Oleh –AHMAD BIN YAAKOB
Pemimpin Masyarakat
Sejak sebelum Hijrah lagi, Nabi Muhammad
s.a.w sudah terkenal sebagai seorang yang amanah, al-Amin lagi adil dalam
kalangan masyarakat Makkah, iaitu sejak berlakunya peristiwa peletakan Hajar
al-Aswad ke tempat asalnya berikutan banjir besar yang melanda Kaabah.
Nabi Muhammad s.a.w menghormati
agama-agama lain dan memberikan kebebasan beragama kepada mereka serta menghormati
adat resam dan budaya kaum bukan Islam, termasuk kaumYahudi.
Nabi Muhammad s.a.w turut memberikan
kepercayaan kepada ketua-ketua kaum bagi mengurus hal-hal penting yang bersabit
dengan kaum dan sekutu mereka.
Menerusi prinsip keadilan dan toleransi
serta ikatan akidah menyebabkan Nabi Muhammad s.a.w berjaya, bukan sahaja menyatukan
umat Islam tetapi seluruh penduduk Madinah yang berbilang agama dan keturunan.
Baginda berjaya menyatukan semula
masyarakat Madinah yang berbilang agama dan keturunan.Baginda menyatukan
masyarakat Islam melalui persaudaraan antara golongan Muhajirin dengan Ansar.Baginda
berjaya mengekalkan perpaduan masyarakat Madinah seperti yang terkandung dalam
Piagam Madinah. Selain itu, baginda juga berjaya menghapuskan batas-batas pebezaan
kaum melalui konsep ummah.[1]
Pemimpin Politik
Kepimpinan baginda mula terserlah
sejak di Makkah lagi apabila berjaya menyelesaikan pemindahan Hajar al-Aswad.Baginda
telah berjaya menunjukkan sifat-sifat kepimpinan politik menerusi Pejanjian
Aqabah I dan II. Kaum Khazraj dan Aus dari Madinah berasa lega dengan jaminan
yang diberikan oleh baginda bagi menyelesaikan masalah politik di Madinah,
khususnya tentang perbalahan mereka dengan kaum Yahudi dan perpecahan antara
sesama Arab (Aus dan Khazraj).
Baginda tidak menunjukkan sikap
permusuhan terhadap kaum Yahudi, tetapi baginda sentiasa menganjurkan
perundingan dengan mereka. Setelah perundingan gagal, barulah baginda bertindak
mengikut lunas-lunas dan undang-undang yang termeterai dalam Piagam Madinah.
Baginda juga boleh dianggap sebagai
diplomat yang berjaya kerana inisiatif baginda menghantar perwakilan ke luar
negara seperti Habsyah dan Mesir. Baginda juga memperkenalkan Sistem Syura atau
musyawarah untuk dilaksanakan dalam semua bidang politik dan ekonomi.
Perancang Ekonomi
Pemilihan kota Madinah sebagai
pusat dakwah dan pentadbiran politik Islam yang baharu didorong oleh faktor
ekonomi kerana kota Madinah terletak di pertengahan jalan Makkah-Syam. Dengan
kedudukannya yang strategik, ini menyebabkan aktiviti ekonomi orang Islam
semakin meluas.
Nabi Muhammad s.a.w telah memperkenalkan
dasar ekonomi baharu bagi menggantikan dasar ekonomi zaman jahiliah. Baginda
menggalakkan orang Islam bekerja keras dan bergiat dalam bidang perniagaan dan
pertanian.Baginda berusaha membangunkan ekonomi orang Islam yang tergadai
kepada kaum Yahudi.
Pemimpin Tentera
Baginda menunjukkan mutu
kepimpinan yang tinggi dalam bidang ketenteraan melalui ekspedisi ketenteraan
yang disertai. Dalam bidang ketenteraan, asas kepimpinan baginda ialah akidah,
syariat dan akhlak yang mulia. Baginda bertindak mengikut peraturan yang telah
disyariatkan oleh Allah SWT.
Baginda turut mengamalkan sifat amanah
dan tidak mudah lemah semangat dalam menghadapi musuh.Baginda juga sentiasa
adil kepada semua orang tidak kira kawan atau pihak musuh. Contohnya, baginda
membahagikan harta rampasan perang secara adil kepada tentera yang menyertai
peperangan dan tidak melakukan pencerobohan terhadap musuh
yang sudah lari dari medan
perang atau kaum-kaum yang lemah.
Baginda juga dianggap sebagai seorang
panglima tentera dan ahli strategi dalam ketenteraan. Baginda berjaya merangka
taktik dan strategi ketenteraan yang membawa kejayaan kepada pasukan tentera
Islam.
Ketua Hakim
Baginda menjalankan kewajipan
sebagai ketua hakim yang adil dan saksama.
Baginda menunjukkan beberapa etika yang
perlu dipatuhi oleh mana-mana hakim. Contohnya, keadilan yang dipaparkan oleh
baginda ialah ketegasan tentang hukum memotong tangan terhadap pencuri,
walaupun pencuri itu ialah Fatimah r.a. anak yang paling
disayangi oleh baginda.Tindakan
tegas baginda jelas apabila kaum Yahudi diusir dari bumi Madinah kerana
pengkhinatan yang dilakukan oleh mereka.[2]
Nabi dan Rasul
Selain sebagai seorang negarawan, Nabi
Muhammad s.a.w juga merupakan seorang Nabi dan Rasul.Antara bukti yang
menunjukkan baginda sebagai seorang Nabi dan Rasul ialah:
(a) menerusi kenyataan dalam
kitab-kitab suci seperti Taurat,Injil, Zabur dan al-Quran.
(b) sifat-sifat kenabian dan
kerasulan yang terdapat pada diri baginda seperti bercakap benar (siddiq),
amanah,menyampaikan wahyu (tabligh), bijaksana (fatanah), berakhlak, lemah-
lembut, berbudi pekerti, penyabar, toleran, dan berdedikasi.Mukjizat yang
dianugerahkan kepada Baginda. Contoh
mukjizat teragung ialah al-Quran.[3]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan