Rabu, 26 April 2017

1. MASYARAKAT ARAB JAHILIAH TERKENAL DENGAN AGAMA SAMAWI DAN WATHANI. JELASKAN.


Pendahuluan
-Jahiliah berasal dari perkataan "jahil" yang bermaksud bodoh. Menurut Philip K. Hitti dalam bukunya "History of the Arab's", jahiliah bermaksud bodoh atau jahil dari segi agama kerana pada ketika itu, tidak ada nadi dan tidak ada kitab suci yang boleh dijadikan sebagai petunjuk. Mereka tidak boleh dianggap jahil atau bodoh dari segi ilmu pengetahuan kerana mereka telah mempunyai tamadun yang tinggi.
-Al-Quran tidak memberi batas tertentu bagi zaman jahiliah. Kamus Bahasa Arab menyebutkan zaman jahiliah sebagai zaman sebelum Islam, iaitu sebelum turunya al-Quran.
-Menurut Mahyuddin, zaman jahiliah ialah kira-kira 300 tahun sebelum kerasulan Nabi Muhammad s.a.w., iaitu selepas kejatuhan Kerajaan Sabak.
- Sebelum kedatangan agama Islam, masyarakat Jahiliah sememangnya terkenal dengan agama Samawi iaitu agama langit seperti agama Nasrani dan Hanif. Manakala agama wathani pula adalah amalan penyembahan berhala.

Isi Jawapan

A.    Wathani
1.      Agama Berhala

Agama berhala merupakan agama yang mempunyai pengikut terbesar di Semenanjung Tanah Arab. Berhala tersebut diperbuat daripada batu, kayu dan kadang-kala dari buah tamal (kurma). Tiap-tiap kabilah mempunyai patung berhala masing-masing. Antara berhala yang terkenal termasuklah al-Latta, al-Uzza, al-Manat dan al-Hubal. Sebahagian penduduk Tanah Arab tidak menganggap berhala Tuhan tetapi hanya sebagai perantaraan. Kepercayaan mereka bercampur-aduk antara percaya kepada Allah dan percaya berhala. Mereka ini dikenali sebagai golongan musyirikin, iaitu orang yang menyekutu Allah.

2.      Kepercayaan Animisme

Kepercayaan ini wujud bersama dengan kewujudan manusia. Ia berpunca dari sifat kagum manusia terhadap sesuatu objek yang ditemuinya. Mereka percaya wujudnya satu kuasa yang boleh menolong atau memberi mudarat kepada mereka. Oleh itu, mereka menyembah apa sahaja yang dianggap ganjil termasuklah bulan, matahari, pokok, batu, gua dan sebagainya.

3.      Kepercayaan Adat (Sunah)

Kepercayaan adat dianggap sebagai unsur-unsur karut dan tahyul. Antara kepercayaan yang diamalkan ialah menilik nasib. Apabila memulakan sesuatu kerja baru, mereka akan melihat keadaan sekeliling bagi mengjangka nasib. Biasanya, mereka akan melihat arah burung terbang. Jika burung terbang ke kiri bermaksud tidak selamat dan sebaliknya.





B.     SAMAWI

4.      Agama Majusi

Agama ini tidak diamalkan seluas oleh orang-orang Arab Jahiliah. Ia dibawa masuk selepas Parsi berjaya mengalahkan Habsyah di Yaman pada akhir abad ke-6 Masihi. Penganut agama ini menjadikan api sebagai objek ketuhanan mereka. Di antara penganut agama ini yang terkenal ialah Zararah dan anaknya Hajib. Mereka berasal dari Bani Tamin yang sememangnya mempunyai hubungan dengan Parsi. Agama ini terbahagi kepada 3 mazhab iaitu Kayumarthiyah, Zarwaniyah dan Zaradushtiyah.

5.      Agama Yahudi

Agama ini adalah berdasarkan kepada ajaran yang dibawa oleh Nabi Musa a.s. berpandukan kepada kitab taurat. Agama ini tersebar luas terutamanya di kawasan-kawasan Osis di Barat Laut Semenanjung Tanah Arab, iaitu Tai'ma Khaiba, Padak dan Yathrib. Orang-orang Yahudi berasal dari Palestine. Mereka berhijrah ke Semenanjung Tanah Arab sejak abad pertama Masihi. Mereka telah menjadi kaya-raya dan berjaya menarik perhatian orang-orang Arab untuk menganut agama Yahudi. Orang-orang Yahudi menganggap diri mereka sebagai bangsa pilihan dan mereka menganggap al-Uzarr sebagai anak tuhan. Di antara tokoh terkenal yang menganut agama ini ialah Yusof Zu Nuwas.

6.      Agama Nasrani

Agama Nasrani adalah agama yang berdasarkan kepada ajaran yang dibawa oleh Nabi Isa a.s. pada tahun 1 Masihi. Ia dibawa ke Semenanjung Tanah Arab oleh golongan pendakwah, pedagang-pedagang atau paksaan oleh tentera Rom atau Habsyah atas tanah jajahan mereka. Agama ini dapat sambutan dari penduduk Mekah dan Yathrib. Di antara tokoh terkenal yang menganut agama ini termasuklah Warraqah Bin Naufal dan Uthman Bin Huwairith. Agama ini mempunyai 2 mazhab iaitu Mazhab Nestorian yang berkembang di kawasan Hirah dan Mazhab Jacobite yang dianuti oleh penduduk Ghassan dan kabilah-kabilah lain di sempadan Syria / Syam. Pusat agama Kristian yang utama di Semenanjung Tanah Arab ialah Najran. Bandar Najran terus menjadi bandar Nasrani hingga ke zaman Khalifah Umar. Malah terdapat pusat latihan paderi Nasrani di Wadi al-Qura, iaitu kawasan pedalaman Timur Hijaz.

7.      Agama Hanif

Agama ini adalah berdasarkan kepada ajaran Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Penganut agama ini mempercayai konsep keesaan Allah ataupun monoteisme. Di antara mereka yang menganut agama ini termasuklah Zaid b'Amr, Umaiyah Bin Abi Salt, juga kedua-dua ibu bapa nabi sendiri. Walau bagaimanapun, agama ini telah diselewengkan oleh golongan-golongan tertentu seperti juga agama Yahudi dan Nasrani, misalnya mereka menyembelih binatang korban dan darahnya dipercikkan di sekeliling kaabah.


Kesimpulan
-Ringkasnya masyarakat Arab Jahiliah mempercayai pelbagai agama Samawi dan Wathani sebelum kedatangan Islam. Hampir semua agama yang wujud itu bertentangan dengan agama Islam kecuali agama Hanif yang ada sedikit persamaan. Turunnya Al Quran telah memberi nafas baru kepada masyarakat Jahiliah
sumber-SKEMA PERCUBAAN SEJARAH STPM P2 PAHANG

Tiada ulasan: