Rabu, 24 Disember 2014

Struktur Masyarakat Jahiliah

POLITIK

        Pada zaman jahiliah, tidak terdapat kerajaan yang mempunyai struktur pemerintahan yang teratur dan berkuasa.Kedudukan  politik  masyarakat pada zaman jahiliah dilihat tergugat akibat penjajahan kuasa-kuasa asing. Zaman ini dikenali sebagai zaman penjajahan kerana sebahagian besar Semenanjung Tanah Arab dijajah oleh Byzantine dan Parsi. Masyarakat Quraisy Makkah turut tergugat dengan ancaman-ancaman kuasa asing. Contohnya, serangan tentera bergajah oleh tentera Habsyah pimpinan Abrahah yang datang dari Yaman pada tahun 570 M (dikenal sebagai Tahun Gajah), iaitu tarikh keputeraan Nabi Muhammad SAW.
       Masyarakat jahiliah sering berperang sesama sendiri dan hidup berpuak-puak untuk mendapatkan restu dan perlindungan daripada pemerintah. Pada zaman penjajahan, mereka tidak lagi berupaya untuk membela diri kerana berasa rendah diri, kalah dan patah semangat
untuk terus berjuang. Akibatnya, mereka menyerah kalah kepada kuasa-kuasa asing yang
telah mendirikan kerajaan-kerajaan boneka di Ghassan (naungan Parsi), Hirah (naunganByzantine) dan Yaman (naungan Habsyah).
       Walaupun tempat-tempat tersebut mempunyai pentadbiran dan pemerintahan sendiri, tetapi ini tidak boleh dianggap sebagai sebuah pemerintahan yang maju dan bertamadun kerana masing-masing terletak di bawah kuasa penjajah.[11]
EKONOMI
     
      Walaupun kehidupan masyarakat Arab di Yaman agak mewah,beragama dan bermoral pada suatu ketika dahulu yang disifatkan dalam al-Quran sebagai baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur,tetapi berikutan keruntuhan Empangan Ma'arib dan kekufuran, kehidupan mereka bertukar menjadi mundur, papa kedana serta sesat.
       Selepas keruntuhan Empangan Ma'arib dan penjajahan ke atas Semenanjung Tanah Arab, keadaan politik dan ekonomi semakin meruncing. Kawasan utara Semenanjung Tanah Arab juga turut terjejas akibat penjajahan Byzantine dan Parsi, bukan sahaja dari segi politik,tetapi juga dari segi ekonomi dan sosial.
       Ramai penduduk di selatan Semenanjung Tanah Arab berhijrah ke utara dan menjalankan aktiviti perdagangan. Namun, kegiatan perdagangan tidak menguntungkan kerana pelbagai halangan seperti pertelagahan sesama kabilah Arab. Perhijrahan ini juga disebabkan kemerosotan hasil pertanian yang berlaku di selatan Semenanjung Tanah Arab pada ketika itu.
       Kerajaan Himyar mencari alternatif dengan melaksanakan dasar penaklukan untuk mengumpulkan kekayaan.Pada mulanya, mereka berjaya mengumpulkan harta yang banyak
melalui penaklukan, tetapi selepas tahun 300 M, kerajaan ini mengalami kemelesetan ekonomi yang teruk hingga kejatuhan Habsyah pada tahun 534 M. Sejak itu, pertumbuhan ekonomi di Semenanjung Tanah Arab semakin lembap.
       Peristiwa percubaan tentera Habsyah menawan kota Makkah telah memburukkan lagi situasi perdagangan antara kedua-dua buah kawasan ini.Makkah tersepit di antara Byzantine dengan Parsi hingga menyekat perkembangan perdagangannya.Konflik  ekonomi yang wujud dalam masyarakat jahiliah menyebabkan ekonomi masyarakat Arab pada waktu itu tidak
dapat berkembang.
       Pada dasarnya ketidakstabilan politik sanenanjung Tanah Arab merupakan asas kepada pelbagai masalah ekonomi dalam kalangan masyarakat Arab.
Sosial
       Susun lapis masyarakat Arab bermula daripada 'a'ilah (family), dikuti fasilah (gabungan dua a'ilah atau lebih), bani (gabungan dua failah atau lebih), fakhidh (gabungan dua bani atau lebih),batn (gabungan dua fakhidh atau lebih), imarah (gabungan dua batn atau lebih), qabilah (gabungan dua imarah atau lebih) dan yang terbesar sya'b (iaitu bangsa Arab).
       Setiap individu bermegah-megah dengan kabilahnya dan memandang hina kabilah-kabilah yang lain.Semangat  setia kawan atau asabiyah menyebabkan persengketaan sering berlaku sesama mereka walaupun hanya disebabkan perkara kecil.
       Mereka sering berperang sesama sendiri untuk mencari nama, kuasa, pengaruh dan harta benda sebagai lambang kemegahan kabilah mereka.Tawanan perang dijadikan hamba abdi jika tiada siapa yang menebus atau melindungi mereka.
      Pada zaman jahiliah, wanita tidak mempunyai tempat yang sewajarnya dalam masyarakat dan sering dibawa bersama-sama dalam peperangan untuk memberikan perangsang kepada tentera.Mereka juga sanggup menanam bayi perempuan hidup-hidup kerana menganggap anak perempuan akan memberikan masalah sosial dan ekonomi kepada mereka.
    
     Masyarakat jahiliah berkahwin tanpa had dan batas.Hamba dipandang hina dan mempunyai status terendah dalam masyarakat serta sering diperlakukan dengan perkara-perkara di luar nilai kemanusiaan.Keadaan ini wujud kerana kehidupan mereka bercirikan unsur-unsur gasar yang berlawanan dengan ketamadunan.
       Secara umumnya sistem sosial masyarakat jahiliah tidak menjadikan teras perpaduan sesama kabilah sebagai tunjang kekuatan bangsa mereka.
Ilmu Pengetahuan
       Penyebaran ilmu pengetahuan dan peradaban pernah berlaku di Selatan Semenanjung Tanah Arab pada zaman kegemilangannya,sehingga terdirinya beberapa buah kerajaan Arab seperti kerajaan Qataban, Ma'in, Saba' dan Himyar. Namun begitu, ketamadunan itu runtuh akibat kekufuran, kemaksiatan, kejahilan dan kedudukan ekonomi mereka turut musnah akibat keruntuhan Empangan Ma'arib yang menjadi pemangkin kepada ekonomi pertanian.
Sejak itu, kira-kira 300 tahun sebelum Islam, masyarakat Arab mula memasuki zaman jahiliah dan zaman penjajahan.
       Dalam tempoh tersebut, masyarakatArab telah mengalami Zaman Gelap dan mundur bukan sahaja dari segi agama dan akhlak, tetapi juga dari segi ilmu pengetahuan.Masyarakat jahiliah tidak mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi dalam pelbagai bidang seperti agama, politik, ekonomi,perniagaan dan perdagangan.
       Sejak sebelum zaman jahiliah, penyebaran ilmu pengetahuan telah berlaku di kawasan pinggir bahagian Selatan dan Barat Laut Semenanjung Tanah Arab kerana hubungan perdagangan dengan bangsa asing.Penyebaran ilmu amat terbatas dalam masyarakat jahiliah kerana minat mereka kepada perdagangan mengatasi minat untuk menuntut ilmu pengetahuan.
      
       Ketiadaan pewarisan ilmu menyebabkan mereka gagal membina semula Empangan Ma'arib yang sudah runtuh.Di Semenanjung Tanah Arab pada waktu itu hanya terdapat 17
orang kaum Quraisy yang pandai membaca dan menulis. Jumlah ini amat kecil berbanding saiz masyarakat Arab pada waktu itu.Jadi, masyarakat tersebut boleh dianggap sebagai masyarakat yang buta huruf
       Masyarakat Arab menumpukan kepada daya ingatan dan hafalan kerana mereka tidak tahu membaca dan menulis. Jika sesuatu data atau maklumat tidak diminati, ia akan luput begitu sahaja.Dalam bidang kesusasteraan, sebahagian masyarakat Arab tahu bersyair, bersajak dan berkhutbah.
       Karya-karya kreatif yang dihasilkan berbentuk semula jadi, iaitu karya yang lahir daripada kreativiti dan bakat semula jadi. Karya yang dihasilkan hanya untuk berseronok-seronok dan bukannya karya berbentuk ilmiah.
       Berdasarkan keterangan-keterangan yang diberikan, jelas bahawa sebelum kedatangan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW, wujud masyarakat jahiliah di Semenanjung Tanah Arab.Justeru, Allah SWT mengutuskan Nabi Muhammad SAW dan menurunkan al-Quran untuk menjadi panduan dan rujukan kepada manusia. Al-Quran bukan hanya mengandungi ajaran-ajaran berbentuk akidah, syariah dan akhlak, tetapi juga bidang-bidang lain seperti politik, ekonomi, sosial, perundangan, perubatan, sains dan bidang-bidang pendidikan yang lain.
       Akidah dan ilmu pengetahuan amat penting dan tidak boleh dipisahkan. Melaluinya manusia membina tamadun, mengenali dan mengingati Allah SWT.Kesan dan pengaruh pendidikan Islam yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW kepada manusia mengenai ilmu pengetahuan dan tamadun Islam amat mendalam.
       Sekiranya dibandingkan sumbangan masyarakat Islam dengan masyarakat jahiliah dari segi ilmu pengetahuan, sudah tentu perbezaannya amat ketara. Sesetengah pendapat mengatakan bahawa masyarakat jahiliah tidak memberikan apa-apa sumbangan dalam aspek ilmu pengetahuan.
       Dengan perkataan lain, pencapaian ilmu pengetahuan pada zaman jahiliah amat rendah. Apatah lagi ramai dalam kalangan mereka tidak berminat dengan ilmu pengetahun, bahkan kebanyakan mereka dikategorikan sebagai golongan buta huruf.[12]


[11] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,11.
[12] Ibid,13.

Sabtu, 20 Disember 2014

AGAMA DAN KEPERCAYAAN

Kesesatan agama dalam kalangan masyarakat jahiliah mempunyai hubungan rapat dengan ketiadaan petunjuk dan pedoman daripada kitab suci dan rasul pada waktu itu sehingga mereka tunduk kepada kuasa berhala dan menganut agama berhala (wathani).

       Di samping agama berhala, terdapat juga agama-agama lain seperti agama Majusi, Nasrani dan Yahudi yang telah diselewengkan,tetapi bilangan penganutnya amatlah kecil.Pengaruh asing menjadi faktor pendorong penyebaran pelbagai agama di Semenanjung Tanah Arab kerana hubungannya dengan dunia luar melalui perdagangan, hubungan diplomatik dankegiatan-kegiatan agama. Dua kuasa besar, iaitu Parsi dan Byzantine berlumba-lumba untuk menyebarkan agama masing-masing. Parsi menyebarkan agama Majusi sementara Byzantine menyebarkan agama Nasrani.[1]
       Walau bagaimanapun, sebahagian besar kaum Badwi di kawasan tengah Semenanjung Tanah Arab masih menyembah berhala. Terdapat lima golongan beragama dalam kalangan masyarakat
Arab, iaitu:
(a) menyembah berhala wathani.
(b) menyembah api/Majusi.
(c) Nasrani/Kristian.
(d) Yahudi.
(e) Hanif/Samawi.
Agama menyembah berhala merupakan agama yang dominan dalam kalangan masyarakat Arab.Orang yang mula-mula memperkenalkan agama menyembah berhala ialah Umar bin Luai. Berhala tersebut dibawa dari Syam lalu diletakkan di sekeliling Kaabah dan disembah. Berhala-berhala yang disembah diperbuat daripada batu, kayu dan logam sama ada berbentuk asli atau replika. Berhala-berhala itu dibuat daripada pelbagai jenis seperti dari kayu, batu, gangsa, perak, emas, gandum dan buah tamar. Abdullah Yusuf Ali dalam The Holy Quran telah membahagikan berhala kepada al-Wad iaitu berhala menyerupai seorang lelaki. Al-Suwa berhala menyerupai wanita. Patung ini melambangkan kecantikan wanita. Al-Yaghuth berhala berbentuk singa atau lembu jantan. Al-Tauq iaitu berhala berbentuk kuda yang melambangkan kekuatan dan ketangkasan berlari dan al-Nasr iaitu berhala berbentuk burung helang yang melambangkan ketajaman penglihatan atau pandangan.[2]  Pusat agama berhala terletak di kota Makkah. Pada waktu itu di sekeliling Kaabah terdapat kira-kira 360 buah berhala.Berhala-berhala yang terkenal di Makkah ialah al-Uzza, al-Latta dan al-Manat.[3]
       Agama Majusi berasal dari Parsi.Mereka tidak mempunyai kitab dan tidak mengakui nabi yang diutus oleh Allah SWT.Penganut agama Majusi mempercayai dua tuhan, iaitu tuhan yang baik dan tuhan Yang jahat.Mereka juga percaya kepada dua konsep api, iaitu api sebagai penerang dan api sebagai pemusnah. Agama ini terbahagi kepada tiga mazhab yang besar, iaitu Kayumarthiyah, Zarwaniyah dan Zaradusshitiyah.[4]
       Agama Yahudi ialah agama yang dibawa oleh Nabi Musa a.s. yang diutus kepadanya kitab Taurat.penganut agama Yahudi, iaitu Bani Israel telah mengubah isi kandungan kitab Taurat dan Allah SWT telah melaknat mereka. Agama Yahudi yang berasal dari Palestine ini bertapak di Kota Yathrib atau Madinah apabila masyarakat Palestin memasuki dan mendiami Hijaj dan Yaman pada masa Raja Zul Nuwas memerintah Yaman. Di Yathrib agama Yahudi dianuti oleh Bani Nadhir, Bani Qainuqa danQuraizah.[5]
       Pengkaji sejarah berpendapat agama Kristian mula bertapak di kota Mekah pada abad ke-14 M.Agama Nasrani (Kristian) dibawa oleh Nabi Isa a.s. yang diturunkan kepadanya kitab suci Injil.Kaumnya juga telah mengubah isi kandungan kitab ini..Agama Nasrani dikembangkan ke utara Semenanjung Tanah Arab menerusi penduduk Ghassan dan Hirah, di sebelah selatan pula menerusi penduduk Habsyah pada abad ke-6 M.[6] Agama Kristian mula bertapak di Kota Mekah apabila kerajaan Rom meluaskan pengaruh dan kuasanya di Yaman. Agama Kristian pada mulanya dianuti oleh penduduk di Bahagian Selatan Tanah Arab iaitu Yaman, seperti suku kaum Taghlih, Ghassan dan Qudhah.[7]
       Segelintir orang Arab menganut agama Hanif yang dibawa oleh Nabi Ibrahim a.s.. Mereka digelar Hunafa (Muslim) dan mentauhidkan Allah SWT. Golongan ini tidak mengamalkan mana-mana agama dan kepercayaan yang diamalkan oleh masyarakat jahiliah. Mereka meninggalkan amalan tradisi jahiliah seperti minum arak, berjudi, makan bangkai, makan darah dan sebagainya. Golongan ini menentang agama dan kepercayaan yang dianuti dan diamalkan oleh masyarakat Jahiliah sebelum Islam.[8]
Kepercayaan animisme
Bentuk kepercayaan masyarakat jahiliah terbahagi kepada dua, iaitu kepercayaan beragama dan kepercayaan animisme.Sebahagian masyarakat jahiliah yang tidak beragama mengamalkan kepercayaan animisme.Antara amalan animisme masyarakat jahiliah ialah memuja roh, penunggu atau kuasa ghaib, menyembah objek-objek seperti batu atau pokok-pokok yang besar, api dan sebagainya.
       Masyarakat jahiliah juga memuja matahari, bulan dan bintang kerana menganggap cakerawala mempunyai kuasa dalam kehidupan mereka. Mereka percaya bahawa matahari membolehkan tumbuh-tumbuhan hidup, manakala bulan dan bintang pula menjadi petunjuk dalam perjalanan pada waktu malam.
Golongan masyarakat jahiliah yang menyembah Tuhan Padang Pasir pula dikenali sebagai ahl al-Saf.Amalan yang dilakukan oleh golongan ini ialah berjalan-jalan di padang pasir pada waktu malam sambil menyanyi, bergendang dan membawa unggun api.
       Selain itu, terdapat juga masyarakat jahiliah yang mengamalkan ajaran sihir dengan menyembah jin dan dewa-dewa.Manakala ada pula segolongan masyarakat jahiliah yang
menyembah malaikat lelaki dan perempuan kerana dianggap sebagai perantara.Masyarakat jahiliah juga mempunyai kepercayaan tradisi yang berunsur tahayul seperti menilik nasib,sangka baik dan sangka buruk dengan isyarat-isyarat tertentu, mempercayai kuasa azimat tangkal dan ahli nujum.Kedatangan Islam telah mengubah corak kehidupan masyarakat jahiliah bukan sahaja dari segi agama tetapi juga dari segi ketamadunan fizikal dan mental.[9]


[1] Ibid,9
[2] Mahdi Shuid. Et.al, Teks STPM Sejarah Islam Penggal 2, (Bandar Baru Bangi :Penerbitan Pelangi Sdn.Bhd,2013),18.
[3]Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,9.
[4] Ibid,9.
[5] Mahdi Shuid. Et.al, Teks STPM Sejarah Islam Penggal 2, (Bandar Baru Bangi :Penerbitan Pelangi Sdn.Bhd,2013),20.
[6] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,9.
[7]Mahdi Shuid. Et.al, Teks STPM Sejarah Islam Penggal 2, 20.
[8] Ibid.,21.
[9] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,10.

Selasa, 16 Disember 2014

Struktur Masyarakat Jahiliah

[Hasil pembelajaran:menjelaskan struktur masyarakat jahiliah.]

Masyarakat jahiliah mengamalkan sistem berkabilah, iaitu satu unit sosial yang mengawal sistem pentadbiran masyarakat. Sistem masyarakat berkabilah ini adalah berlandaskan kepada pertalian darah dan keturunan yang diistilahkan sebagai semangat asabiyah.
Semangat asabiyah ialah perasaan taksub kepada kabilah dan bermegah dengan kabilahnya. Mereka memandang hina terhadap kabilah yang lain. Unit paling asas dalam sistem kabilah ialah seseorang individu yang terikat dengan kabilah masing-masing. Seterusnya, diikuti dengan unit keluarga (a'ilah) yang terdiri daripada ibu bapa dan anak-anak yang tinggal dalam satu khemah.
       Manakala beberapa buah khemah akan membentuk satu kumpulan (hayy), dan beberapa hayy terbentuklah satu kaum. Setiap kaum akan membentuk satu kabilah.Wakil daripada kaum-kaum yang membentuk kabilah ini akan melantik seorang ketua (syeikh) untuk mengetuai kabilah mereka. Syeikh ini bertanggungjawab mempengerusikan Majlis Kabilah.[4]
       Syeikh sangat dihormati dan ditaati dalam kabilahnya. Seseorang individu atau anggota kabilah hendaklah patuh kepada syeikh dan bertanggungjawab terhadap kepentingan kabilahnya. Manakala syeikh bertanggungjawab menyelesaikan masalah dalam kabilahnya, membuat perjanjian dengan kabilah-kabilah lain, melayan tetamu dan memberi perlindungan.
       Seseorang individu dalam kabilah mestilah sanggup menolong, menuntut bela dan berkorban untuk anggota dalam kabilahnya walaupun dengan jalan berperang. Ini kerana mereka beranggapan bahawa setiap individu dalam kabilah mempunyai pertalian darah dan mempertahankan kabilah merupakan kewajipan bersama.Jika terdapat anggota kabilah mereka dibunuh oleh anggota kabilah lain, individu dalam kabilah itu mesti segera bertindak dengan menuntut bela tanpa mengira salah atau benarnya anggota kabilah yang dibunuh itu.
Kehidupan masyarakat jahiliah yang berasaskan semangat asabiyah menjadi punca perbalahan  dan peperangan berlaku sesama mereka sehingga membawa kepada perpecahan dan kemunduran.
       Dalam struktur masyarakat jahiliah, wujud susun lapis masyarakat yang jelas, iaitu kelas atasan dan kelas bawahan. Kelas ini dibezakan dari sudut kekuasaan, kekayaan, kemahiran
dan sebagainya.Wanita, golongan miskin dan hamba dikategorikan sebagai kelas bawahan.


[4] Ibid,7.

Sabtu, 13 Disember 2014

MASYARAKAT JAHILIAH

SEJARAH  ISLAM (500 - 1918)
1 Masyarakat, Pemerintahan,Pertahanan, dan Perhubungan Luar
1.1  Masyarakat jahiliah Semenanjung Tanah Arab (abad ke-6) STPM 2013
(     a)    menjelaskan konsep dan struktur masyarakat jahiliah.
MASYARAKAT JAHILIAH
       AI-Quran tidak membatasi masa bagi zaman jahiliah, tetapi hanya sekadar menyatakan secara umum ruang lingkup zaman tersebut dengan ungkapan,Jahiliah yang dahulu. Dalam kamus-kamus Arab juga hanya menyatakan bahawa zaman Jahiliah ialah zaman sebelum Islam, iaitu zaman sebelum turunnya al-Quran .Dalam konteks masyarakat Arab, zaman yang dipanggil zaman jahiliah ialah zaman selepas keruntuhan kerajaan Saba'. Pada masa itu tiada nabi yang diutus dan tiada kitab suci daripada Allah SWT untuk dijadikan petunjuk pada masa yang sama, tiada ciri-ciri ketamadunan atau pembangunan fizikal yang melambangkan peradaban yang tinggi. Lebih tepat, zaman jahiliah bermula selepas kejatuhan kerajaan Saba’ peringkat ketiga atau peringkat akhir  pemerintahan  Himyar pada tahun 300 M dan berakhir setelah turunnya kitab suci al-Quran dan kerasulan Nabi Muhammad SAW pada tahun 610 M. Dalam tempoh kira-kira tiga abad iatu masyarakat Arab pada amnya, telah.mengalami zaman keruntuhan bukan sahaja dari segi agama dan akhlak tetapi juga dari segi politik, ekonomi, sosial dan ilmu pengetahuan.[1]

Konsep Jahiliah.[Hasil pembelajaran:menjelaskan konsep jahiliah]
Jahiliah berasal daripada akar kata jahala dan kata terbitan jahlun atau jahlatun yang bererti bodoh dan sesat.
Berdasarkan al-Quran, ciri-ciri jahiliah dapat dirumuskan kepada empat, iaitu:
(a)zaman yang tidak mempunyai nabi dan kitab suci sebagai petunjuk.
(b) masyarakatnya tidak mempunyai peradaban dan tamadun.
(c ) masyarakatnya tidak berakhlak, bersikap angkuh dan bongkak.
(d )masyarakatnya jahil kerana tidak boleh menulis dan membaca.
Jika satu daripada sifat-sifat tersebut terdapat pada sesuatu zaman atau masyarakat tersebut boleh dianggap masyarakat jahiliah.Berdasarkan pengertian tersebut, kebenaran pendapat orientalis Barat seperti P. K. Hitti tentang makna jahiliah boleh disangkal.Menurut P. K. Hitti, masyarakatArab jahiliah hanya jahil dari segi agama dan kepercayaan tetapi maju dari segi ilmu pengetahuan dan mempunyai tamadun yang tinggi.[2]

       Pendapat P. K. Hitti tentang makna jahiliah dari segi ketepatan sejarah juga boleh dipersoal. Ini kerana kerajaan Saba' pada Zaman kegemilangannya (pada zaman Ratu Balqis) telah menerima ajaran Nabi Sulaiman a.s. dan Allah SWT menganugerahkan kerajaan Saba' sebagai "negeri yang makmur dan mendapat pengampunan Tuhan". Setelah kerajaan ini ingkar kepada Allah SWT, maka Allah SWT telah menurunkan bala dan kerajaan ini mengalami keruntuhan.Di Semenanjung Tanah Arab, zaman yang paling layak digelar zaman jahiliah ialah zamaln selepas keruntuhan kerajaan Saba', iaitu sekitar tahun 300 M hingga kerasulan Nabi Muhammad SAW pada tahun 610 M. Dalam tempoh masa ini, tiada rasul dan tiada kitab suci diturunkan sebagai petunjuk.Pada zaman jahiliah, masyarakat Arab berada dalam kekufuran, kemaksiatan, keangkuhan dan kejahilan dalam ilmu pengetahuan.[3]



[1]Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,(Shah Alam:Oxford Fajar,2013),3.
[2]Mahayudin Hj Yahya, Tamadun Islam , ,(Shah Alam:Oxford Fajar ,1998),5.
[3] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,6.

Isnin, 24 November 2014

SOALAN 1 Nabi Muhammad merupakan seorang negarawan yang unggul.Bincangkan. [20m]




Nabi Muhammad SAW dilahirkan pada tahun 570 M.. Baginda telah kehilangan orang-orang
yang disayangi sejak kecil lagi. Baginda dibesarkan oleh datuknya, iaitu Abdul Muttalib dan bapa saudaranya, iaitu Abu Talib. Baginda berkahwin dengan Siti Khadijah semasa berumur 25 tahun. Ketika baginda berusia 40 tahun, baginda telah menerima wahyu yang pertama, surah al-Alaq yang menandakan pengiktirafan baginda sebagai seorang nabi dan rasul diikuti dengan turunnya surah al- Muddasir. Selepas Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, baginda dilantik sebagai ketua negara. Baginda berjaya membina sebuah negara Islam yang berdaulat dan disegani. Dengan itu, baginda diakui sebagai seorang negarawan yang unggul.

      Sebagai seorang pemimpin politik, baginda berjaya mengasaskan perlembagaan bertulis yang pertama, iaitu Sahifah Madinah yang bersumberkan wahyu. Baginda juga memperkenalkan corak pemerintahan musyawarah. Sistem syura merupakan cara membuat keputusan secara kolektif.
      Selain itu, sistem perundangan Islam diperkenalkan terutamanya undang-undang sivil. Nabi Muhammad SAW juga telah menjalinkan hubungan diplomatik dengan dua kuasa besar di wilayah tersebut pada masa itu, iaitu Rom dan Parsi. Rom dan Parsi menerima utusan dari Madinah dan mengiktiraf Madinah sebagai sebuah negara Islam.

      Sebagai pemerintah Madinah, baginda juga membentuk pasukan tentera Islam serta menjadi ketua angkatan tentera. Rasulullah SAW memimpin 27 ekspedisi ketenteraan dengan menunjukkan mutu kepimpinan yang tinggi. Asas kepimpinan baginda dalam bidang ketenteraan ialah akidah, syariat dan akhlak yang mulia. Baginda menanam semangat jihad, mengamalkan sifat amanah dan adil. Baginda juga berkebolehan merangka taktik dan strategi
ketenteraan yang membawa kepada kemenangan.

      Perhatian utama baginda semasa di Madinah adalah untuk menyatukan penduduk pelbagai kaum di situ. Baginda bukan sahaja menamatkan permusuhan antara suku Aus dengan khazraj tetapi juga berjaya membentuk ummah yang bersatu padu. Baginda juga mempersaudarakan golongan Ansar dan Muhajirin berdasarkan konsep ukhuwah Islamiyah.

      Sebagai pemimpin masyarakat, baginda menegaskan persamaan taraf dan menegakkan keadilan. Taraf wanita juga dinaikkan dan mereka dihormati. Golongan Yahudi juga dijamin kebebasan beragama dan diterima sebagai rakyat Madinah selagi tidak melanggar Piagam Madinah.

      Sebagai ketua negara, Rasulullah SAW juga mengembangkan ekonomi orang Islam di Madinah. Baginda memperkenalkan dasar ekonomi baharu. Sebagai perancang ekonomi, Nabi Muhammad SAW menggalakkan orang Islam bekerja keras, bergiat aktif dalam perniagaan dan pertanian.Kebajikan masyarakat dijaga apabila bayaran zakat diwajibkan. Nabi Muhammad SAW juga mempertingkatkan usaha menyekat kegiatan kaum Musyrikin Quraisy.

      Kehebatan dan kepimpinan Rasulullah SAW dalam bidang politik, ekonomi dan sosial menjadi asas pembentukan negara Islam pertama di Madinah.Memang tidak dapat dinafikan bahawa baginda merupakan seorang negarawan yang unggul.

Sabtu, 22 November 2014

Jelaskan konsep ummah dan proses pembentukannya di Madinah pada zaman Nabi Muhammad SAW-[20m]


Peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah telah meninggalkan impak yangbesar kepada perjuangan Islam kerana ia bukan sahaja menyebabkan terbentuknya negara Islam,bahkan telah mengubah landskap politik, ekonomi, dan sosial di Madinah. Sebelum penghijrahanNabi Muhammad SAW, struktur sosial masyarakat dibelenggu dengan fahaman perkauman yangmelampau dan bersifat individualistik. Namun, senario ini berubah apabila Baginda berjayamengubah masyarakat dengan memperkenalkan konsep ummah (masyarakat) yang saling menghormati antara satu sama lain.
Ummah dari sudut bahasa bermaksud masyarakat. Dalam konteks di Madinah, ummah meruiuk kepada warga Madinah. Dalam al-Quran juga ada menyebut beberapa kali perkataan ummah yang merangkumi golongan manusia dan jin. Mengikut Piagam Madinah, konsep ini jelas menggambarkan wujud dua kelompok masyarakat yang besar, iaitu masyarakat Islam yang terbahagi kepada golongan Muhajirin dan Ansar serta masyarakat bukan Islam yang majoritinya berbangsa Yahudi namun berada di bawah kepemimpinan Nabi Muhammad SAW.
      Golongan Muhajirin merupakan golongan pendatang dari Makkah yang berhijrah bersama-sama Nabi
Muhammad SAW ke Madinah. Golongan Ansar pula merupakan penduduk asal Madinah yang terdiri daripada kaum Aus danKhazraj. KaumYahudi pula dapat dibahagikan kepadatiga, iaitu Bani Qainuqa', Bani Nadhir, dan Bani Quraizah.
      Proses pembentukan ummah sebenarnya telah bermula di Makkah lagi, iaitu sejak Nabi Muhammad SAW menerima yahyu pertama pada tahun 610 M. Baginda memulakannya melalui proses dakwah yang berlangsung secara sulit dan terbuka. Dakwah secara sulit ditumpukan kepadakaum keluarga dan sahabat terdekat. Hasilnya, beberapa orang individu terkemuka menerima agamaIslam. Antaranya ialah Siti Khadijah binti Khuwailid, Abu Bakar al-Siddiq, Uthman bin Affan, dan Zubair bin al-Awwam. Nabi Muhammad SAW dan Arqam bin Abi Arqam menjadikan kediaman mereka sebagai pusat dakwah Islamiah.
      Selepas tiga tahun berdakwah secara sulit, Baginda menerima wahyu daripada Allah SWT agar berdakwah secara terbuka kepada kaum Quraisy dan penduduk kota Makkah seperti yang terkandung dalam surah al-Muddathir. Berikutan daripada peristiwa ini, bermulalah penentangan oleh kaum Quraisy Makkah yang dipelopori bapa saudara Baginda sendiri, iaituAbu Lahab dan pengikutnya.
      Kaum Quraisy Makkah telah melakukan pelbagai bentuk penentangan terhadap dakwah yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW. Penentangan tersebut pada mulanya dilakukan secara diplomasi dan kemudiannya secara kekerasan. Antara kaedah diplomasi yang digunakan untuk menghalang hasrat Baginda membentuk masyarakat Islam yang lebih besar adalah dengan mengejek atau menghina melalui perbuatan dan perkataan. Kaum Quraisy Makkah juga berusaha menggunakan Abu Thlib supaya memujuk Nabi Muhammad SAW menghentikan usaha dakwah, namun tindakan tersebut tidak berjaya. Oleh itu, usaha diplomasi terakhir yang dilakukan oleh kaum Quraisy Makkah adalah dengan berunding sendiri dengan Nabi Muhammad SAW. Mereka menawarkan tiga perkara yang menjadi buruan manusia, iaitu wanita, harta, dan pangkat. Mereka juga mencadangkan supaya Nabi Muhammad SAW dan mereka bergilir-gilir menyembah Tuhan masing-masing. Namun, Nabi Muhammad SAW bertegas menolak cadangan tersebut berdasarkan perintah Allah SWT dalam surah al-Kafirun. Setelah gagal melalui diplomasi, kaum Quraisy Makkah bertindak lebih agresif. Mereka menyeksa penganut-penganut Islam seperti Bilal bin Rabah, Ammar bin Yassir, dan Khabbab bin Arrat. Kaum Quraisy Makkah juga mengisytiharkan pemulauan terhadap kaum keluarga Nabi Muhammad SAW setelah mendapati pengaruh Baginda kian meluas termasuk di Habsyah. Pemulauan ini berlangsung selama tiga tahun. Kemuncak penentangan yang dilakukan oleh kaum Quraisy Makkah ialah mengadakan perancangan untuk membunuh Nabi Muhammad SAW.
      Kegagalan membentuk masyarakat Islam di Makkah menyebabkan Baginda mengubah strategi dakwah. Tumpuan Baginda beralih kepada rombongan yang datang mengerjakan ibadat haji di kota Makkah. Sebenarnya usaha ini adalah susulan daripada kegagalan Baginda mendapat sokongan daripada penduduk Ta'if (Bani Thaqifl yang telah berjaya dihasut oleh kaum Quraisy Makkah.
      Nabi Muhammad SAW telah menemui beberapa orang tokoh dari Yathrib seperti Suwayd bin Samit dan Iyas bin Mu'adh serta berdakwah kepada mereka agar menerima dan menyebarkan agama Islam. Susulan daripada itu, apabila mengetahui tentang kedatangan rombongan kaum Khazraj, Baginda telah menemui mereka berhampiran BukitAqabah. Pada musim haji berikutnya, iaitu pada tahun 621M, 10 orang daripada kaum Khazraj dan 2 orang daripada kaum Aus datang menemui Baginda dan memeterai Perjanjian Aqabah I. Mereka berikrar akan meninggalkan segala amalan jahiliah termasuk penyembahan berhala, membunuh anak perempuan, hasad dengki, dan menyakiti jiran. Nabi Muhammad SAW kemudiannya menghantar Mus'ab bin Umayr ke Yathrib untuk mengajar al-Quran dan seterusnya menyebarkan Islam.
  
      Pada tahun 622M, seramai 73 orang dari Yathrib datang menemui Baginda dan kemudiannya
memeterai Perjanjian Aqabah II. Dalam perjanjian ini, mereka bukan sahaja berjanji untuk
menjadikan Islam sebagai pegangan hidup, malah menjemput Baginda berhijrah ke Yathrib dan
melantik Baginda sebagai pemimpin mereka. Perkara paling penting yang dipersetujui ialah mereka sanggup mempertahankan Baginda sebagaimana mereka mempertahankan keselamatan diri dan keluarga mereka sendiri. Berdasarkan keadaan ini serta wujudnya rancangan untuk membunuh Baginda oleh kaum Quraisy Makkah, maka Nabi Muhammad SAW telah melakukan hijrah ke Yathrib pada tahun tersebut.
      Peristiwa penghijrahan telah membolehkan Nabi Muhammad SAW membentuk sebuah negara Islam di Madinah. Sebagai pemimpin tertinggi, Baginda telah merangka sistem perundangan yang bersumberkan wahyu agar memberikan keadilan kepada semua warga Madinah. Piagam Madinah yang digubal mengandungi 47 fasal yang menyentuh tentang hak orang Islam, hak orang bukan Islam dan hak serta tanggungjawab bersama arfiaraorang Islam dengan bukan Islam. Salah satu fasal penting dalam piagam ini ialah pengenalan konsep ummah yang merujuk kepada warga Madinah yang beragama Islam dan bukan beragama Islam wajib hidup dengan saling hormat-menghormati dan mengiktiraf kepemimpinan Nabi Muhaammad SAW sebagai pemimpin tertinggi negara.
      Walau bagaimanapun, konsep ummah yang dibentuk oleh Baginda telah mengalami perubahan berikutan pengkhianatan yang dilakukan oleh kaum Yahudi. Tindakan kaum Yahudi tersebut telah memaksa Nabi Muhammad SAW mengusir mereka dari bumi Madinah. Selepas peristiwa tersebut, konsep ummah hanya merujuk kepada masyarakat Islam yang berpaksikan akidah yang sama serta mengamalkan konsep ak'hlak amal ma' ruf nahi munkar.
Kesimpulannya, proses pembentukan ummah bukanlah sesuatu yang mudah. Proses ini telah
memakan masa yang lama. Tindakan bijak Nabi Muhammad SAW merangka strategi supaya
pembentukan ummah berlaku secara evolusi menggambarkan kehebatan Baginda sebagai pemimpintertinggi negara. Malah, kebijaksanaan Baginda kian terserlah apabila berjaya menyatukan masyarakat berbilang bangsa di Madinah, sekali gus mewujudkan masyarakat yang adil dan harmonis terutama selepas pengusiran kaum Yahudi.