Selasa, 23 Mei 2017

5. PELUASAN KUASA BARAT DI MESIR PADA ABAD KE-19 DAN ABAD KE-20 TELAH MENYEBABKAN KEBANGKITAN MASYARAKAT TEMPATAN. BINCANGKAN.

                                   
Pengenalan

Tentera Perancis di bawah Napoleon Bonaparte telah menceroboh Mesir pada pertengahan tahun 1798 setelah menewaskan tentera kerajaan Mamluk yang memerintah Mesir ketika itu.  Perancis menduduki Mesir selama 3 tahun. Selepas itu, British menceroboh Mesir pada tahun 1882. Sebelumnya, berlaku perjanjian memorandum Mesir dengan British pada 1840M melalui Konvensi Alexandria. Perjanjian ini menyebabkan Mesir secara perlahan-lahan terpaksa menerima kehadiran British. Konsesi pembinaan Terusan Suez yang diberikan kepada Perancis pada 1857M menambahkan curiga British terhadap Perancis dan Mesir. Kemerosotan ekonomi mendorong Mesir menjual saham Terusan Suez kepada British. Sejak itu, British mulai mencampuri politik dan ekonomi serta hal ehwal Mesir. British terus melaksanakan misi ketenteraan di Mesir hingga berjaya menguasai Kaherah pada 1882. Bermula penjajahan British di Mesir. Pentadbiran ekonomi yang teruk, sikap tamak pemerintah yang menaikkan cukai sesuka hati, dasar menjadikan tanah milik negara dan kerahan tenaga menyebabkan rakyat Mesir menderita. Golongan ulama memimpin gerakan rakyat menentang kezaliman kerajaan.

Isi:

Reaksi terhadap penjajahan Perancis di Mesir

Sejak abad ke-16 M, Mesir merupakan sebahagian daripada kerajaan Uthmaniyah. Namun, pada akhir abad ke-18, Perancis telah menawan Mesir. Peristiwa ini berlaku pada tahun 1798 M. Ekspedisi ketenteraan ini diketuai oleh Napoleon Bonaparte berikutan tercetusnya Revolusi Perancis. Selama tiga tahun Perancis di Mesir, beberapa perubahan telah dilakukan. Antaranya adalah seperti berikut:
a) Membuka kilang senjata
b) Mengadakan perkhidmatan peretakan
c) Menggalakkan pengkajian sains, termasuk menghantar para pelajar Mesir untuk belajar di Barat.

Sejak tahun 1879 M, British dan Perancis semakin giat mencampuri hal ehwal Mesir, terutama yang berkaitan dengan soal kewangan. Isu hutang yang dihadapi oleh Mesir dijadikan alasan untuk campur tangan. Namun sebenarnya perhatian kuasa Eropah adalah tertumpu pada Terusan Suez. Penentangan terhadap pemerintahan Mesir yang dikuasai oleh British dipimpin oleh Kolonel Urabi Pasha. Penentangan ini benar-benar bersifat Mesir kerana dipimpin oleh rakyat Mesir sendiri (fellahin) yang berjuang bagi mempertahankan Mesir supaya berada di bawah pengaruh kuasa tempatan. Kolonel Urabi Pasha bersama pasukannya bertahan di Tel al-Kabir. Namun begitu, disebabkan faktor kelemahan dari aspek pertahanan, mereka akhirnya berjaya dikalahkan oleh British. Berikutan daripada itu, British berjaya menakluki Mesir dan Taufiq kembali bersemayam sebagai Khedif Mesir. Pemimpin nasionalis termasuk Kolonel Urabi Pasha dibuang negeri ke Sri Lanka manakala tokoh ulama, iaitu Shaykh Muhammad Abduh turut diusir kerana penglibatannya dalam membantu
penentangan Kolonel Urabi Pasha. Shaykh Muhammad Abduh bekerjasama dengan Jamal al-Din al- Afghani di Paris menerbitkan sebuah jurnal iaitu al-Urwat al-Wuthqa yang menyeru kepada kesatuan umat Islam dalam menghadapi setiap rancangan penjajahan Barat.

Walau bagaimanapun, penguasaan Perancis ke atas Mesir tidak lama, iaitu hanya sekitar tiga tahun sahaja. Reaksi masyarakat tempatan paling ketara terhadap Perancis datangnya dari tentera Uthmaniyah. Tentera Uthamniyah telah berjaya mengusir keluar Perancis dari Mesir dengan bantuan British pada tahun 1801 M. Pendudukan Perancis di Mesir membuka senario baharu kerana ia merupakan kuasa Barat pertama yang menceroboh Mesir. Walaupun penguasaan Perancis hanya sekitar tiga tahun sahaja namun kesan jangka panjangnya telah berjaya mengubah demografi politik Mesir. Hal ini telah membawa kepada kejayaan penjajahan British ke atas Mesir pada tahun 1882 M. Sebelum ini, British pernah mencuba menjajah Mesir pada tahun 1807 M, namun usaha tersebut tidak berjaya.

Reaksi masyarakat tempatan terhadap penjajahan British di Mesir

Penjajahan British merujuk kepada kekalahan tentera Mesir di tangan British pada bulan September 1882 M. Bermula pada tahun 1914 hingga 1918 M, British mempunyai pengaruh yang kuat di Mesir. Pentadbiran British di Mesir pada peringkat awal ini dipelopor oleh Lord Cromer yang dilantik sebagai Konsul General antara tahun 1883 hingga 1907. Dasar pecah dan perintah yang dilaksanakan oleh British membawa jurang yang besar dalam masyarakat Mesir. Mereka yang mendapat pendidikan Barat menjadi terpisah dari segi sikap dan pemikiran yang berteraskan kebudayaan tempatan yang didukung oleh ulama dan juga rakyat biasa. Golongan ini juga turut diserapkan dalam pentadbiran Mesir, tetapi jawatan yang tinggi hanya dibolot oleh pegawai British. Dasar British yang jelas mendiskriminasi golongan peribumi menghidupkan kembali semangat nasionalisme. Keadaan ini berlaku pada akhir pemerintahan Lord Cromer. Selain itu, penentangan juga ditujukan kepada Khedif Mesir dan
pihak berkuasa Mesir. Pengisian nasionalisme Mesir ini terbahagi kepada dua aspek yang berbeza, iaitu negara sekular dan Islam. Perbezaan ini berlaku berikutan daripada kemunculan golongan intelektual yang menerima pendidikan Barat yang tidak lagi melihat Islam sebagai al-Din dan memisahkan peranan politik daripada agama.

Antara pemimpin nasionalis yang terkemuka ketika itu, termasuk Mustafa Kamil Pasha dan Muhammad Farid. Mustafa Kamil Pasha yang terlatih dalam bidang undang-undang. Perancis dan Mesir menyokong nasionalisme berbentuk sekular. Pada 13 November 1918 M, satu delegasi (wafd) terdiri daripada pemimpin nasionalis yang diketuai oleh Saad Zaghlul menemui Pesuruhjaya Tinggi British di Mesir, iaitu Sir Reginald Wingate bagi memohon kemerdekaan Mesir. Saad Zaghlul juga meminta kebenaran untuk menghantar satu perwakilan ke Persidangan Damai Paris dengan kedudukannya setaraf dengan Hijaz, Paris (Iran) dan Ethiopia. Pihak British menolak permohonan ini dan beberapa orang pemimpin delegasi tersebut juga telah ditangkap dan dibuang negeri ke Malta.

Era penjajahan juga mendatangkan perasaan tidak puas hati bukan sahaja dalam kalangan pentadbir malahan juga mendapat tentangan daripada pihak tentera Mesir sendiri. Pada tahun 1914 M, Perang Dunia Pertama yang meletus menyaksikan kerajaan Uthmaniyah turut terlibat dalam kancah peperangan tersebut. Kesempatan ini digunakan oleh pihak British dengan mengisytiharkan mereka sebagai protectorate (naungan) ke atas Mesir dan memecat Khedif Abbas II. British kemudiannya menabalkan Husayn Kamil sebagai Raja Mesir. Perjanjian Versailles yang ditandatangani 1919 M merupakan antara penyelesaian Perang Dunia Pertama bagi mengekalkan Mesir di bawah kekuasaan British. Situasi ini memburukkan keadaan dan menyemarakkan penentangan daripada rakyat yang kemudiannya mencetuskan Revolusi 1919 M. Pendudukan Perancis berlaku pada akhir abad ke-18 M, berikutan kejayaan tentera Perancis yang diketuai oleh Napoleon Bonaparte menawan Mesir pada tahun 1798 M. Kekalahan penentangan Kolonel Urabi Pasha di tangan British pada bulan September 1882 M membawa kepada penjajahan British. Era penjajahan ini mendatangkan perasaan tidak puas hati dan reaksi negatif dalam kalangan pentadbir, tentera dan rakyat Mesir. Hal ini sudah tentu menimbulkan reaksi masyarakat tempatan terhadap penjajahan British. Reaksi masyarakat tempatan yang dipimpin oleh Kolonel Urabi Pasha, satu delegasi (wafd) yang dipimpin oleh tokoh nasionalis, Saad Zaghlul turut mendesak British memberi kemerdekaan kepada Mesir. Kemerdekaan Mesir dicapai pada 22 Februari 1922.

Kesimpulan
Penduduk tempatan Mesir berjaya mempertahankan kedaulatan Mesir.  Reaksi masyarakat yang disemarakkan oleh penindasan dan penguasaan British dan Perancis akhirnya membawa kepada kemerdekaan Mesir dan pembebasan ekonomi dari eksploitasi British.

 sumber-SKEMA PERCUBAAN NEGERI PAHANG 2017



Tiada ulasan: