Pemimpin Masyarakat
Sejak sebelum Hijrah lagi, Nabi
Muhammad s.a.w sudah terkenal sebagai seorang yang amanah, al-Amin lagi adil
dalam kalangan masyarakat Makkah, iaitu sejak berlakunya peristiwa peletakan
Hajar al-Aswad ke tempat asalnya berikutan banjir besar yang melanda Kaabah.
Nabi Muhammad s.a.w menghormati
agama-agama lain dan memberikan kebebasan beragama kepada mereka serta
menghormati adat resam dan budaya kaum bukan Islam, termasuk kaumYahudi.
Nabi Muhammad s.a.w turut memberikan
kepercayaan kepada ketua-ketua kaum bagi mengurus hal-hal penting yang bersabit
dengan kaum dan sekutu mereka.
Menerusi prinsip keadilan dan toleransi
serta ikatan akidah menyebabkan Nabi Muhammad s.a.w berjaya, bukan sahaja
menyatukan umat Islam tetapi seluruh penduduk Madinah yang berbilang agama dan
keturunan.
Baginda berjaya menyatukan semula
masyarakat Madinah yang berbilang agama dan keturunan.Baginda menyatukan
masyarakat Islam melalui persaudaraan antara golongan Muhajirin dengan
Ansar.Baginda berjaya mengekalkan perpaduan masyarakat Madinah seperti yang
terkandung dalam Piagam Madinah. Selain itu, baginda juga berjaya menghapuskan
batas-batas pebezaan kaum melalui konsep ummah.
Pemimpinin Politik
Kepimpinan baginda mula
terserlah sejak di Makkah lagi apabila berjaya menyelesaikan pemindahan Hajar
al-Aswad.Baginda telah berjaya menunjukkan sifat-sifat kepimpinan politik
menerusi Pejanjian Aqabah I dan II. Kaum Khazraj dan Aus dari Madinah berasa
lega dengan jaminan yang diberikan oleh baginda bagi menyelesaikan masalah
politik di Madinah, khususnya tentang perbalahan mereka dengan kaum Yahudi dan
perpecahan antara sesama Arab (Aus dan Khazraj).
Baginda tidak menunjukkan sikap
permusuhan terhadap kaum Yahudi, tetapi baginda sentiasa menganjurkan perundingan
dengan mereka. Setelah perundingan gagal, barulah baginda bertindak mengikut
lunas-lunas dan undang-undang yang termeterai dalam Piagam Madinah.
Baginda juga boleh dianggap sebagai
diplomat yang berjaya kerana inisiatif baginda menghantar perwakilan ke luar
negara seperti Habsyah dan Mesir. Baginda
juga memperkenalkan Sistem Syura atau musyawarah untuk dilaksanakan
dalam semua bidang politik dan ekonomi.
Perancang Ekonomi
Pemilihan kota Madinah sebagai
pusat dakwah dan pentadbiran politik Islam yang baharu didorong oleh faktor
ekonomi kerana kota Madinah terletak di pertengahan jalan Makkah-Syam. Dengan
kedudukannya yang strategik, ini menyebabkan aktiviti ekonomi orang Islam
semakin meluas.
Nabi Muhammad s.a.w telah memperkenalkan
dasar ekonomi baharu bagi menggantikan dasar ekonomi zaman jahiliah. Baginda
menggalakkan orang Islam bekerja keras dan bergiat dalam bidang perniagaan dan
pertanian.Baginda berusaha membangunkan ekonomi orang Islam yang tergadai
kepada kaum Yahudi.
Pemimpin Tentera
Baginda menunjukkan mutu
kepimpinan yang tinggi dalam bidang ketenteraan melalui ekspedisi ketenteraan
yang disertai. Dalam bidang ketenteraan, asas kepimpinan baginda ialah akidah,
syariat dan akhlak yang mulia. Baginda bertindak mengikut peraturan yang telah
disyariatkan oleh Allah SWT.
Baginda turut mengamalkan sifat amanah
dan tidak mudah lemah semangat dalam menghadapi musuh.Baginda juga sentiasa
adil kepada semua orang tidak kira kawan atau pihak musuh. Contohnya, baginda
membahagikan harta rampasan perang secara adil kepada tentera yang menyertai
peperangan dan tidak melakukan pencerobohan terhadap musuh
yang sudah lari dari medan
perang atau kaum-kaum yang lemah.
Baginda juga dianggap sebagai seorang
panglima tentera dan ahli strategi dalam ketenteraan. Baginda berjaya merangka
taktik dan strategi ketenteraan yang membawa kejayaan kepada pasukan tentera
Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan