 perkara iaitu teori kenegaraan dan teori pemerintahan. Buku-bukunya iaitu Mustazh-hiri, alMunqiz Minad Dhalal, Al-Iqtishad Jil I'tiqad (Kesederhanaan Dalam Kepercayaan ) membincangkan soal kepimpinan bagi sesebuah negara Islam.


      Al-Ghazali juga banyak memberi pandangan dalam bidang pendidikan berdasarkan pengalamannya sebagai seorang pelajar, guru dan ketua di Madrasah Nizamiyah. Al-Ghazali merupakan pemikir Islam yang meninggalkan jasa yang dapat dinilai melalui hasil-hasil karyanya. Beberapa karyanya telah diterjemah ke dalam pelbagai bahasa Eropah untuk dijadikan rujukan di pusat-pusat pengajian tinggiHasil-hasil tulisan al-Ghazali telah mempengaruhi ahli fikir Islam selepasnya seperti Jalaluiddin ar-Rumi, Ibn Rusyd dan Syah Waliyullah.[3]




[1] Mohd Sukki Othman dan Wan Muhammad  Wan Sulong ,Teks Pra U STPM Sejarah Penggal 2, (Kuala Lumpur: Pearson Malaysia Sdn. Bhd, 2014), 289.
[2] “Sumbangan tokoh”, ”, dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah, (Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia,2013),84.
[3] Ibid,86

Tiada ulasan: